Pak Cik Jiman memang asalnya keturunan Jawa asli. Bapanya menyeberang ke Semenanjung Tanah Melayu semasa berlakunya Konfrontasi Malaysia Indonesia. Kedatangannya sebagai salah seorang sukarelawan Indonesia dalam menegakkan slogan Ganyang Malaysia telah mentakdirkan dia bertemu dengan isterinya yang juga seorang Jawa yang telah datang sebelum itu lagi dan telah menetap di sini. Pelat Jawanya sangat pekat sampai kadang-kadang tidak tertangkap pula oleh pemahaman Abang Zaki.
"Kakek ni bukan pandai benda-benda macam ni tapi kalau nak cuba boleh jugak. Biasanya kakek cuma mengubatkan budak kecil yang menangis saja. Maklum aja jaman sekarang orang sudah tidak bawa ke dukun, hospitalkan banyak. Ada lagi klinik swasta segala. Dukun itu permainan orang jaman dulu ah! Kamu aja yang masih datang berdukun ya. Bangga jugak kakek kliennya orang overseas lagik!"
Kata-kata kakek Jiman itu mengundang tawa mereke sekeluarga. Wajah Aida saja yang sudah masam kelat, kerana merasa dipermainkan.
"Semasa kakek sedang bersamadi, tanya aja apa-apa yang anak-anak mau tau. Sebab nanti selepas itu kakek sudah tidak tahu lagi apa-apa maklumat."
Bau kemenyam menyebabkan Aida mula terasa pening. Kelemahannya semasa mengandung yang sering pitam menyebabkan Rizal berengsot mendekati isterinya. Wajah isterinya yang pucat kelat itu menyebabkan Rizal mengambil langkah berjaga-jaga supaya tiada apa-apa yang buruk berlaku di tempat itu.
"Aida ok?" Aida mengangguk lemah. Namun Rizal tahu dia cuba sedang menahan diri daripada jatuh pengsan saja.
Melihat Kakek Jiman menurun , yang dipanggil bersamadi itu , menyebabkan bulu roma Rizal semakin menegak. Gerak geri tubuh Kakek yang terhayun ke kiri dan kanan dengan kuat , melibas-libas rambutnya yang agak panjang menyebabkan Aida ketakutan, akhirnya perkara yang ditahan sejak tadi berlaku juga. Tubuh Aida jatuh perlahan-lahan ke lantai, pengsan. Rizal merebahkan badan Aida ke atas tikar mengkuang yang dianyam berwarna-warni. Abang Zaki turut mengengsot mendekati adik ipar dan birasnya, manakala budak-budak dan isterinya duduk di tepi dinding menghala ke dapur. Anaknya yang paling tua, Maznah turun berada di luar, kerana tidak suka diajak datang ke tempat dukun. Pelajar tahun pertama UM jurusan perubatan itu merasakan ayahnya merendah-rendahkan kebolehan doktor moden bila datang berubat di kampung dengan bomoh tua seperti itu. Sejak dari rumah lagi dia sudah merajuk, hanya kerana sangat sayangkan Aida dan banyak yang mahu dibualkan dengan ibu saudaranya itu barulah dia setuju ikut sama.
" Kenapa kau memanggil aku, mengganggu aku?" suara Kakek Jiman kedengaran lebih garau seperti manusia yang sangat tua.
"Aku tidak menganggu kau tapi kau yang ganggu anak cucu Adam, kenapa ? Apa salah wanita ini sampai kau kacau dia."
Suara Abang Zaki kedengaran keras dan lantang. Rizal tertegun kerana dia belum biasa dengan acara seperti ini. Dia memandang wajah isteri Kakek Jiman nampak biasa saja. Dia palingkan pula mukanya ke arah Wak Kasim yang diperkenalkan sebagai abang Kakek Jiman, wajahnya juga biasa. Tiada tanda-tanda seolah mereka terasa dengan kata-kata Abang Zaki yang agak keras itu. Abang Zaki perasan juga dengan kekalutan Rizal itu, kerana dia memang terkenal dengan adab budaya nya yang begitu sopan.
"Aku suka pada budak itu. Aku cuma nak ikut jer. Bukan buat apa-apa pun. Itu pun tak boleh ke?" suara kakek Jiman juga keras dan kasar.
"Aku arahkan kau jangan ganggu lagi budak ini. Dia akan melahirkan anak tidak lama lagi. Pergi kacau orang lain."
"Hish mana boleh. Orang lain aku tak suka tapi budak ini lain."
" Baiklah kalau kau tak mau pergi kakek akan kurung kau dalam botol, sampai hari kiamat."
"Eleh macam aku takut. Bukan kau pun yang boleh kurung aku. Aku memang nak duduk dengan budak ni."
Setelah hampir setengah jam berdolak-dalik akhirnya Abang Zaki berjaya juga memujuk suara itu untuk meninggalkan Aida. Namun dengan satu syarat, Aida harus membayar pengeras seekor ayam jantan hitam dan juga pulut kuning. Abang Zaki menyanggupinya supaya lebih cepat saat itu berakhir. Lagi pun sejak tadi Aida tidak bergerak-gerak , hatinya mula terasa bimbang. Di akhir perbualan Kakek Jiman rebah ke lantai. Buah kelapa kecil yang digunakan untuk menyapu pesakit gugur berserakan di atas lantai. Wak Kassim terus mengambil alih untuk memulihkan Kakek Jiman. Wak Kasim menyapukan air pada muka kakek Jiman dan menghembuskan mukanya beberapa kali. Beberapa detik saja Kakek Jiman pun bangun, bersandar pada dinding rumah papannya. Suaranya kedengaran mengeluh halus, mungkin keletihan, Pikir Rizal sendirian. Apa yang dia tahu tubuh manusia yang diresapi benda halus biasanya akan mengalami keletihan yang amat sangat selepas ia berlaku.
Aida menggerakkan kelopak matanya, dan memandang ke kiri dan kanan. Dia bingkas tiba-tiba bila menyedari dia berada dalam rumah orang. Rizal memegang tangan isterinya, takut-takut dia jatuh lagi. Suara Kakek Jiman saling bertingkah dengan suara Wak Kasim memberikan beberapa arahan kepada Abang Zaki. Rizal tidak mendekati kelompok yang sedang bercakap itu kerana merasa brtanggungjawab untuk menjaga isterinya yang kelihatan seperti orang baru lepas demam malaria.
"Macam mana bang? Agak –agak ok tak."
"Ok la kot. Abang pun tak tau sangat sebab inilah kali pertama abang berada tempat macam ni. Abang dengar tadi siap mintak pengeras, ayamlah, pulut kuning lah takkan tak jadi kot."
Hampir satu jam lebih Abang Zaki berbual panjang dengan kedua orang tua itu, barulah mereka dapat beredar.
"Engkau nak terus balik ke, Zal." Soalan kak Nab itu sukar dijawab namun sebelum sempat dia menjawab Abang Zaki terlebih dahulu bersuara.
"Kata Aki tu tadi lebih baik mulakan perjalanan waktu siang. Abang rasa kalau keadaan macam ni belum tentu lagi ni. Benda macam ni kalau nak datang sekejap je, dia dah tau alamat tempat nak pergi kan!" Nada gurauan Abang Zaki itu menakutkan Aida.
" Saya rasa pun macam tu jugak bang. Kesian budak-budak saya janji sampai pagi esok tapi tak pelah, nak buat macam mana. Bukan kehendak kita nak jadi macam ni."
"Alah apa nak susah, kita bukan tidur kat hotel mahal, nak kena bayar. Tak pun bila lagi kita nak susahkan kak Nab kan? Sejak mak ayah tak da ni , balik kampung pun dah jarang. Maklumlah dah jadi orang KL."
"Kau ni kan kalau tak sindir akak tak menjadi ye. Memang la akak jarang balik sebab nak balik rumah sapa? Rumah adik-adik tak dikira balik kampung itu cuma lawatan je. Rumah mak dan ayah pun dah tak ada. Apa lagi pentingnya kampung kepada orang-orang macam kita. Lagi pun dekat Kemaman tu ada apa. Tak seronok langsung nak dijadikan tempat tinggal. Barangnya mahal aduhai, kalah KL ni."
"Alah kak, Aida cuma gurau je. Janganlah marah."
"Akak tau, saje je nak bagi penerangan panjang lebar.Tak salah kan? Lagi pun bila lagi aku boleh leterkan engkau kan. Bukan selalu kau nak datang rumah akak. Sejak balik Terengganu, agaknya dekat rumah mak mentua engkau je setiap minggu ye?"
"Ssshhh jangan bising nanti Rizal cakap saya mengungkit plak."
" Balik esok ye. Akak risau la tengok engkau ni. Dah la mengandung nampak macam tak larat je. Kena pulak gangguan macam ni. Tak sampai hati nak lepaskan korang balik bertiga macam ni."
"Ngak apa-apa kok bu, saya kan bisa menjaga nyonya dengan baik." Suara Ruminah yang baru dijemput semalam kedengaran daripada seat belakang.
" Jaga-jaga jugak, kalau nampak benda pelik-pelik kau boleh halau ke?"
"Ya ampun, jangan bu didoakan begitu. Soalnya saya seram banget jika diganggu macam-macam."
"Rum, duduk disini, pelat Indonesianya jangan keterlaluan. Nanti anak-anak tak boleh faham. Rum kena belajar cakap Bahasa Malaysia supaya senang berkomunikasi. Lagi pun orang tua tak faham cakap seperti itu."
"Baik Nyonya."
" Bukan Nyonya, puan!" arahan Kak Nab itu meledakkan tawa Aida dan Rizal.
Rizal memandang melalui cermin sisi, melihat Storm kuning Abang Zaki memberhentikan kenderaannya.
"Kenapa abang tu agaknya kak?"
"Mana akak tau, dia kat sana, akak kat sini nak tahu camana."
"Itulah akak mentang-mentang laki dia baik, menonong je datang naik kereta ni. Tinggal laki dia macam tu je." Usik Aida . Kak Nab tersenyum lebar, melihat telatah adik bongsunya itu.
"Apa yang bomoh tu bagi tadi bang."
"Entahlah Da, abang tak perasan sangat. Yang abang sempat nampak, air sejuk, bedak sejuk, daun-daun kayu lepas tu ada minyak macam minyak urut gitu."
"Habis ayam yang benda tu mintak tu macam mana?"
"Abang dah bagi duit dekat kakek tu minta dia tolong carikan."
"Kak, camana abang Zaki tahu pasal dia tu boleh berubat. Tadi kat rumah kata tak kenal sesapa."
YOU ARE READING
BANGLO HIJAU DI POHON KETAPANG
HorrorKISAH SERAM BERKAITAN DENGAN SEBUAH RUMAH YANG DIBELI OLEH SEORANG PENSYARAH YANG MELIBATKAN PERLBAGAI PERKARA YANG TERJADI SEBELUM ITU. ENTITI ITU MENGANGGU DAN MENYUSAHKAN SEMUA AHLI KELUARGA SEHINGGA BERJAYA DIHALAU, NAMUN DATANG KEMBALI APABILA...