Rizal meletakkan telefon dengan perasaan berbelah bahagi. Dia keluar ke halaman dan meminta bibik barunya menunggu isterinya takut-takut kalau dia tersedar nanti. Kelihatan jirannya Abang Mahmod dengan isterinya Kak Leha sedang menyiram pokok bunga di tepi halaman yang memisahkan dua buah rumah teres dua tingkat itu.
"Hai dapat bibik baru pun masih muram lagi. Kenapa tak cukup bagus ke muka kelat semacam ni."
"Entah lah bang, tetiba je Aida kena gangguan. Saya pulak tak ingat tempat-tempat pelik yang pernah saya pergi dengan dia. Dah dua orang bomoh tolong redakan dia tapi masih ada lagi. Pening saya kak, abang tak tau nak buat macam mana?"
"Dia ok ke sekarang"
"Nampak macam ok tapi macam tak sedar je ."
"Patut la akak tengok korang menonong masuk je tadi, tak sempat abang nak tegur tau-tau kau dah hilang. Habis dia dengan sapa tu sekarang."
"Saya minta bibik tolong temankan kejap, nak ambik angin. Daripada malam saya bertolak, sampai di KL dah balik semula benda tu asyik ikut je kami. Tak tau dah nak buat macam mana."
"Dah pergi KL kenapa tak pergi bomoh Jawa. Orang kata depa tu terer bab-bab mistik macam ni."
"Dah bang, saya terlewat balik ni pergi jumpa bomoh Jawa la ni. Akhir-akhir ni benda tu lebih hebat lagi semua orang nampak, bukan Aida je."
"Macam ni lah Rizal, abang kenal sorang ustaz tu, setau abang memang dia banyak tolong halau hantu dekat sekolah-sekolah baru. Jin pun dia boleh buat jugak, tapi dalam kes Aida ni abang tak taulah. Kalau serasi jadi, kalau tak, tak tau pulak."
"Jauh ke rumahnya bang. Saya ni letih sikit."
"Bab yang tu kau jangan risau. Kalau kau letih pun, abang boleh tolong memandu kereta, masalahnya takut tak mujarab pulak."
Jeritan Aida yang bergema seluruh rumah mengejutkan semua. Abang Mahmod dan Kak Leha turut sama berlari ke dalam rumah bersama Rizal. Jiran-jiran lain turut berdatangan mendengar jeritan yang begitu kuat bergema, malah bersambung-sambung pula. Dia meracau macam-macam perkataan dan siap menendang dan meludah orang yang cuba menyabarkannya. Aida sudah terpontang panting di atas katil, berlawan tenaga dengan suaminya. Sekali hentak saja pegangan Rizal dan Abang Mahmod terlepas. Dua tiga orang jiran lelaki yang lain mara cuba untuk membantu, namun tenaga 5 orang lelaki itu dengan mudah sahaja dileraikan oleh Aida. Tenaga dan kekuatannya sangat luar biasa yang menyebabkan Kak Leha meremang bulu roma. Rizal juga merasakan bahawa kuduknya berdiri seolah-olah berada berdekatan dengan makhluk yang tidak nampak. Hakikatnya Aida melihat manusia berbulu lebat sedang cuba memegang tubuhnya dan cuba mengikatnya pada batang pokok. Dia ketakutan sendiri tambahan pula melihat seorang gadis yang berlumuran darah dengan baju yang koyak rabak berdiri di depannya. Wajahnya yang tidak kelihatan terlindung di sebalik rambutnya yang panjang, menjadikan nampak sangat menakutkan. Darah pula menitik-nitik daripada pakaiannya dengan banyak seolah-olah orang yang ditikam. Setelah puas meronta dan menendang, Rizal teringat pesanan nenek bidan itu supaya menyapu kain pemberian nenek bidan petang tadi. Selepas melakukannya dengan selawat tanpa putus, Aida kembali diam. Walau bagaimana pun semua orang masih menanti kalau-kalau berlaku semula. Bibik Rum pula ditugaskan menyediakan minuman kepada semua tetamu yang memenuhi rumah Rizal pada petang itu.
4
YOU ARE READING
BANGLO HIJAU DI POHON KETAPANG
HorrorKISAH SERAM BERKAITAN DENGAN SEBUAH RUMAH YANG DIBELI OLEH SEORANG PENSYARAH YANG MELIBATKAN PERLBAGAI PERKARA YANG TERJADI SEBELUM ITU. ENTITI ITU MENGANGGU DAN MENYUSAHKAN SEMUA AHLI KELUARGA SEHINGGA BERJAYA DIHALAU, NAMUN DATANG KEMBALI APABILA...