Banglo hijau Part 23

6 0 0
                                    

Pikirnya dalam hati. Walau apa pun yang diperkatakan namun perasaan tidak sabar untuk menguliti tubuh Ruminah itu tetap menggoda ingatannya. Oleh itu dia telah meminta izin menyelinap ke dalam bilik bibik seperti yang selalu dilakukan sebelum ini 2 kali seminggu. Dia tidak tahu pada malam dia tiada, Jonolah yang mengisi kekosongan itu. Dia berjalan dengan perlahan supaya sampai ke sana lebih lewat dan semua orang memang sudah tidur pulas. Dirinya tidak perlu dirisaukan, kerana dia cuma tinggal sendirian. Anak-anak sudah besar dan punya keluarga sendiri. Tiba-tiba buk! Tubuhnya yang agak gempal itu terjatuh ke dalam lopak air yang memenuhi jalan berpasir itu. Dia tidak bergeming bila satu sosok tubuh manusia menghujam-hujam tubuhnya dengan kakinya. Mukanya tenggelam dalam air selut yang memenuhi lopak itu, dan tubuhnya diam kaku.

Seperti ada kejutan, tubuh bibik tiba-tiba tersentak. Dia termenung sekejap sebelum tersenyum panjang. Dia tahu Jono sudah melakukan tugasan yang diamanahkan dengan jayanya. Dia mula mengemaskan sedikit pakaiannya ke dalam beg yang sudah lusuh. Baju-baju lama yang dibawanya dari Indonesia, sudah dibuang siap-siap petang tadi ke dalam tong sampah besar di luar pagar semasa membuang sampah dalam rumah itu. Dia tidak meninggalkan apa-apa di dalam bilik itu yang menandakan bahawa dia pernah menghuni dalam bilik itu.

Tanpa menunggu lebih lama, dia membuka pintu dapur dan menyelinap keluar lantas hilang dalam kegelapan malam. Sampai di simpang jalan dia berpelukan sebentar dengan Jono sebelum sebuah lori yang memuatkan telur ayam itu berhenti dan membawa keduanya kabur dari situ. Sampai di sempadan Terengganu, Pahang, mereka diminta masuk ke belakang lori kerana akan ada sekatan jalan raya di depan. Walau pun Jono terpaksa berhimpitan dengan kotak-kotak telur ayam yang berbau agak busuk, namun bila memegang tangan bibik dan merasakan wanita itu ada bersamanya dia merasa gembira. Dalam gelap bibik tersenyum sumbing kerana akhirnya dia dapat keluar juga daripada kampung itu dan meninggalkan pohon ketapang yang selama ini didudukinya sejak 17 tahun yang lalu. Matanya bersinar-sinar kemerahan dalam gelapnya lori yang dilingkungi dengan kanvas itu.

BAB 9

Rumah Rizal pagi itu heboh bila bangun pagi tiada sehelaipun kain yang berjemur. Semasa membuka pintu bilik Bibik, Aida menjerit kerana terkejut dengan alatan yang berada di dalam bilik bibik. Katilnya kosong dan semua pakaiannya telah tiada namun begitu berserakan dilantai ialah bekas dupa, segenggam kemenyan dan juga telur yang bersepah-sepah. Bunga-bunga kering pelbagai jenis juga ditemui dalam bungkusan akhbar lama yang diletakkan di bawah katil . Melihatkan perkara itu Rizal menelefon ayah dan Pak Su Sahak supaya datang dan melihat benda-benda yang terjadi.

"Memang dia telah pergi, tapi dia bawa bersama benda tu dengan dia."

Kata-kata Pak Su itu melegakan hati Aida yang ketakutan. Aida melepaskan nafas lega, namun melihat alatan sebegitu dia takut kembali. Kebimbangan itu dikongsikan dengan ibu mertuanya yang sampai tidak lama selepas itu. Rumah yang selalunya senyap sunyi itu akhirnya riuh dengan gelak ketawa.

"Dia ambil jaket abang yang beli dekat Istanbul hari tu." Kata Rizal kesal selepas memeriksa barangan yang diletakkan dalam almari di bilik tetamu.

"Alah , Aida pun hilang jugak, kasut dua pasang, baju , pakaian dalam, tak nak bisinglah. Yang penting dia dah bawa benda tu bersamanya." Aida tersenyum .

"Tak baik Aida cakap macam tu. Dia sepatutnya kita sembuhkan dulu sebelum keluar merayau macam tu, nanti lebih ramai mangsa dia lepas ni." Kata-kata suaminya itu termakan juga oleh hati Aida. Dia diam dan berdoa di dalam hatinya semoga tiada orang lain mendapatkan musibah sepertinya dulu. Bunyi siren ambulan diikuti kereta polis, kedengaran melalui rumah mereka. Rizal melihat ramai penduduk kampung yang keluar daripada selekoh menghala ke kuari lama yang telah di tutup itu. Dia membuka pintu pagarnya dan menahan salah seorang penduduk kampung yang dikenali sebagai Leman sahaja. Leman selalu ditemuinya berjemaah di surau kecil berdekatan dengan rumahnya itu.

"Ada apa man, riuh rendah bunyinya. Ada orang bersalin songsang ke?" Kata Rizal cuba berlucu dengan Leman.

"Bersalin apa nya zal, ini pekerja engkau ni yang dah meninggal dalam semak dekat kuari lama tu."

"Pekerja aku, bibik ke?"

"bibik pe kebendanya, lelaki. Pak Samad, tukang kebun engkau tu."

"Inna lillah....."

"Sapa yang meninggal , Zal." Suara ayahnya menghampiri anak kesayangannya itu.

"Pak Samad , ayah."

"Aik macam kebetulan pulak, sorang hilang sorang meninggal pulak." Rizal berpaling mengadap wajah ayahnya. Dia tidak terfikir sampai ke tahap itu. Dia terheran-heran melihat ayahnya yang berkata seolah-olah tanpa kesedaran itu.

Petang itu polis datang bersoal jawab dengan mereka tentang si mati. Katanya hasil bedah siasat mendapati dia dipukul dan pengsan di dalam lopak air. Kematiannya itu sebab tidak boleh bernafas. Rizal kepenatan bila ditanya tentang bakal isteri Pak Samad yang disebutkan oleh salah seorang anak aruah. Oleh sebab bibik telah tiada polis beranggapan dia kini adalah suspek utamanya.

"Bagaimana orang macam bibik yang baik , lembut macam tu sanggup nak bunuh orang ye? Bakal suami dia pulak tu." Kata ibu Rizal itu didengar oleh semua yang ada. Rizal mengeluh perlahan mengingatkan bagaimana cawannya pecah angkara bibik cuba memberikan dia makan apa yang dimasukkan ke dalam makanannya itu.

"Kalau tak, tak ada dia sanggup cuba masukkan benda tak elok dalam makanan saya mak." Jawapan Rizal menyebabkan ayahnya berpaling.

"Bila pulak dia letak benda tak elok dalam makanan kamu."

BANGLO HIJAU DI POHON KETAPANGWhere stories live. Discover now