Aku dirisik orang.
Itu berita pertama yang emak sampaikan ketika aku baru saja melangkah turun dari kereta. Lebih tepatnya, ayat emak berbunyi begini.
"Pagi tadi ada orang mai merisik hang."
Tangan aku yang hendak menolak tutup pintu kereta terkaku. Mata terus menjeling tempat duduk pemandu. Logik tak kalau aku masuk semula dalam kereta, start enjin dan terus pecut lari?"Nak lari pi mana? Hang ada tempat lain lagi ka yang hang boleh pi?" Pedas emak mengejek bila dilihatnya gaya aku seperti mahu lari.
Ceh! Emak memang sengaja. Tahu yang aku masih tinggal sebumbung dengannya dan ayah . Memang sahih lah aku tak boleh lari ke mana-mana lagi.
"Mak pun, kita baru keluar kereta dah terjah dengan berita panas. Tak menyabar langsung!" Mula lah aku nak membangkang keras. Suara pun sudah mula naik. Tapi masih dalam nada terkawal.
Kebiasaannya kami dua beranak memang begini. Bersembang seperti bestfriend. Berlawan cakap pula mengalahkan debat. Kalau bergelak ketawa, boleh bergegar dunia.
Tapi walaupun berantam mulut adalah senario biasa aku dan emak, tetap ada hormat perlu diletakkan dalam setiap tatacara. Kawan baik yang ini ada limitnya. Untuk aku yang masih bujang trang tang tang ni, emak itu duduknya di tangga teratas. Pembuka jalan syurga untuk anak-anaknya. Jadi, tak boleh nak dibaling-baling asam keping dengan dia. Dalam erti kata lainnya, tak boleh lah nak berkurang atau berlebihan asam dengan emak.
"Lah ... dah mak memang dok tang ni. Mak habaq teruih la. Buat apa nak simpan-simpan. Satgi hang masuk dalam, hang teruih tak keluaq bilik. Bila masa lagi nak habaq?" Emak beria cuba menjelaskan kebenaran dari pihaknya.
Aku bagi satu jelingan maut pada emak sebelum melangkah masuk. Mulut aku juihkan memuncung. Kononnya nak tunjuk perasaan. Tunggu sesaat saja lagi, pasti emak akan memuntahkan ejekannya bila melihat gaya muka yang aku pamerkan untuknya.
"Haa, baguih baguih ... bagi keluaq muncung hang tu panjang lagi. Dah nak jadi bini orang pun buat perangai macam budak kecik. Kalah anak sedara hang Si Yaya tu! Hudoh!" Emak menembak, benar seperti yang aku jangka. Aku sudah expert dalam membaca semua tindak tanduk emak. Nampak tak tahap kamcing kami berdua?
"Siapa nak jadi bini siapa? Bila masa kita kahwin?" Aku balas geram, sedikit melaung dari dalam rumah. Baru datang merisik pun sudah dicopnya aku ni bini orang. Itu pun entah betul atau tidak ada yang merisik. Emak selalu bergurau tidak kena waktu. Bila datang mood bergurau dia , habis semua pantang di langgar. Yang penting, rasa puas hatinya tercapai.
"Hang ingat mak main-main ka?" Suara emak tiba-tiba muncul dari belakang.
Kus semangat! Mak ikut aku sampai ke dalam bilik? Ini serius benar gamaknya.
Aku toleh ke belakang. Tubuh emak sudah berdiri gagah di ambang pintu bilik. Segagah yang mampu saja lah. Dengan tubuh rendang comel tu, mustahil lah emak boleh jadi segagah Badang kan?
"Takkan lah bab nikah kahwin pun mak nak buat main. Mak serius ni!"
Rasa nak tergelak pun ada bila dengar emak menyebut perkataan 'serius'. Habis herot bibirnya menekankan perkataan tu.
Emak aku, Puan Bibah ni asalnya dari Baling. Kawasan hujung Kedah sebelum masuk ke Grik. Bunyi loghat percakapannya ada kalanya kedengaran seperti orang sebelah Jeli sana. Jadi, memang tebal sedikit lidahnya untuk bercakap perkataan-perkataan yang agak jarang digunakan di kawasan kampungnya dahulu. Serius itu kalau dalam dialek emak, adalah 'sungguh'. 'Aku cakap serius' sama maknanya dengan 'Sungguh ni aku habaq kat hang'.
Emak dan aku memang berlainan dialek. Aku cakap KL, emak cakap Kedah. Jangan pelik pula. Untuk sesiapa yang dilahirkan dari bapa yang bekerja sebagai tentera, perkara ini bukan lah misteri sangat.
YOU ARE READING
Suami Berat Mulut (Sudah Diterbitkan)
ChickLit-Ni cincin merisik. Sekali dengan nombor telefon laki tu. Hang kenai-kenai tengok. Kalau tak berkenan, hang habaq elok-elok- Itu dialog emak semasa memberitahu yang aku dirisik orang. -Maksud saya....err...awak betul-betul serius ke nak kahwin...