Masuk jam 11 malam itu, mata aku sudah mula rasa seperti disendal. Mengantuk ya amat! Janji petang tadi untuk bersengkang mata malam ini mengemas dan menyiapkan apa yang perlu, terus terkubur.
"Dahlah. Akak nak masuk tidur." Aku buat pengumuman pada semua sepupu sepapat yang sibuk mengerumun aku seperti semut terjumpa gula. Semua sepupu aku umurnya muda. Walau beza setahun dua pun, aku lebih senang membahasakan diri sebagai kakak. Lebih mesra begitu. Mereka sedang seronok memerhatikan lukisan inai di tanganku yang baru saja selesai dilukis oleh Linura.
Ha, jangan tak tahu pula. Kawan aku yang seorang ni pandai seni melukis. Tapi dia tak ada lah sampai ambil upah bagai. Cukup sekadar untuk kenalan rapat sahaja. Lagian, level melukisnya masih di tahap amatur. Cukup sekadar ada saja.
"Tunggu lah kejap lagi. Bukannya lama lagi pun nak kering!"Linura rupanya sedang memasang telinga. Dia ketika itu sedang asyik menyusun atur set palet kayu untuk dijadikan tempat bergambar majlis esok. Bertuah betul badan ada kawan seperti Linura. Tak perlu cari pelukis inai. Tak perlu cari penghias latar. Sampai ke make up pun aku paksa dia untuk jadi mak andam. Sekurang-kurangnya, aku tahu Linura bukan jenis menempek make up tebal. Selamat muka aku dari jadi tepung gomak.
"Aku dah ngantuk tahap gaban ni!" Semalam pun aku tidur jam 3 pagi. Semuanya gara-gara hantaran last minit dan baju nikah yang mahu ditambah manik oleh Linura.
"Suka hati kau lah! Esok kalau comot lukisan tu, jangan nak bunyi. Aku lesing kau nanti!"
Uih, gila brutal kawan aku ni. Bukannya aku nak sangat lukis inai semua ni. Dia yang beria lebih. Kata dia, biar gambar akad saja yang inainya di hujung jari. Gambar untuk majlis esok kena ada juga corak-corak tambahan. Semangat dia melebihi aku yang kahwin. Agaknya kalau dia yang berkahwin nanti, habis semua orang digerudinya untuk memastikan tahap piawaiannya tercapai.
Tidak peduli dengan ugutan Linura, aku terus masuk ke bilik pengantin dan terjun ke atas katil. Nikmatnya dapat berbaring lepas seharian membanting tulang. Bunyi aku ni, sudah seperti pesawah yang turun ke bendang pula. Penat melampau sangat.
Nak kahwin ni bukannya senang tau! Macam-macam dugaan. Hari nak pasang khemah hujan turun lebat. Ayam untuk masak lauk kenduri pula dihantar lambat menyebabkan semua kerja lain tergendala. Itu tak masuk lagi lauk untuk masak makan malam ni. Kebiasaannya, malam sebelum kenduri tuan rumah akan buat doa selamat. Makan nasi ringkas-ringkas saja. Tapi tetap kena ada orang yang buat semua tu kan?
Dengan semua agenda yang aku sebut tadi, rasa-rasanya tahap penat aku dah sampai level berapa? Fikir sendiri lah ya.
Tangan aku letakkan secara terbuka di atas bantal tepi kepala aku. Awal-awal lagi aku dah hamparkan sehelai kain batik di bahagian atas katil untuk melindungi cadar dari terkena inai di tangan. Lukisan yang masih tidak kering cuma berbaki di bahagian atas tapak tangan saja. Bahagian kekura tangan sudah dibuat lebih awal.
Tidak sampai seminit selepas aku menarik nafas lega, aku sudah terbang masuk alam mimpi. Penangan lelah yang terkumpul sejak dari minggu lepas lagi.
Sedang aku sedap tidur, tiba-tiba aku dapat rasa ada sesuatu sedang bergerak di betis aku. Alamak! Lipas ke? Sudah lah aku cuma menyarung kain batik saja. Kalau lipas tu lipas gatal macam mana? Gelinya!
Kebiasaannya bila tidur, aku akan menyinsing kain batik naik ke lutut. Rimas bila kaki terkepung! Meski pun begitu, kain batik tetap jadi pilihan untuk aku pakai di malam hari. Selesa. Tambah-tambah lagi kalau kain batik tu kain yang sudah lama digunakan. Bak kata orang, lagi lusuh, lagi sedap dipakai.
Aku bukan takut sangat pada lipas. But truth to be told lah kan, ada ke manusia yang bila tengok lipas dia menjerit kesukaan? Oh, mungkin ada. Lupa pula aku yang Si Yaya dulu semasa kecilnya suka benar mengejar lipas. Dah macam kucing pula aku tengok dia.
YOU ARE READING
Suami Berat Mulut (Sudah Diterbitkan)
ChickLit-Ni cincin merisik. Sekali dengan nombor telefon laki tu. Hang kenai-kenai tengok. Kalau tak berkenan, hang habaq elok-elok- Itu dialog emak semasa memberitahu yang aku dirisik orang. -Maksud saya....err...awak betul-betul serius ke nak kahwin...