Random Mo (POV Nasir)

7.5K 384 24
                                    

 Hanya contengan, tak ada dalam buku 😉😉 

...............................................  

Bunyi dentingan pinggan mengejutkan aku dari tidur. Terkial-kial seketika aku bila tangan meraba ruang kosong di sebelah. Mano bini den?

Melihat ke arah pintu bilik, ternampak sejalur cahaya masuk dari bawah pintu. Jelas menunjukkan ada lampu yang sudah dibuka di luar bilik. Berdasarkan kecerahannya, aku terus dapat meneka dari mana arah lampu itu datang.

Dapur.

Bangun duduk dari baring, aku menghembus nafas berat. Malas dan rasa kantuk bersilih ganti datang. Tapi aku gagahkan juga kaki untuk berpijak pada lantai. Selepas membetulkan sisipan kain pelikat, baru aku mula bergerak ke arah pintu.

Perlahan saja aku buka, tidak mahu mengeluarkan sebarang bunyi. Berjalan pun langsung tidak menghasilkan apa-apa bukti. Hanya beberapa tapak saja diperlukan untuk sampai ke dapur. Bila mata sudah clear untuk melihat kawasan dapur, terus aku tahu dari mana datangnya bunyi dentingan pinggan tadi.

"Sedap?" Tanpa pembuka bicara, aku terus menerjah.

Zatul yang sedang bersemangat menjilat pinggan, terus terkaku. Hanya mata bulat saja yang mengintip keluar dari balik pinggan yang sudah menutupi hampir separuh dari wajahnya ketika itu.

Kalau lah aku ni jenis yang lemah semangat, dah lama aku baling kemenyan sambil meneriakkan azan. Jam tiga pagi, masuk ke dapur hanya untuk melihat ada manusia sedang menjilat pinggan? Aku perlu takut, atau perlu ketawa?

"Emm....baby ni lapar sangat. Berkeriuk bunyi perut dia. Sampai dengar ke telinga saya."

Kalau bab membuat alasan, serah saja pada Puan Amizatul Shima. Entah dari mana saja dikutip semua sebab musabab untuk perkara pelik yang dia selalu lakukan. Sampaikan aku sendiri tak cukup kulit untuk dikerutkan di dahi setiap kali aku cuba memikirkan di mana logiknya semua alasan dia.

"Perut baby ke perut Mama dia?" Sekali aku bidas, terus dia tersipu malu. Pinggan yang sudah licin diletakkan kembali ke atas meja. Rasanya tak perlu dibersihkan semula pinggan tu. Sudah cuci calat dikerjakan isteri aku!

Tajam saja aku perhatikan setiap pergerakan dia. Bangun perlahan-lahan membawa pinggan tersebut ke sinki.

Dalam menggeleng kepala, aku turutkan langkah Zatul. Rapat berdiri di belakang tubuhnya dan tangan ikut sama naik membasuh pinggan tersebut. Tangan dia pun aku raih dan aku siram dengan sabun sebelum aku bilas. Tak mahu ada tertinggal kesan bau sambal bila aku cium tangan tu nanti.

Kempunan nak menjilat pinggan? Apa jenis pe'el tu? Sudah lah begitu, memilih pula! Cuma nak kan pinggan kesan dari lauk sambal bercampur kicap saja. Jenuh aku nak mengawal tingkah luar kawalan isteri aku ni.

"Terima kasih abang." Lembut dia mengucapkan terima kasih sebelum berpaling sedikit ke belakang untuk mencium pipi aku.

Spontan aku mengeluh. Tiba-tiba terasa penat dengan semua tingak tidak dijangka isteri aku. Aku berinjak ke belakang. Berdiri menjauh, memberi ruang untuk dia berpusing menghadap aku. Dengan tangan yang lembab dengan air tadi, aku usap kepala dia. Semua rambutnya yang berserabut tadi, terus kemas bila dibentuk dengan air.

Dia?

Macam biasa. Terkebil-kebil pandang aku dengan mata rusa dia. Memang isteri aku ni pandai orangnya. Cukup pandai membuat aku mati kata dan diam-diam menelan semua ayat masuk kembali ke dalam kerongkong.

Isteri aku ni, bukannya aku tak tahu yang mulutnya macam bertih jagung bila diberi kelonggaran untuk bercakap. Tapi setiap kali aku mahu marah, atau menegur, laju saja dia mengeluarkan taktik Anak Rusa Nani.

Tahu apa itu taktik Anak Rusa Nani?

Itu taktik baru yang aku letakkan khas untuk isteri aku, Puan Amizatul Shima. Kerana setiap kali aku lihat dia mengerdipkan matanya, telinga aku terus membayangkan dia sedang menyanyi lagu kanak-kanak itu.

Anak rusa Nani baru pandai berjalan
Apa salah kami harap dimaafkan

Aku tenung mata dia dalam-dalam sebelum bertanya, "Dah puas hati? Kenyang dah?"

Zatul angguk. Dari rusa, bertukar jadi burung belatuk.

"Jom tidur." Aku tarik lengannya untuk keluar dari kawasan dapur. Tangan memanjang menekan suis lampu di dinding. Hah! Lelaki jenis apa aku ni? Asalnya tadi nak membebel, tapi terus niat bertukar bila Anak Rusa Nani bermain mata dengan aku.

"Abang nyanyi selawat sampai saya tidur balik eh?" Tangan Zatul naik memeluk lengan aku ketat.

"Hmmm..."

"Sekali dengan nasyid surah al-quran tau."

"Hmm." Kali ini keras sikit suara menyanggup aku. Nasyid Surah? Aku pun tak cukup pass lagi lagu tu. Alamatnya hujung-hujung nanti aku kena humming saja lah. Jangan dipaksanya aku pergi selak google sudah...

"Kali ni abang guna tone suara yang rendah sikit. Hari tu macam tenggelam sikit suara abang bila abang nyanyi guna to..."

"Shhh." Telunjuk aku naik menekan bibir Zatul. Tidak rela mendengar bunyi bertih jagung melompat di tengah malam buta begini. Boleh pula dia nak jadi juri Malaysian Idol dekat sini.

"Tidur." Aku selimutkan tubuhnya sampai ke paras pinggang.

"Abang pun tidur juga." Zatul tarik tangan aku untuk berbaring di sebelah dia. Aku ikutkan saja. Memang aku pun nak baring, cuma dia mahu mengajak berkongsi bantal. Sebab itu ditariknya tangan aku.

"Esok abang kerja kan?"

"Ya." Dalam gelap malam aku menjawab. Tangan tanpa perlu disuruh sudah naik menepuk belakang bahunya. Kebiasaan yang melekat dari awal menikah dahulu, sehingga sekarang.

"Kesian kat abang..." Suara Zatul berubah menurun. Tangannya yang masih terkesan bau cecair pencuci pinggan tadi naik menyentuh pipi aku.

"Sorry sebab kejutkan abang tengah-tengah malam macam ni."

Neutral terus segala rasa di hati berganti dengan rasa sejuk damai. Zatul isteri aku ni,sangat mudah menutur kata maaf, tetapi semudah itu juga mulutnya laju meluncurkan bicara. Dua sikapnya itu sering menimbulkan tanda tanya di benak aku. Tidak pernah dapat aku cari di mana titik kesinambungannya.

"Dah, tidur. Bismikallahumma Ahya wa amut.." Aku bacakan doa tidur untuk kami berdua.

"Aminn..." Seiring dengan penutup doa dari dia itu, aku jatuhkan satu sayang ke dahinya. InsyaAllah, ini adalah isteri dunia akhirat aku.

Amin...

Amin

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Suami Berat Mulut (Sudah Diterbitkan)Where stories live. Discover now