Lelah menjadi pihak yang terlebih berusaha, akhirnya aku mengambil keputusan untuk terus menelefon Nasir. Buang saja semua perasaan gementar dan malu. Dalam keadaan sekarang, semua jenis perasaan sudah tidak relevan. Berhadap dengan lelaki begini, sudah jatuh hukum wajib untuk aku keluarkan segala taring dan kuku tajam yang aku ada.
Bila aku mulakan perbualan dengan bermesej, dia matikan bicaraku dengan sepatah kata. Itu pun dia copy paste mesej aku. Cuma nama aku saja digantikan dengan nama dia. Tapi bila tiba saja saatnya aku berjaya menggagahkan diri untuk menelefon Encik Nasir, ada pula aral yang lain datang melintang.
'The number you have dialled is not reachable...bla..bla..bla'
Punya lah seronok aku berbual dengan operator, sampaikan tak sedar sudah beberapa saat berlalu selepas waktu rakaman suara dimulakan. Aduh lah! Sakit jiwa aku dibuatnya! Bila jadi macam ni, mula lah aku nak merap. Habis semua staff di office lari melihatkan muka aku yang cemberutnya mengalahkan anjing bulldog.
Sampai saja di rumah petang itu, aku terus menyerang emak.
"Emak!!!!" Jerit aku sejurus selepas memberi salam. Frust! Aku frust!
Emak yang sedang menonton televisyen terpinga-pinga menoleh ke arah pintu masuk. Tidak tahu punca dari mana datang suara anaknya mengongoi mengalahkan pontianak mengilai.
Petang-petang begini, memang banyak rancangan favorite emak. Yang paling kerap diulangnya, Drama Asam Pedas untuk Dia. Drama yang itu, jangankan emak, aku pun ikut sama naik gilakan cerita tu! Seronok menonton Shukri Yahya dengan perangai lucunya.
"Awat? Awat?" Kelam kabut emak dibuatnya.
Aku kemam ketawaku masuk ke dalam mulut. Hancurlah lakonan kalau tiba-tiba ketawa.
"Laki apa mak cari bagi kita ni ..." Aku terus melolot jatuh di kaki kerusi yang sedang emak duduki. Pura-pura patah hati. Kononnya mahu tagih simpati.
"Pasaipa? Nasir tu ka? Apa yang tak kena?" Sekali emak bubuh tiga soalan terus. Nampaknya lakonan aku menjadi. Bagus, bagus ... ini permulaan yang cantik!
"Mak tengok lah. Dah berapa lama family dia datang merisik, sampai sekarang pun kita tak pernah sembang dengan dia tau. Kita rasa dia tak mahu kat kita lah." Aku mula cucuk jarum. Perlahan-lahan aku mahu buat emak terhasut dengan idea-idea jahat aku. Kalau fikiran emak sudah dipenuhi racun, senang lah untuk aku menjalankan operasi.
"Baru seminggu kan dia mai merisik?"
Dari gaya soalan itu, aku tahu akal logik emak sedang berlawan dengan hasutan aku.
"Emak...." Aku meleretkan suara.
"... ini zaman canggih. Sepatutnya malam tu juga kitorang boleh terus sembang. Tapi tengoklah! Sampai sekarang ni pun, hampeh! Mesej tak balas. Call tak dapat. Apa ni mak? Betul ke dia nak kahwin?"
Emak diam. Mungkin sedang memikirkan kesahihan kata-kata aku.
"Mak dia memang ada habaq kata Nasir tu tak banyak cakap. Pasai tu depa kena tolong cari bini bagi dia. Dia malu kot." Tiba-tiba baik pula Mak Bibah hari ni. Rajin mencipta alasan untuk pihak Nasir.
Hati aku dah mula menggerutu. Merenyam-renyam! Susah pulak emak nak makan hasutan aku!
"Dia off telefon bila kita call. Sampai tahap tu mak dia tak mau cakap dengan kita." Bersungguh aku mengadu dengan fakta yang sudah aku putar belitkan. Memang benar bila aku menelefon, panggilan aku terus masuk ke voice mail. Tapi aku dengan sengaja dan murah hatinya mencantikkan lagi cerita dengan penipuan tentang dia sengaja mematikan telefon bila menerima panggilanku. Amacam? Cantik tak plan aku?
"Isyh hang ni ... pikiaq jauh sangat! Mak dia kata minggu ni dia kena pi Thailand buat kursus apa tak tau. Pasai tu hang call tak dapat kot."
Erk? Giliran aku pula terdiam.
Training di Thailand? Maknanya, kalau aku tambah kod nombor Thailand, voila! Baru lah panggilan aku sampai? Oo ... macam tu rupanya. Aku terangguk-angguk keseorangan.
"Ha, dah gila ka? Dok angguk sorang-sorang!" Emak menyergah.
Aku pandang emak. Rancangan aku masih berjalan!
"Cuba mak fikir. Mak tak rasa pelik ke? Nasir tu macam tak semangat langsung. Patutnya, dia telefon lah. Sembang dulu. Tanya pasal kita. Tanya apa yang kita minat, apa yang kita tak suka, tanya apa yang kit – ,"
"Awat tak hang ja yang telefon dia?" Emak memotong pantas.
"Ni dah zaman perigi cari timba. Toksah nak jaga muka sangat. Hang pun sama! Ada hang nak minta tengok gambaq dia dekat mak? Ada? Maknanya, hang ni saja dok cari akai kan? Saja nak perasap mak suruh tolak budak Nasir tu. Betui dak?"
Alamak! Kantoi! Hebat pulak emak dalam isu kaji mengkaji ni.
"Mana ada!" nafiku pantas.
"Aku yang beranak kat hang. Kalau bukan aku, sapa lagi nak tau akai hang tu?"
Ah sudah! Keluar semula gelaran 'aku hang' emak.
Cepat-cepat aku angkat beg, terus lari masuk ke bilik. Lagi lama duduk, lagi banyak kena bambu. Baik aku undur diri dulu.
Belum sempat masuk ke bilik, terserempak pula dengan ayah yang baru datang dari arah dapur.
"Ayah ..." tegur aku manja. Mana berani tegur cara brutal. Nanti kena sembur free!
"Dah sembang dengan Nasir?"
Soalan ayah mematikan senyum di bibirku. Kendur terus bibir membentuk 'M'. Kenapa semua orang asyik sebut nama dia? Telinga aku sampai berdesing dibuatnya. Tekak pun rasa kembang.
"Belum." Semangat pun terbang bila dengar nama lelaki nan seorang tu. Gagal dalam cubaan menghasut emak tadi membuatkan semangat aku ikut sama jatuh.
"Orang lain hat nak kahwin semua semangat lebih. Hang sorang ja pelik. Ayah tengok budak tu ok. Apa lagi yang hang nak?"
Leteran ayah aku dengar sepi. Tidak berani hendak melawan. Aku angguk macam burung belatuk. Iya lah ayah ... apa saja yang ayah cakap, semuanya betul. Betul belaka.
Pelik. Bila pula masanya ayah berjumpa dengan budak Nasir tu? Setahu aku, ayah cuma pernah bercakap telefon saja dengan dia. Apa lah nasib badan. Semua orang menyebelahi Si Nasir tu. Tiada siapa mahu mendengar luahan hati aku, insan kerdil ini.
HARI ini aku tekad!
Tekad mahu mengajak dia keluar berjumpa. Kalau susah sangat mahu menjadikan telefon sebagai perantara, lebih baik kami bertemu bertentang empat mata.
Kata emak, Nasir bekerja di kilang Northern Analog, Penang sebelah pulau sana sebagai Software Engineer. Aku pula duduk di Gurun. Jadi elok sangat kalau berjumpa di Sungai Petani. Titik tengah pertemuan. Mudah untuk aku, tetapi sedikit payah untuk dia.
Tapi dia itu kan berjantina lelaki. Kenapa mesti berkira dengan aku yang perempuan ni, betul tak? Kena lah bersusah payah sedikit untuk tunjukkan keikhlasan hati tu.
+ Jumpa saya Ahad ni di Amanjaya Mall, SP. 11 Pagi. I'll be the one in purple, depan kedai Just Bread.
Kesabaran aku memang dah tercabar yang amat. Sudah hilang! Disebabkan ego Si Nasir yang langsung tidak memikirkan maruah wanita melayu terakhir macam aku ni, aku terpaksa bertegas. Bak kata emak, zaman sekarang perigi dah mencari timba.
Sengaja aku mesej hari Jumaat tengah malam. Tidak mahu memberi dia peluang untuk balas mesej tersebut. Mesej terakhir aku dulu dibalas selepas satu hari lebih kan? Jadi untuk yang ini, kalau dia menunggu selama lebih dari satu hari, alamatnya memang pagi Ahad itu juga lah balasannya sampai secara lisan di depan aku semasa bertemu di Amanjaya Mall nanti. Memang aku berniat nak mengajar dia tentang had masa untuk membalas mesej. Biar padan dengan muka dia!
Kalau dia tak balas mesej aku esok hari, aku akan anggap dia setuju. Aku akan tunggu sampai dia datang. Lain pula ceritanya kalau dia tak munculkan diri. Jika dia tidak datang tanpa memberitahu aku lebih awal, aku akan bentangkan pada emak tentang perilakunya. Aku akan berterus-terang pada emak, aku tak mahu! Aku tak ingin dengan Nasir! Tolak saja niat baik keluarganya.
YOU ARE READING
Suami Berat Mulut (Sudah Diterbitkan)
Chick-Lit-Ni cincin merisik. Sekali dengan nombor telefon laki tu. Hang kenai-kenai tengok. Kalau tak berkenan, hang habaq elok-elok- Itu dialog emak semasa memberitahu yang aku dirisik orang. -Maksud saya....err...awak betul-betul serius ke nak kahwin...