Huluran sekeping kertas dari Umi, aku pandang sekilas sebelum perlahan menadah tangan untuk menyambut.
"Nah, ini gambarnya. Nama, umur dengan nombor telefon semua emaknya dah tulis dekat belakang gambar tu."
Aku angguk sebelum gambar tersebut aku letakkan ke tepi. Bukannya aku tak nampak, mata Umi tajam menyusur setiap pergerakan tangan aku.
"Tengok lah Ngah."
"Nanti." Sepatah saja aku jawab. Tak mahu membuat huraian. Aku tahu akal Umi. Umi sebenarnya mahu meneliti reaksi aku semasa melihat gambar anak gadis yang dirisiknya tadi.
Aku pula, takkan sesekali menjadikan setiap perlakuan aku menjadi bahan ujikaji Umi. Masuk ke bilik nanti baru aku akan membelek kepingan gambar tersebut.
Selepas Umi berlalu pergi, jemari aku naik bergendang di atas peha. Mata mengerling kepingan gambar yang aku letakkan secara terbalik di atas sofa. Sekaligus memaparkan butiran diri yang tertulis di belakangnya.
AMIZATUL SHIMA BT. ARIFIN
27 TAHUN
019 - 5880544
Oh, dia juga menggunakan nombor Celcom. Hmm ... taste kami
nampaknya punya persamaan.
Amizatul Shima. Apa agaknya nama panggilan dia? Amy? Miza? Zatul? Atau Shima?
Ippi tiba-tiba datang bermanja di kaki. Mengalih perhatian aku untuk seketika. Aku tepuk peha beberapa kali, memberi isyarat mengajak Ippi naik ke pangkuan.
Tapi lain yang aku mahu, lain pula yang dibuatnya.
Ippi melompat naik ke atas sofa. Memijak gambar tadi beberapa kali dalam cubaannya mencari tempat selesa. Kemudian dilabuhkan punggungnya tepat di atas kepingan gambar Amizatul Shima.
Kemudian Ippi pandang aku dengan pandangan tidak bersalah. Hilang seketika tumpuan aku bila melihat mata bulat bergulinya.
"Seronok duduk atas gambar tu?"
Ippi mengiau. Dua kaki hadapannya bergerak menekan permukaan sofa seperti gaya mengurut. Telinganya bergerak bila terdengar bunyi gambar tersebut dipijak. Minatnya dalam sekelip mata beralih.
Dalam masa sesaat saja, gambar tersebut sudah terkemut dalam pelukan Ippi. Digigit dan dikuis dengan kaki bersilih ganti.
Terkejut, aku terus berebut menarik gambar itu dari Ippi. Bergegas aku sembunyikan ke dalam poket seluar bila ternampak bayang Umi berjalan datang dari dapur.
"Tengok dah?" Berlenggang saja Umi berjalan di hadapan aku sambil membawa secawan kopi.
"Nanti." Jawapan yang sama aku beri. Tidak menunggu lama, aku terus bangun dari duduk. Laju berlalu masuk ke bilik. Selepas pintu tertutup rapat, gambar tadi aku keluarkan semula dari poket seluar.
Bucunya terkoyak sedikit dek gigitan Ippi. Ada beberapa lubang kesan dari kuku tajam si kucing.
Entah mengapa, tiba-tiba aku mengeluh. Entah lega, entah tidak suka. Jemari dengan sendiri menekan sambil melurut gambar di tangan untuk menghilangkan kesan kemutan.
Tanpa dipinta, mata aku dan mata si dia bersabung. Aku, di dunia realiti. Dia, di dunia tertangkap beku.
Lama aku merenung biasan matanya yang berjaya dipotret masuk ke dalam gambar tersebut. Bibir perlahan menutur satu kata.
"Amizatul Shima."
YOU ARE READING
Suami Berat Mulut (Sudah Diterbitkan)
ChickLit-Ni cincin merisik. Sekali dengan nombor telefon laki tu. Hang kenai-kenai tengok. Kalau tak berkenan, hang habaq elok-elok- Itu dialog emak semasa memberitahu yang aku dirisik orang. -Maksud saya....err...awak betul-betul serius ke nak kahwin...