Bab 15

8K 371 45
                                    

Jam 6 petang selepas selesai solat Asar, aku dan Abang Nasir sudah berdiri di pintu kereta masing-masing.

Dia dengan Iriz merahnya.

Aku dengan Viva hitamku.

Sebelum pulang, sempat aku ambil satu bekas sambal daging untuk dibawa balik ke Bertam. Jenuh juga aku berebut lauk dengan Aswad. Kata dia, aku ambil banyak sangat. Nanti malam dia tak dapat makan. Bila aku cedok masuk ke dalam bekas, dia jadi pengadil. Tukang timbang berat. Bila terlebih, disuruhnya aku cedok masuk semula ke dalam kuali.

Eh, suka hati aku lah! Dia pula yang jealous bila emak bekalkan banyak lauk untuk aku. Dia tiap-tiap hari boleh rasa masakan mak. Aku ni? Lepas ni nak kena jaga perut orang lain pula. Ingat senang nak jaga anak orang?

Waktu kami berebut lauk , Abang Nasir sedang solat Asar. Jadi dia tak nampak perangai buruk aku yang satu ni. Selamat aku dari tazkirah percuma. Aku tak mahu lah suami aku fikir yang dia tak mampu nak isi perut isterinya sampaikan aku terpaksa berebut lauk di rumah orang.

Rasa-rasanya, dalam tempoh dua minggu berkahwin, nampak benar perangai buruk aku menggunung tinggi berbanding Abang Nasir yang sebesar busut anai-anai saja perangai tak semenggahnya.

Tapi aku ada juga terfikir. Confirm ke perangai dia elok sangat? Entah-entah, dia pun tengah cuba cover sikap dia sama macam aku yang susah payah tutup perangai aku.

Minta-minta lah bukan yang itu kesnya. Kalau memang dari azali Abang Nasir sikapnya sopan begitu, memang aku bersyukur yang teramat. Bolehlah diajarnya aku serba sedikit untuk jadi wanita yang sebenar-benarnya wanita. Tidak lah terpekik terlolong saja setiap masa.

"Kami gerak dulu mak,ayah." Abang Nasir hulur tangan bersalam dengan emak dan ayah.

Ayah baru tadi pulang dari kerja sambilannya di Sekolah Memandu. Jadi tak dapat lah mereka bersembang lama. Itupun, setengah jam juga Abang Nasir duduk berdua dengan ayah di depan. Tak tahulah apa yang disembangkan. Nampak mulut saja bergerak. Butir bicaranya langsung tak kedengaran. Tak mungkinlah berzikir kan. Kalau bincang hal negara tu mungkin lah juga. Sebab tu kena berbisik. Kononnya rahsia ....

"Baliklah selalu. Sekangkang kera ja jarak rumah." Baru satu jam bersembang, ayah sudah sayang dengan menantu dia. Berpesan tu, mata lebih memandang Abang Nasir, bukannya aku.

Apa yang sekangkang keranya jarak rumah kami dengan rumah ayah? Panjang mana agaknya kaki kera tu sampai boleh pijak Bertam dengan Gurun ni dalam satu masa yang sama. Aku rasa, ayah ni salah guna simpulan bahasa.

"Merapu lah ayah ni. Zirafah pun tak boleh kangkang sebesar tu." Aku mula buat loyar buruk. Bukannya tidak tahu makna kiasan tu, tapi memang sengaja mahu mengusik. Menceriakan suasana.

Ayah pandang aku dari atas ke bawah.

Emak pun baru mula hendak buka mulut bila Abang Nasir lebih awal memangkas.

"Perlu ke cakap macam tu?" Sekali lagi suara lembut mendatar Abang Nasir mencucuk jantung aku. Wahh ... boleh gila macam ni. Gurau pun tak boleh?

"Padan muka!" Aswad mengejek dari dalam rumah. Nampak sangat menelinga perbualan kami dari tadi.

"Ee ... abang ni! Saya gurau je pun. Tak sempat nak gelak lagi, abang dah potong!" Aku kecilkan suara. Tak puas hati! Walhal sebenarnya tak berani nak naikkan suara. Nanti dikata melawan pula.

"Abang pun gurau juga. Tak boleh ke?"

Haih ....Aku geleng kepala perlahan. Kecewa. Macam ni saja rating lawak Abang Nasir? Memang gagal kalau masuk Maharaja Lawak ni. Entah-entah di saringan pun sudah ditendang keluar.

Suami Berat Mulut (Sudah Diterbitkan)Where stories live. Discover now