8

687 31 0
                                    

"BUYAMIN, tolong mak cik. Nadia pengsan." Beritahu Puan Salma cemas melalui panggilan telefon. Dia tidak tahu nak hubungi siapa. Kamil sedang bekerja jauh di Sabah. Manakala Iqbal dan Natrah pula berada di luar negara. Dia terfikir akan Buyamin. Lantas cepat-cepat dia mencari nombor telefon Buyamin dalam telefon Nadia. Mengharapkan Buyamin membantunya.

"Ya Allah, mak cik tunggu saya di rumah. Saya akan segera datang."

Buyamin mematikan panggilan telefon. Dia menyarung baju t shirt berserta seluar jeans. Kebetulan dia baru selesai mandi. Sebaik sahaja turun ke bawah, Zahra, sepupu Buyamin belah Datin Marlia ada.

"Hai, Abang Buya." Zahra menyapa. Zahra baru sahaja pulang dari Dubai. Ibu Zahra, Puan Mariah iaitu adik Datin Marlia telah bercerai dengan lelaki Arab dan pulang ke Malaysia.

"Ma, Nadia pengsan. Buya kena pergi ke rumah dia. Nak hantar Nadia ke hospital." Beritahu Buyamin tanpa mempedulikan Zahra di ruang tamu itu.

Berkerut dahi Zahra melihat Buyamin cemas semacam dan siapa Nadia itu? Kekasih Abang Buyaminkah? Kalau Nadia itu kekasih Abang Buyamin, itu bermakna dia ada pesaing untuk merebut hati abang sepupunya itu. Zahra gigit bibirnya. Terasa dirinya dicabar pula.

"Kenapa dia boleh pengsan, Buya?" tanya Datin Marlia.

"Tak tahulah, mama. Buya pergi dulu ya." Buyamin berlalu pergi tanpa bersalaman dengan Datin Marlia.

"Siapa Nadia tu, mak long?" tanya Zahra. Teringin tahu siapakah gerangan Nadia yang telah mencuri hati kekasih pujaan hatinya itu.

"Kekasih Buyamin." Ujar Datin Marlia pendek. Cukup memberitahu siapa Nadia pada Buyamin.

Zahra berdecit geram. Ada Nadia pula sebagai penghalang. Ini tak boleh jadi!

Buyamin memecut laju menuju ke rumah Nadia. Sebaik sahaja sampai di rumah Nadia, Buyamin terus masuk mencari Puan Salma dan Nadia.

"Kita bawa Nadia ke hospital." Sampai di bilik Nadia di atas, Buyamin terus mengangkat tubuh Nadia yang pengsan itu. Puan Salma angguk tanda setuju.

#

NADIA membuka matanya. Pandangannya pinar dan bila dia melihat keadaan sekelilingnya berubah, Nadia cuba bangun tetapi dihalang oleh Puan Salma.

"Nadia kat mana ni, ma?"

"Nadia kat hospital. Semalam Nadia pengsan."

Nadia mengeluh. Ini mesti dia mengalami tekanan lagi. Tapi sebab apa? Sebab Tuan Buyamin kah dia jadi begitu? Ah, kenapalah dia nak marahkan Tuan Buyamin. Nadia rasa bersalah pula. Rasa nak cari Tuan Buyamin untuk meluahkan perasaan bersalahnya ini.

Buyamin muncul membawa dua bungkusan nasi untuk Puan Salma dan Nadia. Dia senyum pada Nadia yang sudah sedar itu. Semalam bukan main risau lagi dia akan keadaan Nadia. Nadia sangat pucat semasa dia dalam perjalanan ke hospital. Doktor beritahu Nadia terpaksa ditahan di wad untuk sementara waktu.

Dia juga tidak pulang ke rumah kerana mahu menemani Puan Salma di wad.

Risau.

Teramat risau akan kekasihnya itu.

Buyamin rela bersekang mata menunggu Nadia membuka matanya.

"Mak cik, Nadia. Saya belikan nasi bungkus." Buyamin menyerahkan nasi bungkus kepada Puan Salma lalu Puan Salma letakkan nasi bungkus itu di meja yang disediakan.

"Tuan," Nadia memanggil.

"Bagaimana dengan keadaan awak pagi ni? Dah semakin okey?"

"Saya minta maaf." Ucap Nadia.

CINTA KEDUAWhere stories live. Discover now