17

495 32 0
                                    

NADIA dan Buyamin menziarahi Datuk Rahman dan Datin Marlia. Sudah agak lama mereka tidak berkunjung ke rumah agam itu. Masing-masing sibuk dengan pelbagai urusan. Buyamin sibuk menguruskan dua buah syarikat di Malaysianya dan di luar negaranya. Manakala Nadia pula sedang merancang hendak membuka beberapa cawangan butiknya.

"Datang berdua aje? Mana Naim?" tanya Datin Marlia. Dia amat merindui si kecil yang selalu mencuit hatinya itu.

"Naim pergi ke rumah tok ma." Beritahu Nadia. Mereka bertiga, Nadia, Buyamin dan Datin Marlia melabuhkan punggung di sofa. Pembantu rumah Datin Marlia menghidangkan air untuk mereka bertiga.

"Mana papa?" tanya Buyamin. Sunyi sepi saja rumah agam ini. Adiknya telah pergi melanjutkan pelajaran ke luar negara sebulan yang lalu. Haniah dan Faris? Malas dia hendak ambil tahu.

"Papa keluar dengan Haniah. Ambil angin kat luar."

Buyamin mendengus kasar.

"Habis mama? Kenapa tak ikut sekali? Mama kan isteri papa juga." Buyamin tidak puas hati. Nampaknya papanya masih mengutamakan Haniah berbanding isteri pertamanya. Sudahlah Haniah tinggal bersama dengan mama. Pandai rupanya perempuan itu mengambil kesempatan.

"Mama tak larat nak jalan jauh. Bagi papa dengan Haniah ajelah yang keluar."

"Mama jangan tipu Buya. Buya tahu mama nak juga keluar dengan papa tapi perempuan tu tak bagi kan?" teka Buyamin. Mula menaruh prasangka buruk terhadap ibu tirinya. Dia memang selalu berprasangka buruk terhadap Haniah. Tidak pernah prasangka baik pun.

"Buya, jangan fikir bukan-bukan. Haniah bukan tak bagi mama keluar dengan papa. Mama memang tak larat nak berjalan jauh." Datin Marlia sudah pun menjengah usia 60 tahun. Sudah tua dan tidak larat hendak melakukan sebarang aktiviti.

"Kalau perempuan tu buat something kat mama, beritahu Buya. Buya tak nak perempuan tu bermaharajalela dalam rumah ni. Ini rumah mama, bukan rumah dia. Dia hanya duduk menumpang saja."

Nadia sekadar memasang telinga mendengar perbualan antara dua beranak itu. Setiap kali datang ke sini, Buyamin pasti akan bertanyakan soal ibu tirinya itu. Buyamin sudah memberitahunya bahawa dia tidak akan berhenti mencari pasal dengan ibu tirinya jika bertembung di mana sahaja. Buyamin cukup membenci Haniah itu.

"Nadia nak makan apa-apa? Mama bercadang nak buat nasi lemak hari ni." Datin Marlia menukar topik. Rimas juga jika asyik menjadikan Haniah sebagai topik utama perbualan mereka. Haniah dengan Buyamin tidak akan pernah berbaik walaupun dia cuba mendamaikan Buyamin dengan Haniah itu. Entah bila persengketaan antara ibu tiri dengan anak tiri ini akan berakhir. Dia tidak tahu.

"Boleh juga. Biar Nadia bantu mama."

"Amboi, tahu ke nak buat nasi lemak tu?" Buyamin mencelah. Tak pernah dia tengok isterinya buat nasi lemak. Selalunya dia yang belikan nasi lemak kat kedai.

"Eh, tahulah. Saya siap belajar dengan Mama Salma lagi tau."

"Ya ke? Habis awak suruh abang beli kat kedai, kenapa?"

"Itu sebab saya malas nak buat. Abang ni, isteri abang ni pandai juga tau memasak nasi lemak kegemaran mama ni. Abang tunggu kat sini. Biar saya dengan mama masuk dapur."

Buyamin senyum.

"Pastikan sedap ya? Abang tak nak terkena cirit-birit dengan nasi lemak awak tu."

"Yalah. Jom mama." Nadia pula yang beria-ia nak buat nasi lemak.

"Ma, barang-barang nak buat nasi lemak dah ada ke?" tanya Buyamin.

"Buya belikan telur ya?" pinta Datin Marlia.

CINTA KEDUAWhere stories live. Discover now