26

402 20 0
                                    

JENAZAH Datuk Rahman selamat dikebumikan bersebelahan pusara ibu Datuk Rahman di tanah perkuburan. Suasana suram di rumah agam itu. Yang hadir juga beransur pulang meninggalkan Datin Marlia dan Buyamin di ruang tamu itu. Datin Marlia sejak di tanah perkuburan diam tidak terkata apa-apa. Buyamin pula sedang berbincang dengan peguam untuk kes pembunuhan papanya. Ketika sedang menguruskan jenazah Datuk Rahman, dia terjumpa botol ubat yang selalu diambil oleh Datuk Rahman lalu dia serahkan kepada peguamnya, Encik Ali untuk periksa. Ternyata ubat itulah yang melumpuhkan Datuk Rahman sehingga meninggal dunia.

Nadia mendapatkan Datin Marlia di ruang tamu. Mata Datin Marlia bengkak. Seharian mengalirkan air mata tanpa suara. Hatinya sudah redha dengan pemergian suami yang tercinta tetapi mata tidak dapat menahan melihat jasad yang dikapankan hadapannya dimasukkan ke liang lahad. Rumah ini telah sunyi tanpa Datuk Rahman. Elisa dijangka sampai malam ini. Anak perempuan Datin Marlia itu tidak dapat pulang tepat pada masanya kerana terlibat dengan peperiksaan akhir.

"Mama,"

"Naim mana?"

"Dia dah tidur. Mama, Nadia nak mama kuat. Kita kena kuat tau, ma."

Datin Marlia mengukir senyuman.

"Mama kuat, sayang. Mama redha dengan pemergian suami mama. Cuma mama tidak sangka arwah pergi dalam keadaan yang tidak dijangka. Dia meninggal kerana perbuatan orang." Mengenang apa yang dilakukan oleh Haniah, Datin Marlia bersumpah akan mengheret perempuan itu ke tali gantung.

"Mama tahu tak, keadaan papa sama macam arwah ayah Nadia. Arwah ayah meninggal disebabkan perbuatan orang. Bertahun-tahun lamanya kami cari kebenaran dan rupa-rupanya ayah saudara Nadia yang merancang sebab dia tak puas hati dengan arwah ayah. Kita bertiga akan bawa Mak cik Haniah ke muka pengadilan. Itu janji Buyamin dan Nadia pada mama." Dia juga akan membantu suaminya mengheret perempuan itu. Sungguh kejam sekali memperlakukan Datuk Rahman begitu kerana dendamnya.

"Nadia," Datin Marlia pegang tangan Nadia. Matanya menatap anak mata Nadia.

"Pastikan Haniah masuk penjara tapi jangan biarkan Buyamin bunuh Haniah. Mama jangkakan Buyamin akan bertindak luar jangkaan kalau dia dapat Haniah. Mama tak nak anak mama bunuh orang sebab Haniah juga mak Buyamin. Biar hakim yang menentukan hukuman untuk Haniah, bukan Buyamin. Mama nak Nadia kawal Buyamin. Nadia aje boleh buat macam tu sebab dia sangat cintakan Nadia." Pinta Datin Marlia. Dia tidak mahu Haniah mati di tangan Buyamin. Buyamin bukan sebarangan orang. Amarahnya boleh membinasakan diri sendiri.

"Mama jangan risau... Nadia akan pastikan Buyamin tidak bertindak macam tu."

"Mama dan papa ada rahsia yang kami sembunyikan daripada Buyamin. Sudah 32 tahun kami simpan. Rahsia ni kami tak beritahu Buyamin kerana takut Buyamin akan menyalahkan kami." Sudah tiba masanya untuk dia bongkarkan rahsia ini.

"Rahsia apa?"

Buyamin datang membuatkan Datin Marlia menguncikan mulutnya untuk membongkarkan rahsia itu.

"Mama, Nadia, esok pihak polis akan menangkap Haniah." Haniah sekarang sedang dirawat di hospital atas kecederaan yang dia dapat.

#

FARIS datang ke rumah agam yang telah dia tinggalkan selama setahun itu. Dia menerima berita kematian Datuk Rahman dari seorang rakannya yang bekerja di Rahman Holding. Mamanya pula dia tidak melawat mamanya kerana mengenangkan perbuatan mamanya pada Datuk Rahman. Datuk Rahman itu sudah dia anggap sebagai ayah kandungnya sendiri.

"Kenapa kau datang sini? Kau sepatutnya lawat mak kau kat hospital tu. Dia perlukan kau." Ujar Buyamin.

"Aku datang sini sebab aku nak bantu kau dan Mama Marlia."

CINTA KEDUAWhere stories live. Discover now