16

512 31 0
                                    

NADIA bertentangan mata dengan Haniah, ibu tiri Buyamin memerangkap mak mentua tirinya. Ini kali kedua Nadia berjumpa dengan Haniah selepas kali pertama berjumpa di hospital beberapa bulan yang lalu. Terlalu banyak yang diperkatakan oleh Buyamin mengenai Haniah. Haniah yang dikatakan perampas dan perosak keluarga Buyamin tetapi Nadia tidak mahu turut mengatakan hal yang sama seperti Buyamin. Biarlah siapa-siapapun Haniah, Haniah itu tetap isteri kepada ayah mentuanya. Itu fakta yang tidak boleh Buyamin nafikan. Nadia ingin cuba rapat dengan Haniah tetapi Buyamin pula tidak mengizinkannya.

Haniah, wanita sebaya Puan Salma. Sangat cantik dan tampil elegan sepadan dengan usianya. Mungkin zaman mudanya lagi cantik. Sebab itu Datuk Rahman nak kahwin dengan ibu tiri Buyamin.

"Nadia sihat?" tanya Haniah. Sengaja dia berkunjung ke butik Nadia. Nadia dan Buyamin tidak tinggal bersama mereka di rumah agam itu. Buyamin telah mengambil keputusan untuk tinggal berasingan dari mereka. Semasa perkahwinan Buyamin dengan Nadia, dia tidak dapat hadir atas alasan terpaksa ke luar negara menguruskan perniagaannya.

"Alhamdulilah, sihat."

Nadia dan Haniah duduk di sofa.

Mata Haniah memandang sekeliling butik Nadia. Butik Nadia mempamerkan corak moden dan elegen dengan rekaan dalaman yang sangat menarik. Kedudukan perabot butik juga disusun dengan rapi dan kemas. Begitu juga dengan pakaian-pakaian yang dipamerkan. Dahulu Haniah pernah terbuka hati hendak membuka sebuah butik pakaian tetapi Datuk Rahman tidak membenarkannya atas alasan Haniah tidak pandai menguruskan perniagaan. Tetapi Haniah berkeras juga hendak berniaga lalu dia mengeluarkan produk kecantikannya sendiri dan telah maju sehingga ke luar negara. Dengan itu Haniah boleh berbangga dengan kejayaan yang dikecapinya. Jika hendak dibandingkan dengan Datin Marlia yang pemalas itu, dia sepatutnya dapat gelaran Datin kerana telah banyak yang dia sumbangkan untuk suaminya yang turut mendapat nama atas kejayaannya.

"Cantik butik Nadia." Puji Haniah. Ikhlas dari sudut hatinya. Dia berkira-kira hendak membuka butik juga suatu hari nanti. Bolehlah dia mengajak Nadia menjadi rakan niaganya. Itupun kalau Nadia sudi dan Buyamin tidak menghalangnya. Sebut pasal Buyamin, jangan-jangan Nadia juga sama dengan Buyamin. Bencikan dia? Hm. Ikut suka hati kaulah Nadia kalau kau macam Buyamin juga. Lama-lama aku boleh hapuskan kau sekali.

"Mak cik dah breakfast? Kalau belum, saya minta pekerja saya belikan makanan. Boleh kita breakfast sekali?" Haniah datang tepat jam 9 pagi masa dia hendak buka butiknya ini. Terkejut juga Nadia dengan kemunculan Haniah di awal pagi.

"Mak cik dah makan tadi sebelum datang sini."

"Oh, hmmm."

"Nadia dengan Buya macam mana? Okey?"

"Alhamdulilah. Okey."

"Dah seminggu Nadia dan Buyamin jadi suami isteri, dah ada isi ke belum?"

"Isi? Eh, ke situ pula mak cik ni." Nadia ketawa. Isi apanya? Baru lagi perkahwinan mereka ini.

"Manalah tahu, kalau dah lekat kan?"

"Belum ada rezeki lagi, mak cik. Lagipun kami baru aje berkahwin."

"Hm, tak apalah. Nanti lama-lama adalah tu. Kan?" kalau boleh, tak perlu ada anak pun tak apa. Biar Buyamin tak ada anak sampai ke tua. Perangai Buyamin tidak sesuai jadi seorang ayah. Dia cukup benci dengan perangai Buyamin ini. Alangkah baiknya kalau Datuk Rahman tidak merayu budak itu balik Malaysia. Haniah kena lakukan sesuatu. Dia kena hapuskan keturunan Buyamin dengan Nadia. Nanti rancangannya untuk merampas harta Datuk Rahman terhalang.

"Haah."

"Anak Nadia sekarang umur berapa? Mak cik tak nampak anak Nadia sejak Nadia kahwin dengan Buya."

CINTA KEDUAWhere stories live. Discover now