Nissa merenung memandang inai di jari dan inai yang dilukis indah di belakang tapak tangannya. Cantik dan kemas dilukis mak andam yang sama yang akan mencalit mekap di wajahnya nanti.
Dia tidak pernah ada pengalaman berinai, seumur hidupnya. Bibir terasa hendak tersenyum, hati pula terasa sebak.
Dato' Loqman yang sudah serasi dengan panggilan papa telah menempah homestay ini untuk menjadi tempatnya menginap sebelum akad nikahnya malam ini, selepas waktu Isyak.
Mak andamnya yang datang dari Kuala Lumpur, telah pun mula menyusun perkakas. Anak-anak dibawa pergi Rizal bersama beberapa anak buahnya yang lain, untuk memberi ruang kepada Nissa bersiap. Seronok Sara dan Rafi, seakan terlupa akan mommy, senyum Nissa.
Tergantung di almari adalah baju nikahnya yang ditempah khas untuk majlis ini. Berwarna cream, lembut dan halus buatan kain brocade itu. Memilih untuk kelihatan ringkas, sesuai dengan statusnya sebagai ibu tunggal dan bukan anak dara.
Kata kak chik, bakal iparnya, bilik pengantin juga sudah siap, seperti dijanjikan perancang perkahwinannya, Kak Nur.
Bilik pengantin, pelamin nikah, khemah tetamu, meja pencuci mulut, katering dan sebagainya semua sudah siap, cuma Nissa sahaja yang belum berkesempatan melihat. Malam ini, sepertimana tetamu, baru Nissa dapat melihat hasil kerja tangan Kak Nur.
Hantaran bagi pihaknya saja yang ditempah Nissa sendiri. Ibu bapa Razif mengambil alih tugas menempah kad jemputan kerana kata mereka Dato' Loqman sudah membolot semua tugas lain yang ada.
***************
Saat dia sampai di tangga rumah Razif dan dipersilakan naik, Nissa gembira melihat perubahan yang telah dilakukan pasukan Kak Nur, menjadikan malam nikahnya begitu indah sekali. Rona warna pastel lembut menyulami tema off white yang dipilih. Pilihan bunga orkid putih sebagai tema nampak begitu indah dan elegan.
Dia disambut ibu dan ayah Razif, begitu juga papa, bekas mertuanya dan ramai lagi saudara mara Razif.
Terdetik hati kecilnya, apa kata Datin jika mengetahui keberadaan suaminya. Apa kata Haziq pula?
"Nissa duduk di pelamin ya," tunjuk Kak Chik sambil senyum mesra.
Terasa sungguh istimewa malam ini. Pernikahannya sebelum ini hanya dihadiri rakan-rakan, malah dia sendiri cuma berbaju kurung biasa saja. Tiada tiara tiada hiasan tiada apa-apa, cuma rasa cinta d.>an sebuah harapan untuk bahagia, yang akhirnya dia kecewa. Apakah ini keputusan yang betul, tiba-tiba bisikan halus menusuk hatinya. Mungkinkah aku akan dilandai badai lagi.
Kini di hadapannya tiada ruang kosong, setiap pelusuk dipenuhi ahli keluarga Razif. Betullah katanya, ahli keluarganya memang ramai. Nissa gugup memikirkan apakah dia akan diterima mereka semua. Tapi tiada wajah yang menunjukkan riak tidak setuju atau tidak suka, semua tersenyum memandangnya.
Razif masih belum berpaling. Apakah Razif juga berdebar, sepertinya.
Razif berbaju melayu warna sepadan dengan bajunya, bersongkok hitam, berstokin hitam,bersila menghadap jurunikah. Di sisinya ada beberapa orang sebagai saksi dan wali hakim. Dari tepi, tiada yang lebih kacak Nissa rasakan, hanya Razif. Dengan hanya sekali lafaz Nissa dan Razif selamat menjadi suami isteri yang sah.
Selesai akad nikah, Razif berpaling kepadanya, berhenti hampir seketika memandang Nissa dengan baju nikahnya. Di dalam hatinya terdetik, beruntungnya aku Ya Allah. Kuatkan jodoh kami sehingga akhirnya ya Allah.
Razif bangun ke arah kotak barang kemas yang berada dekat dengan kaki Nissa, cuma mungkin Nissa tidak perasan. Tiada siapa tahu akan kewujudan pemberian ini. Dia sendiri yang senyap-senyap mencari dan membeli juga menyimpan diam-diam. Kini masa untuk menyarungkan cincin di jari manis Nissa.
Saat cincin berlian diikat emas putih solitaire itu berada di jari Nissa, setitis air matanya jatuh. Kemudian, Razif memakaikan seutas gelang di lengannya diikuti seutas rantai. Nissa yang tidak sangka Razif menyediakan semua itu hanya mampu mengikut sahaja.
Sempat lagi saudaranya mengusik, "banyak lagi ke ni nak sangkut Pak Su?" sambil diikuti tawa yang lain. Nissa cuma tersimpul malu. Dia tidak pernah dikelilingi saudara seramai ini seumur hidupnya. Dia tidak pernah hadir kenduri sebagai seorang ahli keluarga, hanya sebagai tetamu yang datang bawa hadiah, menjamah makanan yang tersedia dan berlalu. Ini perkara dan suasana baru baginya.
Setelah jamuan makan selesai, papanya meminta diri untuk kembali ke hotel. Mertua barunya datang ke sisi Nissa, "Nissa, mak dengan abah bawa Sara dengan Rafi tidur dengan kami ya," alamak malu pula Nissa begini.
"eh takpelah mak, Sara dengan Rafi boleh tidur dengan kami,"
"ish takkanlah macam tu. Nissa jangan risau, mak dengan abah dah biasa jaga cucu. Dah, pergi bersiap, mandi, cuci mekap kamu tu, siapkan bilik. Mak nak pergi homestay kamu ambik barang budak-budak ni."
"susahkan mak pulak," Nissa masih ragu-ragu.
"taklah, jangan risau ya, mak ada, mak jagakan anak-anak Nissa." seraya pergi meninggalkan Nissa masih terpinga-pinga.
Masuk saja ke bilik, Nissa mula menyalin tudungnya kepada tudung sarung dan mula mengemas katil, menukar cadar dan sarung bantal kerana cadar itu akan dipakai esok pula.
Teringat tadi saat dipinta bergambar dengan Razif di tepi katil oleh jurugambar dan anak-anak buahnya. Razif selamba berborak dan ketawa, Nissa pula hanya menurut. Tidak dapat di sembunyikan gelodak hatinya.
"Lama abang tercegat kat sini, sayang abang ni tak perasan pun, khusyuk benar duk menukar cadar," tegur Razif menyandar di tepi pintu bilik dengan gaya berpeluk tubuh, memerhatikan isterinya.
"Eh abang.." Nissa berpaling melihat Razif sudah menutup pintu.
Tidak tahu apa yang perlu dibuat, apa yang perlu dikata, "abang dah solat isyak? Nissa belum. Nissa pergi mandi pastu solat ya," eh mana pulak towel ni, oh dalam bagasi! Nissa cepat-cepat berjalan ke arah beg bajunya dan menyelongkar mencari tuala.
"Nissa pergilah nak mandi ke, nak solat ke, tapi janganlah buat abang tunggu lama sangat," kata Razif mencuit hidung isterinya yang baru dinikahi sambil tersenyum nakal.
Nissa menarik nafas lega, "abang tunggu Nissa ya,"
Nissa yang telah lengkap berpakaian dari dalam tandas segera menuju ke arah telekung yang disangkut. Dia tidak mahu berfikir apa-apa. Setelah mengucapkan salam, dia menadah tangan, berdoa agar suaminya ini adalah pilihan yang terbaik untuknya dan anak-anak. Nissa bersyukur, pilihannya untuk sehidup semati bersama Razif adalah pilihan terbaik. Bahagia yang dirasakan kini, Nissa tidak mampu menidakkan lagi. Razif akan jadi suami yang baik, yang pernah diimpikan Nissa sewaktu dia masih mentah remaja dulu. Inilah lelaki yang pernah dia doakan dan Allah telah mendatangkan lelaki itu ke dalam hidupnya. Dalam air mata, Nissa menangis bersyukur dengan bahagia yang dirasanya kini.
Tanpa sedar, Razif telah lama duduk di hujung katil memerhatikan isterinya menadah tangan di atas sejadah. Terdengar esakan halus Nissa menangis. Apa pun kisah dahulu isterinya, Razif berharap dia mampu bahagiakan wanita hebat itu. Wanita yang kini sah bergelar isterinya.
"I love you sayang," ucapnya dari jauh.
Seketika Nissa tersedar, dan berpaling bertentangan mata dengan Razif.
"I..love you...too..abang"
![](https://img.wattpad.com/cover/171996963-288-k815200.jpg)
YOU ARE READING
Tak Henti Gelora
RomanceKisah seorang ibu tunggal anak dua di kota metropolitan dalam mencari kebahagiaan untuk diri dan anak-anaknya. Perjalanan hidup seorang anak terbuang yang membina hidupnya sendiri. Haziq pernah mengecewakan dan menyakitkan dirinya, Razif datang men...