Bab 22

53 3 0
                                        

"Tiit..!"
"Tiit..!"

Bunyi mesin ECG yang memerhatikan pergerakan jantung Nissa bergema di dalam bilik wad. Nissa yang cedera di bahagian kepala dan patah kaki terbaring sepi di atas katil tidak sedarkan diri. Kepala dan kakinya masih berbalut tetapi dia tetap kelihatan cantik.

Rizal yang segera menaiki helikopter dari pelantar pulang tatkala mendapat perkhabaran mengenai adik kembarnya seminggu lepas, duduk memandang sepi ke arah Nissa.

Terngiang-ngiang pesanan arwah Razif sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir kurang seminggu yang lalu,

"Rizal, tolong jagakan Nissa untuk aku," Razif berbisik ke telinga Rizal. Dia perlu meninggalkan pesanan ini. Dia tidak mahu pergi, dia mahu menjaga Nissa, dia sudah berjanji pada tapi apakan daya.

"Apa kau merepek ni zif? Kau yang akan bangun, pegi tengok dia. Dia belum sedar lagi tu. Mak abah tunggu kau bangun zif, aku nak kau kuatkan semangat, kau separuh dari aku zif" saat ini air mata lelakinya sudah mengalir tanpa malu. Benar, Razif separuh dari nyawanya. Adik kembar yang selama ini selalu melindungi perangai nakal abangnya.

"Zal, jagakan Nissa dan anak-anak. Tolonglah berjanji dengan aku zal. Lepas habis edah, kau pujuklah dia nikah. Kau je yang aku boleh harapkan," perlahan tapi jelas permintaan itu. Permintaan agung seorang adik yang membawa separuh nyawanya. Air mata Razif mengalir. Berat dan besar permintaannya. Hanya Rizal yang mampu bahagiakan Nissa sepertinya. Dia tidak mahu Nissa terluka lagi.

"Ya zif, aku janji zif,"

"Allahh..Allahhh...Allahuakbarr.." dengan kalimah kebesaran Allah adiknya pergi, meninggalkan abangnya dengan sebuah janji.

Abang long yang berada di hujung katil mengurut dadanya, mengucapkan Innalillah..Air matanya juga tidak dapat ditahan lagi. Setiap perbualan adik-adiknya didengari. Bagaimanakah harus dia membawa perkhabaran pemergian Razif ini pada ibunya, ya Allah..?

*****

Sudah seminggu pemergian Razif, Nissa masih juga belum sedar. Rizal meraup wajahnya. Dia sendiri tidak dapat bertolak semula ke pelantar. Dia tidak kuat. Pagi tadi sebelum dia ke hospital, dia singgah di kubur adiknya, membacakan yassin. Seakan tidak percaya, Razif sudah ke alam sana. Berat untuk melepaskan Razif pergi.

"Razif," keluar nama itu di bibir Rizal.

Serentak dengan itu terdapat pergerakan di hujung jari Annissa.

Rizal bangun, dia kaget. Apakah yang dia patut lakukan. Sudah lebih seminggu Nissa berada dalam keadaan koma. Tidak bergerak langsung. Hanya dibersihkan oleh nurse bertugas. Patutkah dia memanggil  nurse. Hampir tangannya mahu menekan butang di kepala katil,

"Abang.."

Nissa mengangkat tangannya memegang lengan Rizal. Dia tersenyum. Oh, sungguh cantik senyuman itu,  detik hati Rizal. Beberapa saat kemudian, Nissa kembali memejam mata.

"Nissa, bangun Nissa," Rizal cuba mengejutkannya untuk mengelakkan Nissa berlalu semula ke alam koma.

Perlahan, Nissa membuka mata. Tangannya yang memegang lengan Rizal menarik dan meletakkan tangan sasa itu di pipinya.

"Kasar tangan abang hari ni, selalunya lembut.." serak suara Nissa menuturkan kata.

"Nissa rehat, saya panggilkan nurse,"

Nissa menggeleng. "Sayang rindu abang, abang temankan sayang ya"

Rizal perlahan duduk kembali. Ujian apakah yang kau berikan pada dia, ya Allah..

Tak Henti GeloraTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang