Bab 1

223 3 2
                                    

Hari itu nasibnya agak malang bila terserempak dengan ayahnya di muka pintu. Langkahnya terhenti sebaik saja ditahan oleh si ayah. Bulat mata Pak Lang memandang beg sandang di tangannya. Belum sempat Pak Lang bersuara, dia menyambung langkah maju ke depan melintasi ruai hingga ke luar laman rumah panjang.

Pak Lang tidak menunggu lama, lalu mengejar anak gadisnya yang liar itu ke halaman, malangnya tidak sempat. Dia terlambat beberapa saat, si gadis sudah memboloskan diri ke dalam perut kereta. Dia hanya mampu memekik dari halaman seperti orang gila;

"Budak sialan! Untung dia lari, kalau tidak....nahas dia aku kerjakan!" sambil mengepal penumbuk menahan amarah.

Si gadis bernama Angela, anak tunggal Pak Lang tidak menunggu lama. Enjin kereta dihidupkan dan pedal minyak dipijak. Toyota Vios berwarna silver meluncur laju meninggalkan rumah panjang Tr. Mudin.

Dari cermin pandang belakang Angela melihat ayahnya bergaduh dengan dinding; ditumbuk dan ditendang dinding tidak bersalah itu. Begitulah keadaannya kalau Pak Lang marah.

Mujurlah dia sempat melarikan diri sekali lagi. Jika tidak, pasti nahas dia dikerjakan oleh orang tua itu. Mungkin patah kaki atau tangan dia dipukul Pak Lang seperti di zaman sekolah dahulu, sewaktu ditangkap mencuri jam tangan sepupunya di asrama. Tanpa belas kasihan Pak Lang memukul tangan dia dengan batang penyapu hingga tangan kanan yang digunakan mencuri itu patah. Itulah kali terakhir Pak Lang memukulnya.

Hari ini, sekali lagi dia berjaya mengelakkan diri dari ayahnya yang garang itu. Mungkin kali ini dia akan pergi lama dan tidak akan kembali dalam tempoh terdekat. Mungkin mengambil masa beberapa bulan ke depan atau hingga perayaan Gawai tahun hadapan.

Dia nekad kali ini. Dia sudah muak dengan layanan buruk ayahnya. Setiap kali dia pulang bercuti ayahnya tidak berhenti 'menyekolahkan' dia; kerana gosip buruk tentang dirinya yang sentiasa menjadi buah mulut orang kampung; hanya kerana pekerjaannya sebagai pelayan di kelab malam Zhang Li.

Pekerjaan tidak halal itu bukan seteruk yang disangka. Tugasnya cuma mengambil pesanan pelanggan dan menghantar minuman yang dipesan. Mula-mula baru masuk kerja dahulu agak rumit sedikit, dia kena melayan pelanggan lelaki dan melepak bersama mereka di meja.

Syukurlah sepanjang dia bekerja dari tahun lepas, belum pernah dia dilanggan hingga ke luar permis kerana Zhang Li tidak menjalankan aktiviti pelacuran. Jika ada pelayan lain yang melacurkan diri, itu terpulang pada individu sendiri.

Namun, setelah beberapa bulan bekerja di kelab Borneo Bistro, kecantikannya memikat hati Zhang Min, adiknya Zhang Li. Sejak itu tugasnya menjadi ringan kerana masa banyak dihabiskan bersama Zhang Min.

**

Perjalanan dari kampung ke bandar Sibu tidaklah sejauh mana; hanya setengah jam pemanduan. Malam ini dia masuk kerja seperti biasa setelah bercuti dua hari. Zhang Min berkali-kali mengingatkan dia supaya masuk kerja malam ini. Dia pun tidak sabar ingin bertemu kekasih hati.

Malamnya, dia turun bekerja seperti biasa. Tetapi malam ini agak istimewa dari biasa. Zhang Min mengajaknya melepak bersama bos di bilik vip, tempat khusus untuk tetamu terhormat. Biasanya bilik itu selalu digunakan sebagai tempat pertemuan Zhang Li bersama rakan perniagaannya. Pekerja biasa atau pelanggan dilarang masuk kesana.

Pada mulanya dia menolak pelawaan Zhang Min memandangkan ramai tetamu terhormat disitu termasuk bos mereka sendri. Tetapi Zhang Min memberikan alasan yang tepat memaksa dia bersetuju. Selain lelaki, ada juga beberapa orang pelayan seperti dia duduk disitu. Jadi, keadaannya tidak berapa kekok.

Tiada apa yang menarik selain memasang telinga mendengar perbualan Zhang Li dan rakannya dalam bahasa Mandarin. Entah apa yang dibualkan oleh mereka, dia langsung tidak faham. Salah ayahnya dulu kerana tidak menghantarnya ke sekolah cina. Jika dia bersekolah cina dahulu, pasti senang hidupnya dapat berkomunikasi dengan bangsa Cina dalam bahasa Mandarin. Sejak berkawan dengan Zhang Min yang berbangsa Cina, dia terbuka hati ingin belajar bahasa tersebut, namun ia bukan semudah disangka....

Saksi (complete)✅Where stories live. Discover now