Suasana petang itu agak cerah namun tidak bagi Datuk Wong. Kunjungan Robert menjadikan hatinya semakin suram. Bertambah suram apabila Robert mengadu tentang kebiadapan anak kawan baiknya yang baru berpindah dari Bukit Aman.
"Bagaimana Datuk?" Tanya Robert berhati-hati, "...adakah Datuk datang ke balai memberi kesaksian?"
"Hmm..." Datuk Wong mengeluh berat. Cawan tea yang berasap disisip perlahan.
"Aku akan beritahu kau nanti. Tapi dengan satu syarat, aku tidak mahu Calvin masuk campur," tegas Datuk Wong.
"Baik, Datuk. Saya akan pastikan Calvin tidak campur tangan lagi," janji Robert.
"Tetapi, saya mahu mengingatkan...." sambung Robert lagi, "....kemungkinan polis akan menggeledah kediaman Datuk."
Datuk Wong mencebik. "Silakan..."
"Saya hanya mengikut prosedur Datuk. Harap dimaafkan hehehehe..."
Orang kanan Datuk Wong muncul di taman dan berbisik sesuatu ke telinga orang tua itu. Datuk Wong kelihatan mengangguk. Robert mula berkira mahu meminta diri. Dia tidak selesa berlama disitu.
"Err...jam pun dah lewat. Saya nak minta diri," kata Robert sambil berdiri.
Datuk Wong mengangguk. Selepas Robert beredar Datuk Wong bangun menghadap Richard dengan muka menyinga.
"Mana tu budak? Panggil dia kesini!"
Richard berpatah balik semula ke halaman. Dari taman kedengaran suaranya memanggil Leon yang baru sampai. Leon berlari anak mendapatkan Richard. Penampilan Leon agak serabut, maklumlah baru keluar dari persembunyian. Semalam misinya gagal lagi. Semua pengikutnya mati ditembak. Dia tidak dibenarkan balik dalam tempoh 12 jam. Selepas 12 jam tamat dia muncul melapor diri.
"Kau tahu ini peluang terakhir kau?" Marah Datuk Wong.
"Tolong bagi satu lagi peluang bos. Aku berjanji akan bawa perempuan tu kesini," Leon cuba meraih simpati.
"Tempoh hari pun kau cakap janji yang sama. Tapi hasilnya mana?" Pekik Datuk Wong. Richard di sebelah hanya menjadi cctv.
"Kali ini betul-betul, bos. Aku dah tahu lelaki mana yang dia ikut. Jarang-jarang orang disini memakai Ferrari. Aku akan cari dia!" kata Leon penuh semangat.
"Ferrari apa kau cakap?" Dahi Datuk Wong berkerut.
"Lelaki yang kacau daun tu pakai kereta sport Ferrari, bos."
"Aku pun ada Ferrari, bodoh!" Lancar sahaja tangan Datuk Wong mengetuk kepala Leon. "Kau ingat dia seorang pakai Ferrari? Melambak orang kaya disini pakai Ferrari, bodoh! Kau nak check satu-satu pemilik Ferrari dalam bandar ni? Bodoh!"
Leon tersengih menampakkan gigi rongak.
"Berambus kau syaitan sebelum aku hilang kawalan!"
Mendengarkan itu sepantas petir menyambar Leon cabut lari dari taman.
"Tembak si bodoh tu kalau dia gagal lagi," pesan Datuk Wong pada Richard sebelum berlalu.
Nampaknya keadaan semakin rumit. Tak sangka hanya kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Andai saja perniagaan haram mereka terbongkar hancurlah kerjayanya sebagai ahli korporat. Kalau dia jatuh, rakan-rakan yang lain pun ikut jejaknya.
Dia masih marah dengan Zhang Li si pemilik kelab malam itu. Kalau Zhang Li tidak mengadu kepada anggota polis itu, pihak lain tak akan tahu keterlibatannya. Akibat dari perbuatan itu dia merampas lesen perniagaan Zhang Li. Kini kelab malam si pengkhianat itu telah ditutup.
Daripada pengakuan Zhang Li, keterlibatannya diketahui Calvin. Dia tahu niat sebenar budak hingusan itu berpindah ke bandar Sibu. Sejak dijodohkan dengan Joyce tahun lepas Calvin mulai menunjukkan belang.
Apa pun dia harus melapor kepada Dcp...mengenai perilaku Calvin yang kurang menyenangkan. Dan jika terdesak Calvin harus dipindahkan semula ke Bukit Aman atau mana-mana IPD di semenanjung.
***
Tinggal 20 minit lagi hendak ke pukul enam namun Calvin sudah bersiap hendak balik. Jonas curi-curi menjeling dari mejanya. Apabila Calvin lalu di hadapannya dia cuba menyapa; "Awal balik?" Pertanyaan Jonas berlalu sepi. Jangankan menjawab, memandang muka Jonas pun Calvin tidak. Lelaki itu terburu-buru keluar dari balai.
"Cuba kau tanya aku, pasti aku jawab...heheheh.." usik Radzif tersengih.
"Entah dia ni, macamlah tak tahu drakula tu macam mana....kau tegur dia lagi buat apa..." perli Mazlan pula tidak mahu kalah mentertawakan Jonas.
"Saja cuba berbaik dengan dia. Manalah tahu nanti hatinya terbuka," balas Jonas selamba.
Mazlan dan Radzif mencebik. Namun Jonas tahu personaliti Calvin tidaklah seburuk yang disangka. Walaupun luaran nampak dingin namun hatinya lembut bak sutera. Kalau tiada pertolongan Calvin entah apa terjadi kepada sepupunya.
Di lebuhraya Calvin memandu seperti di litar sepang. Tidak padan dengan pekerjaannya sebagai polis. Memandu Ferrari memudahkan dia memotong kereta lain. Mujurlah jarak balai ke rumahnya tidak sampai setengah jam jika memandu seperti pelesit.
Agak kelakar juga apabila mengenangkan alasannya ingin cepat sampai ke rumah. Sejak dari semalam, sejak kes Angela lari dari rumah, hatinya tidak tenteram. Tengah hari tadi pun dia sempat balik ke rumah menjenguk Angela. Saja memastikan keberadaan gadis itu. Kebetulan Angela baru selesai memasak jadi dia join sekali makan tengah hari di rumah.
Dan petang ini, ketika dia menolak daun pintu, bau masakan Angela mencucuk hidung. Bunyi gorengan dan pinggan mangkuk berlaga jelas kedengaran dari arah dapur. Hati Calvin senang serta lega ketika melangkah masuk ke rumah sendiri.
"Kau dah balik?" tegur Angela dari arah dapur ketika Calvin melewati ruang tamu.
Seperti biasa Calvin berlalu begitu saja tanpa menjawab. Tidak mengapa, Angela faham. Dia sudah terbiasa dengan sikap dingin lelaki itu sejak mereka tinggal bersama.
Calvin masuk ke biliknya. Matanya terus terarah ke katil. Kemas dan tersusun rapi, bermakna Angela tidak masuk ke biliknya. Dia malas mengingatkan larangan itu, nanti Angela terasa hati dan lari dari rumah. Dia tidak mahu hal seperti itu berulang lagi. Jantungnya bagai direntap pergi saat Angela menghilang.
Dia terpandang sekeping foto di rak kecil sudut dinding. Lantas diambil dan diteliti. Sesaat kemuadian dikoyaknya menjadi cebisan dan dilontar masuk bakul sampah. Foto yang tidak bermakna langsung baginya. Buat apa disimpan?
Itu foto dia bersama Datuk Wong dan ayahnya ketika majlis pertunangan dengan Joyce tahun lepas.

ANDA SEDANG MEMBACA
Saksi (complete)✅
RomanceTerlepas dari mulut buaya, masuk ke mulut harimau. Begitulah hal yang terjadi kepada Angela selepas berjaya melarikan diri dari banglo Datuk Wong. Dia dikejar pihak polis kerana dituduh membunuh kekasihnya dan diburu pengikut Datuk Wong kerana peran...