Bab 9

27 3 0
                                    

Hari kedua selepas tragedi di Jalan Sebauh, mendiang Zhang Min telah selamat dikebumikan di tanah perkuburan Nirvana Memory Park. Angela ditemani Calvin hanya mampu melihat dari jauh upacara memberkati keranda si mendiang.

Agak ramai juga ahli keluarga dan saudara yang hadir. Setelah upacara selesai, Jonas sempat menemui Zhang Li di luar kawasan Nirvana. Jonas memberanikan diri meminta maaf atas kesalahan yang dilakukan sepupunya terhadap Zhang Min.

"Wa masih tidak percaya itu Angela. Wa kenal tu amoi....dia tidak sampai hati punya sakiti Ahmin. Itu bukan kerja dia. Itu orang lain," tegas Zhang Li sambil merokok.

Ya, dia memang tidak percaya akan tuduhan polis mengatakan Angela yang membunuh adiknya. Angela sangat mencintai adiknya dan menurut setiap kehendak Zhang Min. Tidak pernah Angela melawan atau melakukan sebarang kekerasan. Tuduhan polis terhadap Angela sungguh tidak masuk akal.

"Saya pun rasa begitu. Walaupun Angela terkenal dengan kedegilannnya tapi saya tetap tak percaya. Entah apa yang dorang lakukan malam tu sampai accident kat Jalan Sebauh," keluh Jonas.

Mendengarkan itu, Zhang Li tiba-tiba menarik Jonas ke satu sudut terperuk di bawah pepohon rhu yang rendang. Rokok yang tinggal separuh dilontar jauh. Selepas memandang kiri dan kanan baru dia membuka mulut.

"Itu malam....lu cousin kena langgan sama itu..." Zhang Li berbisik ke telinga Jonas, "....Datuk Wong."

"Apaaa!" Jonas terpekik hampir tersembur air liur.

Zhang Li lalu menampar lengan Jonas takut perbualan mereka didengari orang lain.

"Jadi Ahmin marah wa..." Zhang Li menyambung lagi, "...dia pergi keluar rumah cari tu amoi. Langsung tak balik rumah sampai pagi. Sekali polis call wa cakap Ahmin accident."

"Jadi, Zhang Min keluar cari Angela?" Jonas mahukan kepastian.

"Yalah. Mungkin Ahmin bawa Angela lari tu orang kejar dia. Lu pun tahu dulu Ahmin bawa lari Angela dari rumah panjang lu sampai bapa tu amoi kejar guna parang..." Zhang Li mengungkit kisah tentang Zhang Min yang melarikan Angela dan dikejar oleh Pak Lang menggunakan parang. Satu kampung tahu cerita itu.

Jonas tersengih apabila teringat kisah itu. Dia mahu bertanya lagi tetapi seorang pengawal datang memanggil Zhang Li.

"Bos, Datuk Wong sedang menunggu di kafe," jelas pengawal itu.

Zhang Li meminta diri dan berlalu bersama si pengawal. Jonas mengekori dari belakang setelah beberapa minit. Kini dia mendapat maklumat baru yang membabitkan Datuk Wong pula.

Dalam hatinya memaki Angela yang dilanggan oleh orang tua itu. Berbuih mulutnya selama ini menasihati Angela supaya berhenti bekerja di kelab malam.

Sekarang tengoklah apa yang telah berlaku. Angela bukan sahaja menempah maut sendiri, malah mencontengkan arang ke muka Pak Lang. Sudah dua hari orang tua itu tidak berniaga di market Sibu gara-gara malu.

Angela pula masih menghilangkan diri tanpa khabar berita. Antara geram dan marah, dia juga risau akan keselamatan Angela di luar sana. Entah hidup atau mati si degil itu, dia tidak tahu.

Di luar kafe Nirvana, Jonas melihat sekumpulan seragam hitam sedang duduk mengelilingi sebuah meja. Kelihatan Zhang Li lebih banyak menunduk daripada yang lain. Datuk Wong duduk bersebelahan dengan ASP Robert.

Jonas agak terkejut melihat Robert bersama kumpulan itu. Dia tidak tahu yang Robert rapat dengan Datuk Wong selama ini. Patutlah Robert senang naik pangkat dan berpindah randah dalam jabatan mereka.

Puas bersidai di luar kafe sambil mencuci mata sekeliling Jonas terpandangkan kelibat rakan setugasnya keluar dari kafe.

'Calvin? Apa dia buat kat sini?' bisik hatinya dan tertarik hati ingin menyapa Calvin.

Namun bila mengenangkan hubungannya dengan Calvin masih dingin, dia membatalkan niatnya. Dia tidak jadi mengekori Calvin dan hanya memandang sepi lelaki itu.

Di balai, mereka hanya bercakap tentang hal kerja. Calvin juga susah diajak berkawan. Raut wajah Calvin yang serius seperti drakula menakutkan sesiapa sahaja.

Dari jauh Jonas melihat Calvin menemui seseorang yang memakai jubah hitam dan bertudung hitam serta berkaca mata hitam. Serba serbinya hitam. Yang pasti orangnya perempuan.

Kenapa pula dia peduli hal Calvin? Jonas tersengih sendiri. Niatnya kesini hanya menghadiri pengebumian Zhang Min dan menyapa Zhang Li sekejap.

***

Kembali dari tanah perkuburan Nirvana, Jonas mengambil keputusan ingin menjenguk Pak Lang sekejap sebelum masuk ke balai. Sewaktu dia sampai di kebun, orang tua itu sedang berehat di pondoknya.

Dari kejauhan Jonas melihat Pak Lang sedang termenung memandang kebun sayurnya yang kira-kira seluas seratus meter persegi. Kemunculan Jonas dari arah jalan raya mengejutkan Pak Lang. Lalu diajaknya Jonas naik.

Cuaca pada petang itu agak suram. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Namun keadaan yang tenang itu tidak berjaya memujuk hati Pak Lang yang sedang berduka.

"Macam mana? Dah jumpa si Angel?" Pak Lang mengulangi pertanyaan dua hari yang lepas.

"Belum, uncle. Tapi tadi saya jumpa bos Zhang," ujar Jonas lalu menceritakan perbualannya dengan Zhang Li sebentar tadi.

"Datuk Wong mana tu?" Tanya Pak Lang. Hatinya mulai panas sebaik mengetahui Angela dilanggan oleh orang. Dia ingatkan Angela sekadar menjadi pelayan di kelab malam rupanya lebih dari itu.

"Datuk Wong tu salah seorang ahli dewan undangan negeri kita ni. Alah, orang politik...."

Pak Lang mengangguk faham. Lantaklah pangkat apa pun, Angela tetap salah bagi Pak Lang. Angela sendiri yang mencari nahas bekerja di kelab malam itu. Bertahun dia menahan malu dengan penduduk kampung. Sekarang keadaan bertambah memalukan baginya. Angela dituduh membunuh teman lelakinya pula. Akibat terlalu malu dia tidak berniaga di market Sibu. Dia hanya menghantar hasil tuaiannya kepada pemborong.

Dua hari yang lepas dia dikunjungi oleh dua orang pegawai polis; yang memaklumkan jenayah yang dilakukan oleh anaknya. Dia juga diminta memberi kerjasama dengan melaporkan kepada polis jika ternampak Angela.

Tetapi petang ini anak saudaranya datang memberitahu Angela tidak bersalah. Hatinya merasa sedikit lapang. Dia pun tidak percaya jika Angela dituduh membunuh. Mungkin saja anaknya menjadi mangsa keadaan. Jauh sudut hati dia berharap Angela berada di tempat selamat.

Saksi (complete)✅Where stories live. Discover now