Bab 10

34 3 0
                                    

Petang semalam Calvin membawa Angela membeli belah pakaian dan keperluan lain di Star Mega Mall yang terletak di tengah bandar Sibu. Dia dipaksa memakai face mask dan bertopi sepanjang berada di luar untuk mengelakkan dikecam wajah.

Angela sempat mengambil peluang menjadi pisau cukur dengan memilih pakaian yang mahal-mahal. Dari pakaian dalam hingga pakaian tidur dibelinya. Tidak lupa skincare yang biasa dipakainya. Sengaja dia menguji tahap kekayaan Calvin di level mana. Dari segi taraf hidup dan kereta Ferrari yang dipakainya menunjukkan lelaki itu bukan calang-calang orang.

Di kaunter Calvin membayar semuanya selamba menggunakan kad debit. Entah berapa jumlahnya kesemuanya, Angela tidak berani ambil tahu. Dia sengaja memencilkan diri berada di belakang Calvin sewaktu urusan pembayaran.

Dia juga melihat pekerja di mall situ menjeling sambil berbisik sesama. Merah padan mukanya masa itu, mujurlah dia memakai face mask. Sewaktu keluar dari mall tangan mereka penuh dengan beg barang berjenama.

Dalam mall tersebut turut menjual barang keperluan dapur. Malu-malu Angela menyatakan niatnya ingin memasak di rumah. Dia malu setelah mengikis Calvin di tingat atas. Tetapi memandangkan peti sejuk yang kosong dan kekurangan stok makanan, dia terpaksa membuka mulut.

Yalah, dia mana ada duit untuk semua itu. Satu sen pun tiada. Jangankan wang ringgit, kad identiti pun dia tiada. Dompetnya mengandungi wang dan segala kad miliknya berada di rumah sewa. Gatal hatinya ingin kesana mengambil dompet dan keretanya namun Calvin tidak membenarkan. Bahaya katanya jika tertangkap.

Semalam mereka pulang dari mall lewat petang. Sampai di rumah Calvin mencabarnya memasak makanan malam memandangkan tadi mereka telah membeli barang dapur. Angela menyahut cabaran itu dengan senang hati. Walaupun dia bukan pakar dalam bidang masakan tetapi ayah dan kawan-kawan yang lain selalu memuji masakannya.

Malam semalam mereka makan malam dengan berselera sekali. Angela memasak ikan bawal sweet and sour dan daging masak merah. Sayurnya pula kailan ikan masin. Calvin menambah nasi dua kali membuktikan masakan Angela memang sedap.

Pagi tadi, Angela bangun agak awal daripada biasa. Seawal jam enam setengah pagi dia beraksi di dapur, kelentang kelentong bunyinya mengejutkan Calvin setengah jam lebih awal dari jam biasa.

Lelaki itu sempat menjenguk ke dapur dalam keadaan mamai. Bau masakan Angela lalu membuatnya segar bugar. Pagi tadi, Calvin turun berjogging lebih awal. Balik jogging mereka bersarapan bersama sebelum lelaki itu turun bekerja.

Setelah Calvin pergi, kini tinggal Angela berseorangan seperti hari-hari sebelum. Hari ini masuk hari ke-empat dia tinggal di apartment itu. Jam terasa panjang kerana tiada apa yang dilakukan selain mengemas, memasak dan menonton tv. Calvin pula jarang berada di rumah. Namun lelaki itu sering balik tak tentu masa.

Angela di ruang tamu sedang berbaring kebosanan. Dia sedih mengenangkan hidupnya yang tunggang langgang sejak bekerja di kelab malam Zhang Li. Dia menyesal kerana tidak pernah mendengar nasihat ayahnya.

Jika dia tidak berdegil pasti nasib hidupnya tidak seteruk ini. Nyawa dia hampir melayang sewaktu melarikan diri dari banglo Datuk Wong. Dia hampir saja senasib dengan Jessica. Niatnya ingin membela kematian Jessica terbantut apabila dia pula yang dituduh membunuh Zhang Min. Tidak pasal-pasal dia kini menjadi buruan pihak berkuasa. Benar kata pepatah; keluar dari mulut buaya masuk ke mulut harimau.

Namun sampai bila dia harus bersembunyi di sini. Calvin bukan siapa-siapa baginya. Dia tidak mengenali latar belakang Calvin. Hendak bertanya terasa malu pula. Kedengaran tidak sopan jika dia bertanyakan hal itu memandangkan Calvin telah menanggung kos sara hidupnya.

Dia cuma berani bertanyakan kes tentang dirinya. Malangnya tiada perkembangan positif. Menurut Calvin, rakaman dan gambar dalam telefonnya yang merupakan bukti penting telah hilang.

Angela masih tidak puas hati. Pasti ada orang lain yang memadamkannya. Mungkin pengikut yang mengejarnya malam itu; yang merupakan pembunuh sebenar. Lagi pula handphone-nya tiada kata kunci. Kini handphone tersebut berada di bahagian bukti jenayah.

Calvin berjanji akan memeriksa cap jari yang terdapat pada handphone tersebut. Keputusannya akan keluar dalam beberapa hari lagi.

Mata Angela masih tertumpu ke arah bilik Calvin. "Ini last warning. Tolong jangan masuk bilik orang sesuka hati." Amaran Calvin berulang tayang dalam fikirannya. Calvin marah pada hari pertama dia tidur di bilik itu. Kemudian dia disuruh menggunakan bilik tetamu di sebelah.

Sejak tinggal beberapa hari bersama lelaki itu dia dapat menilai peribadi Calvin. Lelaki itu seorang yang cerewet tentang kebersihan. Calvin juga dingin orangnya dan susah tersenyum. Namun tidak dinafikan, walaupun lelaki itu berwajah masam, rupa parasnya yang tampan itu agak memikat. Bayangkan jika Calvin tersenyum pasti comel....

Angela tersengih sendirian.

Dia bangun dari pembaringan. Selamba dia melangkah ke arah bilik Calvin yang tertutup. Biarpun dia tahu itu kawasan larangan namun kebosanan memaksa dia memasuki bilik itu.

Seperti telah diduga, bilik Calvin sangat kemas persis bilik hotel. Cadar dan bantal tersusun rapi. Gatal hati Angela ingin naik sekali lagi ke atasnya. Sedang menikmati rasa empuk matanya terpandangkan sesuatu di atas meja kecil di satu sudut terperuk.

Saksi (complete)✅Where stories live. Discover now