Bab 30

20 3 0
                                    

"Aku memang nak bunuh kau, termasuk keluarga kau sekali," kata Calvin sambil menyeluk poket jaketnya. Kemudian melontarkan sekeping gambar ke muka Leon.

Calvin membuka lampu di handphone-nya dan menyuluh ke arah foto di tangan Leon. Mata Leon terbeliak melihat gambar ibu dan adik perempuanya di laman rumah mereka.

Calvin tersengih. "So, kau tidak mati seorang. Bukan ibu dan adik kau saja, seluruh saudara mara kau akan aku bunuh satu persatu. Kau nampak ni?" Calvin mengacukan muncung pistol tepat di kepala Leon, bertujuan menakutkan lelaki itu. Dia tidak sekejam Leon, membunuh orang sesuka hati.

Leon menggeletar ketakutan. Air matanya bercucuran membasahi muka. "Si...siapa kau?" Tanya Leon tergagap-gagap. Sekurang-kurangnya dia tahu nama lelaki physopath ini sebelum mati.

"Siapa aku tak penting. Yang penting sekarang aku nak kau bertanggungjawab atas apa yang kau lakukan. Berapa ramai mangsa telah kau bunuh? Kau kena membayarnya," tegas Calvin.

"Kalau begitu bunuh saja aku," balas Leon, "tapi jangan libatkan family aku. Ibu tak tahu aku buat kerja ni. Aku terpaksa sebab aku perlukan duit."

"Alasan bodoh!" Pekik Calvin sambil menyepak kaki Leon. "Sekarang kau nak mengaku siapa yang bunuh Zhang Min? Atau aku bunuh ibu dan adik kau. Mana satu?"

"Bunuh saja aku..." Leon masih berdegil. Apa guna mengaku kalau akhirnya dia mati. Tiada beza.

"Tidak. Aku tak bunuh kau, tapi ibu kau. Kalau kau mengaku, aku janji tak akan sentuh keluarga kau. Simple," Calvin cuba tawar menawar.

Leon tiada pilihan lain. Tak apalah kalau itu satu-satunya cara dia menyelamatkan keluarganya. Lagipun itu semua memang kesalahannya.

Setelah Leon bersetuju, Calvin mula merakam. Leon mengaku pembunuhan di Jalan Sebauh dilakukan olehnya atas arahan Richard. Atasan Richard pula pastinya ahli dewan undangan negeri sarawak iaitu Datuk Wong. Leon juga akan menjadi saksi atas semua jenayah yang dilakukan oleh Datuk Wong selama ini. Dia berjanji akan memberikan kerjasama kepada pihak polis.

Setelah rakaman selesai, Calvin memapah tubuh Leon keluar dari bangunan usang itu. Di luar bangunan dia menelefon ambulan dan polis. Sementara menunggu bantuan tiba, dia menyuruh Leon mendengar rakaman suara Datuk Wong dalam pejabat.

"Jadi, memang betul Richard datang sebab nak bunuh aku..." keluhnya selepas mendengar rakaman itu.

"Kau boleh balas balik. Hebohkan kepada dunia siapa Datuk Wong sebenar," kata Calvin cuba menghasut fikiran Leon.

"Kau pasti ke? Bukan mudah nak jatuhkan orang tua itu," Leon masih kurang keyakinan diri.

"Jangan risau. Aku akan tolong kau. Asalkan kau bagi kerjasama dengan polis. Aku akan cuba dapatkan rayuan bagi kesalahan kau nanti. Yang pasti bukan hukuman gantung. Kalau kau berdegil, aku tak mampu berbuat apa," jelas Calvin.

Leon tidak berkata lagi. Kepalanya ditundukan. Lima minit kemudian kedengaran bunyi siren ambulan sedang menghala ke arah mereka. Sementara siren polis belum kedengaran lagi.

***

Keesokan paginya seluruh rakyat kepulauan Borneo hingga ke tanah Semenanjung digemparkan dengan berita penglibatan Datuk Wong dengan sindiket penjualan organ dan pembunuhan. Beberapa kes bunuh dan orang hilang telah terjawab apabila makmal haram milik Datuk Wong ditemukan dengan bantuan Leon. Orang tua itu telah ditahan di rumahnya pada malam tadi sebaik Leon memberi keterangan.

Selain itu Datuk Wong juga didapati terlibat dengan rasuah. Beberapa orang ahli politik dan ahli korporat yang disyaki bersubahat turut ditahan untuk siasatan lebih lanjut. Termasuk ketua jabatan siasatan jenayah komersial IPD Sibu, Robert dan timbalan pesuruhjaya polis sarawak, DCP Victor Young.

Setelah Leon mengaku dan menyertakan beberapa bukti pembunuhan di Jalan Sebauh beberapa minggu lalu, nama Angela sebagai suspek utama telah dibersihkan. Kini dia bebas dari segala pertuduhan, tetapi dia masih diperlukan sebagai saksi utama atas jenayah Datuk Wong. Angela juga satu-satunya mangsa hidup yang terlepas dari makmal penyembelihan.

***

Disebabkan terlalu sibuk dengan urusan di balai, Calvin tidak sempat balik ke rumah dari malam tadi. Namun dia tidak lupa menelefon Angela bertanyakan keadaan gadis itu. Dia berjanji akan balik sebelum makan malam.

Di rumah, Angela berasa sangat gembira. Bukan gembira kerana Calvin nak balik, dia gembira sebab namanya telah bersih dari segala pertuduhan. Kematian Zhang Min dan Jessica juga telah terbalas. Keadaan bakal kembali kepada asal.

Dia boleh balik ke rumah ayahnya esok. Ikutkan hati dia mahu balik hari ini tetapi Calvin tidak membenarkan. Dia juga tidak sabar mahu mengambil kereta dan barangnya di rumah sewa. Kini dia boleh kembali menggunakan kad pengenalan yang lama. IC Diana Lau akan dipulangkan semula kepada Calvin nanti.

Selepas ini dia mahu membuka lembaran baru dalam hidupnya. Dia berjanji pada dirinya sendiri, akan taat sepenuhnya kepada nasihat ayahnya. Dia tidak mahu berdegil lagi. Pengalaman yang terjadi telah mengajarnya erti kehidupan yang sebenar.

Saksi (complete)✅Where stories live. Discover now