Bab 8

30 4 0
                                    

Selesai urusan di balai Calvin kembali semula ke rumahnya menjelang tengah hari. Dia sempat singgah di kedai membeli makanan untuk tetamu di rumah. Dia sedar rumahnya tiada makanan selain makanan segera dan minuman dalam tin. Maklumlah kehidupan orang bujang katakan.

Sampai di hadapan rumahnya dia melihat kasut boot berwarna jingga masih terletak elok di luar pintu, bermakna perempuan itu masih di dalam. Risau juga hatinya jika Angela keluar dari rumah tanpa pengetahuan.

Daun pintu diselak perlahan. Matanya tertumpu terus ke ruang tamu. Kosong. Malah suasana dalam rumah sunyi sepi seperti tidak berpenghuni. Dada Calvin mulai berdebar. Kemana pula perempuan itu sedangkan kasut buruknya berada di luar. Calvin kelam kabut memeriksa setiap pelosok rumah sambil memanggil;

"Angelaaa! Angelaaaa!"

Tiada sahutan. Calvin semakin berdebar. Risau kalau Angela melarikan diri daripadanya. Maka dia akan kehilangan satu-satunya saksi penting. Tidak. Dia tidak akan membiarkan hal itu terjadi.

Dua buah bilik tetamu yang kosong telah digeladahnya. Hanya tinggal kamar tidurnya sahaja belum diperiksa. Tidak mungkin Angela berada di tempat larangan itu. Dia sudah mengingatkan Angela supaya tidak masuk ke biliknya.

Namun tekaan Calvin meleset. Terbeliak matanya melihat sebujur tubuh kaku sedang lena di atas katil. Calvin terlopong tidak terkata. Bagaikan gila Calvin mencari rupanya Angela sedang tidur di biliknya. Bukankah dia sudah melarang Angela masuk ke kamar ini?

Hmmm...Calvin menarik nafas cuba bertenang. Dia sedikit marah dengan kebiadaban Angela.

Hatinya bertambah panas setelah mengenalpasti pakaian yang tersarung di tubuh Angela. Bukankah itu kemeja putih miliknya? Dan pakaian kotor Angela bersepah di atas sofa. Dia memeriksa bilik mandi pula. Botol syampu tidak diletakkan di tempat sepatutnya membuktikan gadis itu telah mandi.

Calvin orangnya jenis tidak suka berkongsi keperluan dengan orang lain. Dia juga sangat teliti dan cerewat tentang kebersihan.

Ketidaksopanan Angela mendatangkan kemarahan dalam dirinya. Ikutkan hati ingin dimarahi sahaja si gadis itu biar padan mukanya. Namun dia masih punya sedikit iman untuk mengawal diri.

Dia berlalu keluar membawa hati yang panas membara. Masa itu juga perutnya berkeroncong minta diisi. Lebih baik dia makan dari melayan amarah.

Dia teringatkan Angela yang langsung belum makan sejak dari pagi. Keadaan di dapur langsung tidak terusik menandakan Angela belum menjamah apa pun. Mungkin gadis itu terus mandi dan tidur setelah pemergian dia pagi tadi.

Kemarahan dia bertukar simpati mengenangkan nasib yang menimpa Angela. Tidak hairan pun kalau gadis itu lebih mementingkan tidur daripada makanan. Pasti dia sangat letih setelah berjaga semalaman.

"....polis masih menjalankan siasatan dan meminta orang ramai memberi kerjasama dengan melaporkan segera jika ada maklumat tertentu yang berkaitan...."

Berita tentang kes pembunuhan di Jalan Sebauh sedang disiarkan di kaca tv. Calvin hampir tersedak makanan di meja ruang tamu. Nampaknya berita tersebut telah menjadi tular sekelip mata. Dan gambar Angela juga turut disiarkan.

Pada ketika itu Angela sedang tercegat di belakang sofa; turut memandang ke arah tv. Dia juga terkejut melihat gambarnya terpampang di kaca tv dan menjadi suspek utama pembunuhan. Padahal dia sudah diberitahu oleh Calvin pagi tadi.

Pelik. Kenapa dia yang dituduh membunuh teman lelaki sendiri, sedangkan dia yang menjadi mangsa keadaan. Zhang Min dan pemandu lori itu dibunuh kerana dia. Itu angkara lelaki pekerja banglo yang merupakan pengikut Datuk Wong. Tetapi menurut Calvin, dia dituduh hanya kerana handphone dia ditemui di tempat kejadian.

"Hmmm...." Angela mengeluh panjang seraya menduduki sofa bersebelahan Calvin.

Kemunculan Angela yang secara tiba-tiba mengejutkan Calvin. Bila masa perempuan itu bangun? Dia langsung tidak perasan mungkin disebabkan volume tv yang agak kuat.

"Macam mana sekarang..." Angela mengeluh sekali lagi sambil memicit kepala yang sedang berdenyut.

"Makanlah dulu. Saya tahu awak lapar," pelawa Calvin sambil menyediakan makanan untuk Angela.

"Tak selera..." keluh Angela lemah; memandang kosong ke arah nasi ayam yang terhidang di hadapannya.

Benar. Dia memang tidak berselera walaupun perutnya lapar. Bukan hanya masalah yang dihadapi, kematian Zhang Min juga mengecewakan hatinya. Dia masih bersedih dengan kehilangan teman lelaki tercinta.

Kebaikan Zhang Min tiada tolok bandingnya. Zhang Min juga yang membantu dia melarikan diri dari banglo itu. Mengapa Tuhan membiarkan penjahat itu mengambil nyawa Zhang Min? Dimana pertolongan Tuhan masa itu?

Angela buntu. Kini dia berdepan dengan tuduhan membunuh Zhang Min dan pemandu lori. Dia sedang diburu oleh pihak berkuasa pula. Kemana lagi tujuan dia selepas ini? Tidak mungkin dia terus bersembunyi di sini memandangkan Calvin pun seorang polis.

Hairan juga apa motif Calvin membantunya bersembunyi. Apakah Calvin punya niat tertentu? Bukankah sepatutnya tugas Calvin menangkap dia dan melaporkan kepada balai.

"Apa?" Tegur Calvin kurang senang dengan jelingan tajam Angela. Entah apa yang difikirkan oleh perempuan itu. Agaknya Angela sedang memikirkan telefonnya yang tercicir.

"Oh ya, handphone awak ada kat polis. Sekarang masih berada di unit bukti jenayah."

Raut wajah Angela berubah terkejut sebaik mendengar berita tentang telefonnya.

"Habis, diorang jumpa tak bukti rakaman kat situ?" Cepat Angela bertanya. Itu satu-satunya bukti membabitkan banglo Datuk Wong melakukan jenayah menjual organ manusia. Dan Jessica adalah salah seorang mangsa mereka.

"Tak tahu. Belum ada laporan lagi," jawab Calvin.

"Tentang Jessica. Awak dah beritahu Jonas?" Angela mahu kepastian. Pagi tadi dia memberitahu Calvin tentang sepupunya Jonas.

Calvin menggeleng. Dia tidak sempat bertemu dengan Jonas hari ini. Lagipun dia memerlukan masa dan tempat yang sesuai untuk menceritakan apa yang berlaku.

"Awak jangan risau. Saya akan uruskan semuanya, asalkan awak duduk diam-diam kat sini. Jangan keluar rumah tanpa pengetahuan saya, ok?"

Angela mencebik. Dia bukan sahaja menjadi suspek pembunuhan malah tahanan juga. Habis? Makai pakai dia macam mana? Keperluan lain seperti pakaian semua....? Agaknya Calvin sudah gila 'menahan' dia disini tanpa memberitahu tujuannya.

Saksi (complete)✅Where stories live. Discover now