LANGKAH wanita itu dikejar. Pantas. Sepantas gerak kaki yang diatur si dia demi mengelakkan diri daripadanya. Tahu sangat apa yang bersarang di hati dan minda wanita itu tatkala melihat wajahnya sebentar tadi. Langsung berubah air mukanya. Memudarkan senyuman manis yang diukir sebelum buat rakan sekerja.
Serta-merta, dia teringatkan peristiwa pertemuan mereka tadi. Pertemuan semula selepas bertahun lamanya terpisah. Sebuah meja yang terpilih berbentuk segi empat sama. Masing-masing mengambil setiap penjuru meja itu dan dia mendapat tempat di sisi si dia yang merenung tajam ke arahnya.
Pada mulanya, mereka menunjukkan sikap profesional dengan beriak tenang dan menumpukan perhatian terhadap perbincangan. Namun, setelah masing-masing mengambil 'five-minute break', dia sudah tidak dapat berlagak tenang apabila menatap seraut wajah itu. Tingkah wanita itu yang sedaya upaya cuba mengelakkan pertembungan mata dengannya benar-benar terasa menguji keegoan.
Lantaran itu, dia mengambil peluang di sisi wanita itu dengan mencapai sebelah jari-jemari runcing yang terletak di bawah meja. Terdapat kejutan yang terpamer melalui reaksi si dia, namun dia langsung tidak mengendahkan penolakan yang dilakukan wanita itu. Semakin jemari runcing itu menarik, semakin dia bertindak mengenggam kemas. Sehinggakan segala gerak laku si dia terpaksa menggunakan sebelah tangan yang bebas daripada digenggam.
Usai pertemuan tamat setengah jam selepas itu, laju sahaja si dia mahu mengambil langkah pergi. Tidak sempat dia yang sudah melepaskan genggaman mahu menahan pemergian si dia. Tetapi, dia langsung tidak tinggal diam. Dikejarnya juga si isteri yang jelas tidak mahu menatap wajahnya. Pandangan dan teguran si teman di sisi sudah tidak dibuat peduli. Lesap segala pesanan yang diberikan lelaki itu kepadanya untuk tidak bertindak seakan 'gila talak'.
"Sha... Sha..." Dia memanggil wanita itu yang terkocoh-kocoh ke arah kereta dengan barangan yang banyak di pelukan.
Wanita itu masih begitu. Tidak memberi sebarang sahutan balas.
"Sha... abang tolong," pelawa Raykal tatkala melihat kepayahan isteri membawa segala barangnya. Baik barang peribadi, mahupun alatan kerja. Namun, cerlungan tajam dan decitan kasar daripada si dia menghentikan niatnya. Kedua belah tangan diangkat tanda akur.
Raisha Hanani yang jelas tidak mahu berjumpa suami menekan punat nyah-kunci pada alat kawalan keretanya dengan susah payah. Tidak menunggu lama, dia meletakkan barang-barangnya sebelum dia merasa tubuhnya ditarik dan laju sahaja wajahnya tersembam di dada tegap itu. Pelukan erat terasa di pinggang. Mematikan segala tingkahnya untuk buat tidak peduli dengan hadirnya sang suami yang sekian lama tidak ditemui. Terpejam rapat kedua belah matanya menahan rasa di hati. Hanya seketika sebelum dia kembali mencelik pandang dan kedua belah tangan dibawa untuk menolak dada lelaki itu. Ingin merenggangkan pelukan. Namun, semakin kemas pautan pada pinggangnya. Lebih-lebih lagi apabila lelaki itu menyembunyikan wajah di bahunya.
"Raykal..." Dia menyebut perlahan sebaris nama itu. Cuba menyedarkan si dia yang seakan hanyut dalam tingkah. Public ni! Agaklah!
Si dia hanya buat tidak peduli. Langsung tidak memanggung wajah.
YOU ARE READING
Mencintaimu, Bidadariku : Raisha Hanani | Spin Off Penghulu Bidadariku
RomanceKnown as Surat Cinta Untuk Raisha Hanani ALERT! SPOILER PENGHULU BIDADARIKU! DENDAM dan konflik kekeluargaan menyebabkan mereka terpisah. Si isteri pergi meninggalkan dan sang suami rela ditinggalkan. "Aku takkan lepaskan kau. Takkan sesekali sebel...