SCURH | 34

1K 90 22
                                    

HAMPIR satu bulan tidak bersua muka, Raisha sedikit terpana tatkala bertemu muka dengan sang suami yang saban hari dirindui

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

HAMPIR satu bulan tidak bersua muka, Raisha sedikit terpana tatkala bertemu muka dengan sang suami yang saban hari dirindui. Sekeping gambar perkahwinan, sebutir cincin yang tersarung di jari manis, dan sehelai baju milik si dia menjadi saksi betapa dia tidak jemu menunggu ketibaan lelaki itu. Namun, hati hampa tatkala diri menyedari bahawa tiada satu hari pun si suami mencari dan memerlukannya.

Kini, setelah mendapat mandat daripada si ibu mentua untuk dia kembali kerana kemalangan yang menimpa abang ipar, di sinilah dia...

Si dia yang sedang terlihat berpeluk tubuh dan memejamkan mata di ruangan menunggu itu dipandang dalam segan rasa hati sendiri. Nampak sangat dia tak sayangkan kau, Sha! Pandang kau pun tak nak. Kau aje lah yang berharap pada yang tak sudi. 

Wajah Puan Suhaila yang berada di sisi anak lelakinya dikerling dan sebuah senyuman dilempar kepada wanita ayu yang sudah berusia itu. Buat seketika, dia datang mendekat. Bersalaman dan berpelukan erat dengan ibu mentuanya. Melepas rindu.

"Umi apa khabar? Rindunya Sha dengan umi," luah Raisha dalam pelukan dalam pada anak mata melirik lagi sang suami di sisi. Lelaki itu terlihat mencelikkan pandangan dan automatik renungan mereka bersatu dalam pada dia masih lagi memeluk dan menongkat dagu di bahu si ibu. Agak lama anak mata mereka saling beradu.

"Sihat, Sha. Sha tu... sihat ke tidak? Makin kurus umi tengok. Kerja keras sangat ke apa? Ekal... kenapa biarkan isteri tu kerja kuat sangat? Sampai nak datang sini pun asing-asing sebab Sha outstation." Puan Suhaila membebel pendek selepas pelukannya di tubuh menantu kian melonggar. Wajah si anak dikerling manja dalam perasaan tidak puas hati.

Iman Raykal dan Raisha Hanani yang lebih faham keadaan sekarang di antara mereka hanya saling berpandangan sebelum sang suami menjawab bagi pihak keduanya.

"Nak buat macam mana, umi? Dah tuntutan kerja, kan? Lagi pun, bukannya umi tak boleh jumpa Sha langsung. Ni, dah ada pun depan mata umi. Lepaslah rindu puas-puas." Raykal menjawab selamba. Merenung wajah si ibu tanpa menoleh pandang ke arah isteri yang juga mendengar bicaranya.

"Ish, budak bertuah ni... kamu? Tak rindukan isteri?" Puan Suhaila menampar manja bahu anaknya. Menguji hati si anak.

Raykal melirik pandang ke arah wanita yang masih sedang meriba lutut di hadapan mereka. Wanita itu laju melarikan anak mata daripada bertentangan terus dengannya. Tanpa sedar, dia tersenyum halus di hujung bibir.

"Rindu lah, umi. Mana boleh tak rindu. Isteri kesayangan ni... kan, sayang?" Raykal bermanis mulut. Wajah juga terukir senyum mesra seakan benar-benar memaksudkan ungkapan itu. Anak mata melirik ke arah isteri sebelum kelopak mata dikenyit sebelah. Nakal.

Raisha mengetap bibir. Menahan rasa hati yang seakan hendak terbuai walau dia sangat pasti bahawa lelaki itu sedang berpura-pura mesra di hadapan si ibu. Tidak mahu terus-terusan terbawa dengan perasaan, dia kembali menumpukan perhatian terhadap ibu mentua.

Mencintaimu, Bidadariku : Raisha Hanani | Spin Off Penghulu BidadarikuWhere stories live. Discover now