SCURH | 35

1.3K 114 25
                                    

HATI seorang Raisha Hanani sudah bertekad jitu

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

HATI seorang Raisha Hanani sudah bertekad jitu. Dia merasakan bahawa dia perlu memulakan langkah demi mendapatkan jawapan yang dimahukan daripada seorang suami. Dia sudah tidak betah dengan keadaan dingin di antara mereka ini. Dia mahukan perkara yang pasti untuk dia meneruskan kehidupan selepas ini.

Seraut wajah suami yang sedang bersandar santai di kepala katil ditatap dalam perasaan yang agak berdebar. Gemuruh. Takut jawapan yang didapati daripada lelaki itu bukanlah seperti apa yang diharapkan. Namun begitu, harapan masih tinggi supaya si dia masih mahu memberi jawapan yang bakal membahagiakan dia sebagai seorang isteri.

Andai si suami memberikan jawapan untuk kembali bersama dan meneruskan kisah serta melupakan duka lama, dia akan berada di sini. Menemani lelaki itu dan keluarganya sehingga mereka hendak pulang ke rumah masing-masing. Namun, andai jawapan si dia adalah sebaliknya... dia akan melangkah pergi. Meninggalkan semuanya. Dan, ini... akan menjadi pertemuan terakhir mereka.

Punggung dilabuhkan di birai katil sebelum dia menghadapkan tubuh ke arah lelaki itu. Merenung si dia yang terlihat ralit dengan telefon bimbit di tangan. Langsung tidak berkalih pandangan itu. Seakan dia tidak wujud di mata seorang suami. Kecewa lagi yang dia rasakan.

"Ab... abang..." Teragak-agak dia bersuara demi mendapatkan perhatian lelaki itu.

"Erm..." Raykal menyahut tanpa memandang pada wajah itu. Kening berkerut dengan apa yang terpapar di skrin telefon bimbit miliknya.

"Sha nak cakap sikit boleh?" pinta Raisha berharap.

"Cakaplah." Suara Raykal kedengaran acuh tidak acuh. Masih tidak menoleh daripada tumpuan utama.

Betapa Raisha Hanani merasa terhina dengan cara layanan lelaki terhadapnya. Seakan dia tiada berharga. Telefon bimbit itu lebih berharga daripada letak duduknya yang bergelar isteri.

"Tak apalah, kalau abang sibuk. Sha cakap nanti aje." Intonasi suaranya begitu perlahan. Menahan getaran di bibir. Sebak terasa menghurung di dada. Pantas dia ingin bangkit daripada duduk tatkala merasakan ada cecair hangat yang membalamkan pandangan, tetapi lengannya terasa dipaut seseorang. Dia kembali melihat ke arah si dia yang sudah meletakkan telefon bimbit ke tepi.

"Cakaplah, aku dengar..." Suara Raykal bernada lembut. Memujuk dalam diam walaupun panggilan yang digunakan masih lagi kasar.

Raisha tersenyum lebar. Senang apabila lelaki itu hendak melayan kehendaknya, tetapi air mata yang sememangnya sudah bergenang tadi tumpah tiba-tiba. Baru sahaja dia ingin mengesat air mata di pipi menggunakan belakang lengan bajunya, hujung belakang jari telunjuk suami sudah lalu di permukaan kulitnya. Membawa pergi mutiara jernih yang berunsur kecewa itu. Dia tergamam sekejap. Merenung wajah lelaki itu seakan tidak percaya. Mencari satu harapan yang menggunung di hati.

"Nak cakap ke, tak nak ni?" Raykal melambaikan tangannya di hadapan wajah isteri. Bukan main tak berkelip wanita itu menatap wajahnya. Rindu lah tu...

Mencintaimu, Bidadariku : Raisha Hanani | Spin Off Penghulu BidadarikuWhere stories live. Discover now