PINTU utama rumahnya ditutup perlahan sebelum tubuh ditoleh ke segenap ruangan rumah. Ruang tamu diperhati. Kosong. Pelipis berkerut sedikit. Aneh terasa apabila si isteri tidak menunggu kepulangannya seperti hari sebelum. Semalam riuh sahaja suara halus itu kedengaran dengan susuk tubuh yang menghampiri saat dia pulang daripada kerja. Hari ini, tiada?
Langkah kaki diatur ke segenap ruang di aras bawah. Mencari kelibat wanita itu. Mungkin sahaja isterinya berada di dapur sedang makan. Tiada juga. Puas meneroka, dia mendaki anak tangga bagi ke tingkat atas. Bilik peraduan dia dan isteri menjadi destinasi hala tuju.
Tanpa sedar, keluhan lega terlepas apabila dia dapat melihat susuk tubuh itu yang sedang menggosok pakaian kerja. Si dia langsung tidak menoleh ke arahnya. Hanya setia melakukan tugas seolah-olah dia tidak wujud di bilik yang sama.
Semakin curiga dengan tingkah isteri, dia mengeluarkan dehaman kuat. Sengaja hendak menarik perhatian wanita itu, tetapi si dia masih buat tidak peduli. Sudahnya, dia bertindak meletakkan barang peribadinya dahulu. Sambil itu, soalan dilemparkan kepada si dia di hujung sana.
"Balik dengan siapa tadi? Kata nak tunggu aku?" Baju kemaja dibuka menampakkan baju dalam yang dipakai. Baju kemeja yang sudah agak berbau kerana peluh pada tubuhnya dicampak ke dalam bakul baju kotor. Susuk tubuh isteri dikerling sekali-sekala.
Tiada sebarang balasan yang kedengaran daripada wanita itu.
"Sha, aku tanya ni. Aku tunggu kau tadi nak dekat lima belas minit kut. Nasib baik pak cik guard kata dia nampak kau dah balik. Kalau tak, aku pun jadi lah macam orang bodoh tunggu kau dekat sana."
Raisha masih membisu. Pura-pura sibuk melakukan tugasnya.
"Sha!" Suara Raykal semakin keras. Bahu wanita itu disentuh sebelum tubuh itu ditarik menghadapnya. Nasib sahaja seterika yang dipegang isteri tidak jatuh atau mengena mana-mana bahagian tubuh mereka.
"Apa? Sha balik dengan Iyan! Iyan yang hantar Sha balik sebab tadi Sha tunggu suami Sha macam orang bodoh yang abang cakap tu... sampai nak dekat malam, tapi suami Sha tak muncul." Raisha menepis sentuhan lelaki itu di bahunya sebelum dia menjerkah kuat. Merenung tajam seraut wajah yang ketika ini membuatkan dia rasa sangat sebal.
Raut wajah Raykal sedikit berubah, tetapi cepat dia mengawal riaknya semula. "Kata nak lembutkan hati aku... tapi baru kena sikit macam ni, dah nak merajuk? Loser!" Dia tersengih sinis.
"Ya! Sha memang loser sebab Sha seorang aje yang beriya-iya nak pertahankan hubungan kita. Sha yang beriya-iya sayangkan abang sedangkan abang...semakin jauh daripada Sha sebab nak main kayu tiga dekat belakang Sha, kan?" Suara Raisha semakin lantang. Sempat juga dia menampar dada lelaki itu sekali. Sudah tidak dipedulikan kedudukan suami yang harus dihormati.
"Main kayu tiga? Kau nak tuduh aku yang bukan-bukan pula sekarang? Disebabkan aku tak ambil kau awal macam yang kau nak, kau terpaksa tunggu aku lama sikit... kau nak overthinking pula?" Raykal menyoal tidak puas hati. Menyabung pandangan dengan renungan isteri yang jelas sedang kemarahan. Merah padam wajah keduanya menahan perasaan di hati masing-masing.
YOU ARE READING
Mencintaimu, Bidadariku : Raisha Hanani | Spin Off Penghulu Bidadariku
RomanceKnown as Surat Cinta Untuk Raisha Hanani ALERT! SPOILER PENGHULU BIDADARIKU! DENDAM dan konflik kekeluargaan menyebabkan mereka terpisah. Si isteri pergi meninggalkan dan sang suami rela ditinggalkan. "Aku takkan lepaskan kau. Takkan sesekali sebel...