DIA melangkah masuk ke dalam ruangan restoran yang terletak di deretan rumah kedai tidak jauh dari bangunan RH Holding, syarikat yang diwarisi si kembar lelaki daripada bapa mereka. Namun, buat masa sekarang, dia yang diberi kepercayaan untuk menjaga dan memantau keadaan dan perkembangan syarikat memandangkan kembarnya itu tidak lagi memunculkan diri.
Entah ke mana lelaki itu menghilangkan diri, dia tidak tahu. Sudah hampir sebulan lamanya. Langsung tiada khabar berita yang didengari tentang kembar. Setiap kali dia menghubungi lelaki itu, panggilan yang dibuat akan masuk ke dalam peti simpanan suara. Sudah puas dijejaknya sang jejaka. Tetapi, apa yang dia dapat? Sepi. Semuanya serba sepi. Langsung tiada maklumat yang diterima. Dia bimbang. Sangat bimbang dengan keadaan lelaki itu. Bimbang sekiranya terjadi sesuatu kepada kembar. Namun, bagaimana lagi dia mahu mencari si kembar? Saban waktu diusaha, namun usaha yang terbentuk hanya membuahkan penghasilan yang sia-sia. Sudahnya, dia hanya mampu mendiamkan diri dan berdoa supaya tidak ada perkara buruk yang menimpa lelaki itu.
Sebaik sahaja anak mata terpaku pada wajah seorang lelaki yang terlihat khusyuk menunduk dan memandang ke arah telefon bimbit di tangan, satu senyuman tipis langsung terukir di ulas bibir sendiri. Hati terasa berbunga, berdebar dan agak 'malu' pada masa yang sama. Entah mengapa dia perlu merasai semua itu. Bukannya tidak biasa keluar berdua dan meluangkan masa bersama sebelum ini. Namun, setiap kali mahu bertemu muka, pasti perasaan itulah yang memenuhi ruangan hati seorang Raisha Hanani.
Sejujurnya, diakui bahawa dia mencintai lelaki itu. Semenjak sekian lama dahulu, hatinya sudah dicuri oleh pemilik diri itu. Walau dia pernah mencuba untuk melupakan, namun sehingga kini hati masih lagi mengharap pada si dia. Diri juga tidak pernah menyangka bahawa pertemuan kedua kembali tercipta di antara mereka. Cinta monyet yang bertunas di zaman persekolahan dahulu, diakhiri dengan kata sepakat untuk menjalin cinta dan menyimpul hubungan itu melalui sebuah ikatan yang dinamakan akad.
Tetapi, juga, entah mengapa...
Hadir perasaan kurang senang dengan keadaan ini. Hal tersebut kerana keputusan lelaki itu untuk mengangkat dia menjadi seorang isteri adalah terlalu mendadak. Hanya dua bulan tempoh yang diberikan kepadanya untuk mempersiapkan diri demi menempuh alam perkahwinan yang bakal mendatang. Pertunangan mereka akan dibuat pada sebelah pagi dan tengah hari itu, akad akan dilaksanakan tanpa bertangguh.
Yakinkah si dia? Yakinkah dia mahu mengambil aku menjadi isterinya dalam keadaan begini? Masalah yang melanda kakak dan kembar? Amarah yang sedang bersarang di hati keluarga mertua terhadap si kembar?
Ya Allah, betapa dia takut andai keputusan yang dibuat oleh sang jejaka akan menjadi suatu kesalan di penghujungnya. Namun, mengapa dia tidak mampu untuk menghalang? Mengapa dia sangat mengharap permintaan lelaki itu untuk menikahinya adalah ikhlas dari sudut hati yang terdalam? Mengapa? Adakah kerana cinta yang sudah lama bertakhta di jiwa?
Hanya helaan nafas berat yang mampu terluah untuk semua rasa yang membelenggu diri.
Tanpa bertangguh lagi, dia terus mengatur langkah mendekati si dia dan sapaan diberikan bersama senyuman yang terukir manis pada wajah. Sang jejaka mendongakkan pandangan sebelum senyuman tipis terukir di ulas bibir itu. Hanya seketika renungan lelaki itu kepadanya sebelum si dia terlihat mengalihkan anak mata dan sebelah tangan itu bergerak bagi meletakkan telefon bimbit di sisi meja.
YOU ARE READING
Mencintaimu, Bidadariku : Raisha Hanani | Spin Off Penghulu Bidadariku
RomanceKnown as Surat Cinta Untuk Raisha Hanani ALERT! SPOILER PENGHULU BIDADARIKU! DENDAM dan konflik kekeluargaan menyebabkan mereka terpisah. Si isteri pergi meninggalkan dan sang suami rela ditinggalkan. "Aku takkan lepaskan kau. Takkan sesekali sebel...