"PERGI mana?" Dia menegur si isteri yang baru sahaja menapak keluar dari bilik pejabat sendiri. Anggun dan penuh aura yang mampu membuatkan pandangan para lelaki hanya tertumpu pada wanita itu. Kaca mata hitam yang terletak kemas di batang hidung diangkat lalu dimasukkan ke dalam poket atas kemeja hitam yang dipakainya. Wajah halal itu direnung bersama seribu satu rasa.
"Mana awak tahu tempat kerja saya?" Jelas suara Raisha bernada aneh bersama pelipis yang berkerut seribu. Sempat reaksi terkejut tertayang pada wajahnya sebelum dia pantas berubah riak. Soalan yang ditanya suami dipandang sepi dan dia balikkan juga soalan kepada si dia. Beg tangan yang tersangkut kemas di bahu digenggam erat. Pandangan dilarikan daripada terus menatap wajah maskulin yang penuh aura dingin itu.
"Tak ada soalan lagi bijak ke, sayang?" Persoalan masih bertemu persoalan. Penuh berhemah soalan itu, tetapi terselit nada sindiran di situ sehingga wajah manis itu terlihat memerah. Masam.
"Fine." Raisha mencerlung tajam wajah itu sebelum langkah kaki kembali diatur, namun ditahan dengan tegapnya sekujur tubuh yang berada di hadapan mata. Dia bergerak ke kiri, lelaki itu ikut ke kiri. Ke kanan juga sama. Nampak sangat sengaja nak matikan langkah orang!
"Tepi, boleh tak? Saya nak keluar makan tengah hari ni," bentak Raisha. Mengangkat wajah dan menemukan pandangannya dengan pandangan lelaki itu. Bersinar garang.
"Sekejap lagi akan ada yang hantar makan tengah hari untuk kita." Selamba Raykal membalas. Langsung tidak gentar dengan kemarahan isterinya.
"Huh? Kita? Siapa kita?" Sinis.
"Abang dengan isteri abang ni lah."
"Ish, nak makan dekat mana pula? Lagipun, siapa nak makan dengan awak? Saya nak keluar. Tak kuasa saya duduk pejabat ni lama-lama! Lebih-lebih lagi, bila awak ada dekat sini! Serabut, tahu tak?" Tanpa segan silu mahupun serba-salah, Raisha meluah rasa. Merenung jengkel seraut wajah yang masih tidak lepas memerhati dirinya. Cucuk mata tu karang!
Terangkat kening Iman Raykal menyaksikan kemarahan si dia yang bergelar isteri. Langsung tidak terasa hati dengan kata-kata wanita itu yang jelas tidak sukakan kehadirannya. "Masuk dalam." Penuh selamba juga dia mengeluarkan arahan. Bersama suara dan air muka yang tergambar tenang.
"Buat apa?" Raisha bertanya tidak puas hati.
"Main pondok-pondok."
"Tak kelakar." Cerlungan tajam diberikan atas 'loyar buruk' lelaki itu.
"Suka sangat lah tu menjeling suami. Karang mata tu buta sebab dosa menjeling suami... tak takut?" duga Raykal.
"Dah tak nak saya jeling... pergi lah balik. Yang dosa menganiaya isteri tu dia tak cerita. Sibuk pasal dosa kita pula."
YOU ARE READING
Mencintaimu, Bidadariku : Raisha Hanani | Spin Off Penghulu Bidadariku
RomanceKnown as Surat Cinta Untuk Raisha Hanani ALERT! SPOILER PENGHULU BIDADARIKU! DENDAM dan konflik kekeluargaan menyebabkan mereka terpisah. Si isteri pergi meninggalkan dan sang suami rela ditinggalkan. "Aku takkan lepaskan kau. Takkan sesekali sebel...