SUSUK tubuh yang lena di atas katil seusai menunaikan solat subuh tadi dikerling setelah memperkemaskan penampilan di hadapan meja solek. Rambutnya yang terurai panjang dan lembab dikibar-kibar sekejap pada bahagian bawah sambil langkah kaki diatur ke arah si dia. Demamnya sudah kebah. Sakit kepalanya juga tidak terasa sangat seperti malam tadi. Segar selepas membasahkan rambut semasa subuh.
"Abang..." Punggung dilabuhkan di sisi katil sambil suara menyeru lembut panggilan buat sang suami. Bahu lelaki itu dielus sekejap.
Tiada sahutan daripada lelaki itu, tetapi dia dapat melihat wajah maskulin itu yang berkerut-kerut seakan sedang menahan kesakitan. Tubuh itu juga merengkot dengan tangan yang melekap di perut dan sesekali mengusap di dada.
Raisha mula berasa tidak sedap hati. Dia kenal situasi ini. Dia pernah menjaga sang suami pada masa lelaki itu sedang mengalami gastrik yang teruk. Ada sekali itu sehingga terpaksa ditahan di wad. Semenjak itu, dia selalu menjaga jadual pemakanan si dia dengan cukup teratur.
Suhu badan suami diperiksa. Melekapkan belakang tapak tangan ke dahi si dia. Sedikit berbahang. Mulalah dia tidak senang duduk. Tubuh lelaki itu digoncang perlahan setakat untuk menyedarkan. Perlahan sepasang mata itu mencelik dan merenung kuyu ke arahnya.
"Abang... gastrik erk?" Dia meminta kepastian.
Pelipis Raykal berkerut. Decitan kasar dilepaskan dalam nada yang lemah. Tidak gemar mendapat soalan begitu padahal bukan wanita itu tidak tahu tentang kelemahannya yang satu ini!
"Okay, okay... sorry. Sha salah tanya. Sha buatkan abang sarapan dulu erk. Lepas tu, makan ubat. Abang rehat balik." Raisha mengalah apabila melihat betapa pucatnya wajah si dia. Dia pula yang naik risau melihat keadaan suami.
Tidak menunggu lama, dia terus mencapai tudung sarungnya sebelum kaki dibawa melangkah keluar dari bilik. Ruangan dapur rumah mentua dituju.
Di dapur, dia ternampak Puan Suhaila yang sedang menyediakan sarapan pagi. Ucapan salam dan selamat pagi dengan wajah yang ceria menjadi sapaan buat si ibu mentua. Sepintas lalu, dia mencium pipi kanan wanita tua itu. Manja dengan wanita yang sudah dianggap seperti ibu kandung sendiri.
"Hai, kak Aira! Hai, si tembam comel!" Sapaan buat kakak ipar dan anak buahnya yang berada di meja makan juga tidak ketinggalan. Pipi si kecil itu dicuit geram.
"Balik jam berapa semalam?" Humaira menyoal adik iparnya sambil memotong sayur kacang panjang.
Tidak dapat menjawab soalan itu, Raisha mengangkat bahu tanda tidak tahu. "Sha tak sedar pula. Semalam Sha sakit kepala sangat. Sha sedar-sedar, dah ada atas katil." Jujur dia menceritakan perihal semalam.
"Sha tak sihat? Dah makan ubat ke belum? Pagi ni dah okey?" Puan Suhaila menyampuk perbualan anak menantunya. Prihatin mendengar keadaan menantu.
Pelipis Raisha berkerut kejap mendapat soalan sebegitu daripada si ibu. Teringatkan malam tadi sang suami memberitahu bahawa ibunya yang memasakkan bubur. "Err... umi tak tahu? Semalam abang cakap, umi yang masakkan bubur untuk Sha?" Dia bertanya langsung dengan menggunakan panggilan 'abang' merujuk kepada suami.
YOU ARE READING
Mencintaimu, Bidadariku : Raisha Hanani | Spin Off Penghulu Bidadariku
عاطفيةKnown as Surat Cinta Untuk Raisha Hanani ALERT! SPOILER PENGHULU BIDADARIKU! DENDAM dan konflik kekeluargaan menyebabkan mereka terpisah. Si isteri pergi meninggalkan dan sang suami rela ditinggalkan. "Aku takkan lepaskan kau. Takkan sesekali sebel...