WAJAH dingin dan serius milik sang suami, dikerlingnya sekali-sekala. Sejak mereka berada di dalam kereta sehingga sekarang lelaki itu langsung tidak mahu memandangnya. Apatah lagi berbicara dengannya. Dia seakan halimunan di pandangan lelaki itu. Tidak wujud sama sekali walaupun dia masih setia berada di sisi lelaki itu.
Dalam hati, sudah berbakul sumpah seranah yang dihadiahkan buat diri sendiri. Cuai kerana tidak memadam nombor telefon bimbit milik si kembar di senarai sejarah panggilan dan pesanan di whatsapp. Tidak juga dia berhati-hati dengan waktu lenggang suami yang pastinya bila-bila masa mampu tiba di pejabat tempat dia berkerja.
"A... abang..." Dia memanggil sambil anak mata tidak lepas memerhati gerak-geri suami. Lelaki itu kelihatan mahu menuju ke bilik air.
Tiada sahutan yang didengarinya daripada suami. Malah, lelaki itu langsung menutup rapat pintu bilik air.
Dia melepaskan keluhan berat. Hanya mampu merenung pintu yang tertutup itu dengan hati yang sarat seribu satu rasa.
Serta-merta, dia teringatkan tentang si kembar yang dicari suami, tetapi tidak dijumpai. Jiran Iyan bagitahu, Iyan balik kampung. Kampung Dina? Atau kampung kak Aira?
Tidak menunggu lama untuk mendapatkan jawapan, dia menuju ke arah meja solek. Mengambil beg tangan. Diselongkar isi dalam beg demi mencari telefon bimbit sendiri, tetapi tidak ditemui. Sejenak, baru dia teringat bahawa telefon bimbitnya telah dirampas suami tadi.
Langkah kaki diatur ke arah almari pakaian pula. Dia ada melihat lelaki itu meletakkan telefon bimbit di poket seluar. Seluar itu sudah ditukarnya sebelum ke kamar mandi. Tangan dibawa membelek pakaian suami. Jumpa juga akhirnya seluar yang dicari. Segera dia mengeluarkan telefon bimbitnya.
Mendengarkan bunyi air dari kamar mandi membuatkan dia yakin bahawa lelaki itu belum hendak keluar. Dia menghidupkan skrin telefon bimbit. Mencari nama kembar di sejarah panggilan lalu punat membuat panggilan ditekan. Telefon bimbit dilekap kemas di telinga. Sekali-sekala, anak matanya meliar ke arah kamar mandi.
"Hello... Iyan?" Sapaan diberikan apabila si kembar menjawab panggilan.
"Ya, Sha. Kenapa?"
"Iyan, you dekat mana?" Dia membalas persoalan si kembar dengan persoalan juga.
"I dekat Pahang. Rumah ayah."
"Berapa lama you dekat sana?" Nafas lega dihembus apabila mengetahui keberadaan lelaki itu.
"Dua atau tiga hari je kut. Why?"
"Boleh tak you stay lagi lama dekat sana?" Dia berbisik perlahan di talian. Bimbang andai yang berada di bilik air itu mendengar perbualan dia dan kembar.
"I tak faham. Kenapa ni, Sha?"
"Raykal." Sepatah jawapan yang diberikan kepada si kembar. Agak bergetar suara. Entah mengapa, dia merasa sebak tiba-tiba. Teringatkan amarah dan bicara suami yang kasar kepadanya tadi.
YOU ARE READING
Mencintaimu, Bidadariku : Raisha Hanani | Spin Off Penghulu Bidadariku
RomanceKnown as Surat Cinta Untuk Raisha Hanani ALERT! SPOILER PENGHULU BIDADARIKU! DENDAM dan konflik kekeluargaan menyebabkan mereka terpisah. Si isteri pergi meninggalkan dan sang suami rela ditinggalkan. "Aku takkan lepaskan kau. Takkan sesekali sebel...