DIA melangkah masuk ke dalam rumah yang didiami berdua bersama suami dengan langkah yang perlahan. Tenang. Sambil anak mata memerhati sekeliling mencari kelibat sang suami yang tidak kelihatan. Sudah tidurkah si dia?
Setelah mengunci pintu grill, dia langsung menapak ke ruang dapur. Siapa tahu mungkin lelaki itu berada di dapur. Namun, tiada juga figura si dia yang dicarinya. Tidak bertangguh, dia langsung menghalakan langkah ke arah tangga. Mahu menuju ke atas dan mencari sang suami di kamar peraduan mereka.
Pintu dikuak perlahan dan kaki menapak masuk dengan penuh berhati-hati. Serta-merta, sebuah senyuman terukir di bibir tatkala diri menyedari bahawa si dia sedang menunaikan solat sendirian.
Tidak mahu menganggu, dia menuju ke meja solek. Meletakkan beg tangan di sebelah meja sebelum melepaskan tudung bawal yang tersarung di kepala. Kain tudung itu dicampak ke dalam besen. Biarlah berbasuh. Sudah dua tiga kali dia memakainya.
Semasa dia hendak mencapai tuala dan menuju ke tandas, suara sang suami kedengaran sekaligus menghentikan niatnya. Dia menoleh pandang ke arah lelaki itu. Pada masa yang sama, rambutnya yang sedari tadi terikat kemas dibuka ikatan lalu diurai berkali-kali di hadapan suami.
"Dah makan, sayang?" soal Iman Raykal. Berbasa-basi menyambut kepulangan si isteri. Sejadah yang tadi digunakan dilipat kemas sebelum disimpan di laci meja kecil bersebelahan katil.
Raisha terdiam sejenak. Mengingatkan peristiwa di kafe tadi. Tidak sempat mereka hendak menjamah makanan dan dia sudah mendapat panggilan suami dan dimarahi si kembar. Sememangnya dia lapar. Tetapi, langsung tiada selera untuk dia menjamah apa-apa makanan. Hati gusar dengan kemarahan kembar dan bimbang andai kepulangan lelaki itu sampai ke pengetahuan suami.
Pastinya Iman Raykal akan bertemu muka dan melempiaskan marah yang selama ini dipendam terhadap lelaki itu. Dia tidak mahu ianya terlalu tergesa-gesa. Si kembar baru sahaja pulang dan sembuh daripada sakitnya. Dia tidak mahu lelaki itu didesak dengan perkara-perkara yang akan membebankan fikiran. Apatah lagi lelaki itu baru sahaja tahu tentang hubungan dia dan suami kini.
"Erm... dah. Sha dah makan." Perlahan dia menjawab. Agak serba-salah kerana telah berbohong dengan si dia yang bergelar suami. Pandangan dibawa lari ke arah lain. Tidak mahu bertentang mata dengan lelaki itu.
"Abang tak makan lagi ni, sayang..." beritahu Raykal tanpa dipinta.
Langsung sahaja Raisha menatap wajah yang sedang merenungnya seakan meminta simpati. "Kenapa tak makan lagi? Kan Sha dah suruh makan dulu... Nanti gastrik datang lagi macam mana?" Soalan diajukan kepada si dia.
"Tunggu isteri abang lah. Nak isteri abang teman. Abang dah masak kan nasi goreng. Ada dalam kuali. Sha mandi dulu. Abang tunggu Sha dekat bawah. Teman abang makan, please..." Raykal tayang wajah comelnya. Mencebik bibir dengan mata yang terkedip-kedip memancing perhatian isteri.
YOU ARE READING
Mencintaimu, Bidadariku : Raisha Hanani | Spin Off Penghulu Bidadariku
RomanceKnown as Surat Cinta Untuk Raisha Hanani ALERT! SPOILER PENGHULU BIDADARIKU! DENDAM dan konflik kekeluargaan menyebabkan mereka terpisah. Si isteri pergi meninggalkan dan sang suami rela ditinggalkan. "Aku takkan lepaskan kau. Takkan sesekali sebel...