SEBAIK sahaja Raisha Hanani sudah berada di dalam bilik peraduan mereka suami isteri, tubuhnya kaku lantaran rasa hati yang terpana dengan pemandangan di dalam bilik itu. Seakan mereka berada di sebuah hotel dengan pakej bulan madu, begitulah yang dia rasakan pada saat ini. Tubuh suami di sisi sudah tidak dipandang dek jiwa yang lebih tertarik dengan keindahan dalam bilik tidur mereka. Lampu tidur tidak terpasang, tetapi lampu bertali yang menghasilkan cahaya berwarna oren sudah memadai untuk menjelas sekaligus memperindah pandangan.
Katil dihiasi taburan kelopak mawar merah yang diserikan dengan bentuk hati. Terdapat banyak juga taburan kelopak mawar berada di sekitar lantai. Polaroid yang memaparkan gambar wefie mereka suami isteri juga ada bersama. Diindahkan lagi dengan gambar perkahwinan yang terpampang megah di dinding atas kepala katil. Yang dia tahu, gambar perkahwinan mereka memang terperuk saja dalam almari. Tidak sangka pula malam ini dibawa keluar.
Tidak cukup dengan gambar dan taburan kelopak mawar, dapat juga dia melihat bentangan kain seakan-akan hendak berkelah di lantai bersebelahan katil. Di atas kain, terdapat dua buah balang kaca besar yang dihiasi dengan batu kristal plastik berwarna merah dan lutsinar di sekeliling. Sangat cantik di pandangannya yang bergelar wanita. Eh, tapi nampak macam ada sesuatu dalam balang kaca tu... apa erk?
"Suka?" Raykal yang sedari tadi ralit memerhati wajah dan gerak tubuh isterinya menegur penuh romantis. Wajah manis itu ditatap dengan aura yang redup bersinar.
Raisha hanya membisu. Lidah terkelu. Tidak mampu mengungkap kata lantaran rasa hati yang dihuni perasaan sebak. Bergenang air matanya dengan apa yang dibuat suami malam ini. Ingatkan cukup dengan sesi dating di atas sampan bersama beribu kelip-kelip di sungai tadi. Rupanya ada lagi kejutan yang menantinya di rumah.
Raykal mendekatkan jarak mereka apabila tiada balasan daripada si isteri. Jemari runcing dan halus itu dicapai sebelah kanan sebelum dia membawanya hampir di bibir lalu sebuah ciuman dilabuhkan sekali lalu di permukaan belakang tapak tangan itu. Penuh lagak budiman tubuhnya menunduk ke arah permaisuri hati. Seakan seorang putera yang bertemu dengan puteri kesayangannya. Raisha Hanani. Puteri kesayanganku.
"Siapa buat semua ni?" tanya Raisha dalam getar suara. Yakin bahawa bukan sang suami yang bergerak menghiaskan bilik ini. Pasti ada yang membantu kerana lelaki itu berada dengannya saban waktu.
Raykal tersenyum menyambut soalan isteri. Nada suara yang cukup rendah dan lembut itu terasa menyenangkan hati. Berguna juga luahan yang dilakukan semasa di atas sampan. Nampak si dia agak tenang walaupun masih ada sedikit dingin.
"Abang minta tolong kak Aira dengan Iyan. Abang kan ada dengan sayang tadi sepanjang masa." Dia menjawab lembut. Benar menjaga tutur katanya demi menjaga hati wanita kesayangan.
"Jadi, saya patut berterima kasih pada dia orang lah ya?" Raisha tersenyum halus di hujung bibir. Memandang wajah suami dengan niat ingin menguji. Suka dia melihat wajah maskulin itu berubah riak.
YOU ARE READING
Mencintaimu, Bidadariku : Raisha Hanani | Spin Off Penghulu Bidadariku
RomanceKnown as Surat Cinta Untuk Raisha Hanani ALERT! SPOILER PENGHULU BIDADARIKU! DENDAM dan konflik kekeluargaan menyebabkan mereka terpisah. Si isteri pergi meninggalkan dan sang suami rela ditinggalkan. "Aku takkan lepaskan kau. Takkan sesekali sebel...