"SHA minta maaf sebab Sha tak jawab call abang tadi." Raisha Hanani merenung susuk tubuh suami yang ligat mengemas pakaiannya. Tingkah lelaki itu kelihatan tergesa-gesa.
Sebaik sahaja dia mendapat panggilan telefon daripada ibu mentua, langsung sahaja dia bergegas pulang ke rumah. Segunung kesal dihadapkan kepada diri sendiri kerana tidak menjawab panggilan suami lantaran sakit hati dengan pesanan yang masuk ke dalam telefon bimbit lelaki itu daripada wanita bernama Sherlyn.
Raykal tidak membalas pernyataan si isteri. Laju langkah kaki berulang-alik bagi mengemas barang keperluan diri untuk beberapa hari di kampung. Hanya Tuhan sahaja tahu perasaan di hatinya pada saat ini.
"Abang..." Nada suara Raisha bertukar lirih. Sebak apabila mendapat layanan dingin lelaki itu. Langsung tiada perhatian buatnya. Bahkan anak mata itu juga tidak melirik walau sekilas pun kepadanya.
"Kemas barang kau cepat. Kau lambat, aku tinggal."
Hanya itu yang disuarakan Raykal senada. Tanpa menoleh ke arah si isteri.
Raisha ketap bibir rapat. Menahan rasa hati yang ingin menangis. Mahu sahaja dia menjerit perkataan 'bodoh' kepada diri sendiri.
"Kau tercegat apa lagi dekat situ? Memang nak kena tinggal ke?"
Laju Raisha bergerak apabila dimarahi lelaki itu dengan wajah yang terpamer garang.
Untuk hari ini, dia tidak mampu menyalahkan lelaki itu. Dia yang salah kerana membuat tidak endah dengan panggilan yang masuk ke dalam telefon bimbitnya daripada seorang suami.
"ABANG..." Sebaris panggilan itu diseru perlahan. Menoleh pandang ke arah si dia yang sedang memandu dengan wajah yang serius. Sesekali terlihat kerutan yang timbul pada wajah itu.
Melihatkan kebisuan lelaki itu daripada menyahut panggilannya, dia bersuara lagi.
"Sha minta maaf sebab abaikan call abang. Sha tak sangka abang call untuk kecemasan macam ni," ucapnya. Cuba menyentuh lengan yang terletak di pemegang brek, tetapi laju lelaki itu melarikan tangannya. Bibir terketap menahan rasa.
YOU ARE READING
Mencintaimu, Bidadariku : Raisha Hanani | Spin Off Penghulu Bidadariku
RomanceKnown as Surat Cinta Untuk Raisha Hanani ALERT! SPOILER PENGHULU BIDADARIKU! DENDAM dan konflik kekeluargaan menyebabkan mereka terpisah. Si isteri pergi meninggalkan dan sang suami rela ditinggalkan. "Aku takkan lepaskan kau. Takkan sesekali sebel...