DAHI Raisha Hanani berkerut seribu tatkala pandangannya langsung tidak dapat menangkap kelibat suami yang ditinggalkan di ruangan dapur tadi. Melilau anak mata sambil langkah termundar-mandir di sekeliling ruang tamu tanpa arah tuju. Sudah hampir satu jam dia berada di atas bersama Izz Haider dan kini, anaknya itu sudah pun bangkit daripada lena. Sibuk menonton televisyen, sedang ibunya tidak senang duduk mencari si ayah.
Serta-merta, dia teringat tentang aduan lapar daripada suaminya tadi. Si dia cari makan dekat luar ke? Dah tu, aku dengan Izz macam mana? Sampai hati dia nak biarkan isteri dengan anak dia berlapar sedangkan dia sedap-sedap makan dekat luar tu...
Mengingatkan itu, hati Raisha menjadi sebal. Punggung dihenyak kasar di sofa bersebelahan dengan anak bujangnya. Ulas bibir menggumam tidak puas hati. Kedua belah tangan dibawa berpeluk tubuh. Sekali-sekala, anak mata mengerling anak dan pintu rumah silih berganti.
Tidak sampai beberapa minit, kedua beranak itu sudah mendengar bunyi enjin kereta dari luar. Izz Haider masih tidak berkutik dari hadapan televisyen. Raisha juga ikut membatu dengan wajah yang cemberut seribu.
Kedengaran suara salam suami sambil si dia melangkah masuk bersama barangan yang dijinjit kiri dan kanan tangan. Isteri dan anak menjadi tumpuan utama perhatiannya.
"Eh, dah bangun anak ayah..." sapa Raykal girang kepada anak lelakinya.
"Kita bukan anak awak lah. Ibu kita kata, kita tak ada ayah. Kenapa awak asyik nak gelarkan diri awak ayah? Awak ada niat nak kahwin dengan ibu kita ya? Nak jadi ayah tiri kita?" Laju bibir halus itu menceceh. Wajah comelnya berkerut-kerut tidak senang. Jari telunjuknya bergerak-gerak di hadapan wajah.
Raykal terkedu sekejap mendengar pernyataan si anak, tetapi tidak mahu terlalu ambil pusing kerana bukan sekarang masanya dia menyentuh soal itu. Barangan yang berada di tangan ditunjuk kepada anak itu. Sempat juga dia mengerling wajah isteri yang terlihat masam. Merenungnya tajam tidak berkalih.
"Nanti kita makan sama-sama erk. Ayah kemas barang kejap. Ayah ada belikan Izz koko crunch!"
"Koko crunch? Nak!" Langsung teruja Izz Haider tatkala mendengar nama makanan kegemarannya. Segera dia bangkit daripada sofa dan mengekori langkah si ayah.
Raykal dengan senang hati melayan tingkah anak lelakinya. Riuh dua beranak itu mengemas barangan yang dibeli. Izz Haider terkinja-kinja memeluk kotak Koko Crunch-nya ke hulu hilir. Raisha pula hanya mampu memerhati. Sakit hati apabila dilayan seakan tidak wujud di tempat yang sama.
Selesai berkemas, Raykal mendudukkan Izz Haider di kabinet dapur. Dia pula sibuk menyediakan nasi ayam yang dibelinya di luar tadi. Semasa dia sedang meletakkan sup ke dalam mangkuk, si isteri datang menegur.
"Dah kenyang makan dekat luar, baru ingat orang dekat rumah ya?" Raisha tersenyum sinis sambil punggung dilabuhkan di kerusi meja makan. Tangan membelek apa yang dibeli suami untuk makan tengah hari mereka. Suaranya kedengaran sedikit tegang. Pandangan langsung tidak tertumpu pada figura sang suami yang sedang memandang.
YOU ARE READING
Mencintaimu, Bidadariku : Raisha Hanani | Spin Off Penghulu Bidadariku
RomanceKnown as Surat Cinta Untuk Raisha Hanani ALERT! SPOILER PENGHULU BIDADARIKU! DENDAM dan konflik kekeluargaan menyebabkan mereka terpisah. Si isteri pergi meninggalkan dan sang suami rela ditinggalkan. "Aku takkan lepaskan kau. Takkan sesekali sebel...