"KAK Aira nak Sha teman, tak? Sha boleh ajak Ekal sekali tidur sana," soalnya kepada si kakak ipar yang berada di talian sebelah sana.
"Sure?" Kepastian dipinta apabila wanita itu menolak tawarannya.
"Okeylah kalau macam tu... Akak dengan Nana hati-hati erk. Jaga diri. Ada apa-apa nanti, bagitahu kita orang. Hal kecemasan terutamanya, wajib inform. Jangan lupa," pesannya pula. Agak bimbang kerana wanita itu tinggal berdua dengan anak pada masa suaminya sedang berada di luar kawasan.
"Okey, kak. Peluk cium Nana untuk Sha. Rindu pula dekat dia. Nanti hujung minggu, Sha datang rumah akak macam biasa ya?"
"Okey, okey. Bai, Kak Aira. Assalamualaikum..."
Talian dimatikan setelah mengucapkan ayat meminta diri kepada kakak iparnya.
Kemudian, pandangan ditumpukan pula ke wajah sang suami yang sedang lena di atas katil itu. Hari ini, dia terpaksa mengambil cuti kerana insan yang bergelar suami itu sedang demam. Entah bagaimana, pagi tadi dia melihat lelaki itu menggigil kesejukan ketika berselibung di dalam selimut. Padahal semalam bukan main meminta haknya.
Tidak menunggu lama, dia melekapkan sebelah tangannya di dahi dan leher si suami. Dapat dia rasakan haba daripada tubuh itu dan tanpa teragak-agak, dia membuat panggilan kepada si kembar bahawa dia tidak dapat masuk kerja pada hari ini.
Walaupun si kembar sudah memberi kelonggaran untuk dia meletak jawatan dan meneruskan cita-citanya dalam bidang yang dipelajari, entah mengapa dia masih lagi mahu bertahan dalam meneruskan kerjaya yang sekarang. Lagi pula, tidak mungkin dia hendak meninggalkan tugasnya sesuka hati sedang kebanyakan perniagaan mereka sudah berada di tahap yang sangat memerlukan kendalian teliti.
Berada di alam nyata, raut wajah pucat milik suami ditatap lama. Terlihat kerutan nipis yang menghiasi wajah itu. Mungkin tidak selesa dengan keadaan tubuhnya.
"Abang..." Dia menggerak perlahan tubuh si suami sambil memanggil lelaki itu dengan nada yang lembut.
Lelaki itu tidak menyahut. Namun, kerutan yang semakin jelas terlihat menyebabkan dia sedar bahawa lelaki itu sudah terjaga. Walaupun mungkin dalam mamai.
"Abang... jom, makan sekejap. Kejap lagi makan ubat dan boleh sambung tidur." Semangkuk bubur yang sudah disediakannya di tepi katil tadi dicapai bersama sudu.
Rengekan perlahan terbit di ulas bibir pucat itu. Tanda dia membantah permintaan tersebut.
"Tak makan lagi dari tadi, kan? Makan sikit. Karang melarat demam tu macam mana? Kalau kena gastrik lagi, lagilah teruk. Makan ya? Sha suap abang makan." Raisha memujuk lagi. Mangkuk bubur itu diletakkan seketika di atas ribanya walau masih dipegang dengan tangan. Wajah milik si suami direnung penuh mengharap.
Decitan kasar terbit daripada lelaki itu tanda dia rimas mendengar bebelan isterinya. Selimut dinaikkan hingga ke paras leher sebelum dia mengalihkan baringan dengan membelakangi wanita itu.
YOU ARE READING
Mencintaimu, Bidadariku : Raisha Hanani | Spin Off Penghulu Bidadariku
RomanceKnown as Surat Cinta Untuk Raisha Hanani ALERT! SPOILER PENGHULU BIDADARIKU! DENDAM dan konflik kekeluargaan menyebabkan mereka terpisah. Si isteri pergi meninggalkan dan sang suami rela ditinggalkan. "Aku takkan lepaskan kau. Takkan sesekali sebel...