Amar sedang mengemas bajunya. Esok dia akan ke Kuala Lumpur. Mungkin kali ini mereka akan tinggal di sana lebih lama. Sedang dia sibuk mengemas, Naura mula menerjah ke ruangan fikirannya. Entah apa khabar wanita yang sering dirindukan itu. Dia juga sudah mengatur rancangan untuk berjupa dengannya. Harapnya, rancangan kali ini berjalan dengan lancar. Senyuman mula terukir di bibirnya.
"Amboi, senyum seorang-seorang ni teringat siapa?" tanya Puan Fadzila tiba-tiba muncul di muka pintu.
"Tak ada siapa. Teringat cerita lama . Mak dah siap kemas?"
"Sudah. Beg-beg semua mak letak di depan tu haa. Senang sikit esok terus angkat."
Amar yang mendengar perkataan 'beg-beg' terus mengintai ke ruang tamu. Terkejut juga bila dia melihat ada 2 buah beg bagasi besar dan satu bagasi kecil sudah tersusun di tepi sofa. Amar memandang ibunya.
"Apa? Ala..beg-beg tu ada barang-barang penting mak. kamu juga kata kita ke sana lama kan." jawab Puan Fadzila selamba.
"Tapi, mak bawa banyak sangat barang ni."
"Ala...jangan risaulah. Mana ada banyak. Mak tahulah apa mak nak bawa."
Amar menggaru kepalanya tak gatal itu. Bingung juga melayan karenah ibunya itu.
"Eh, lupa pula mak nak bagitahu kamu. Mak dah bagitahu Siti kita nak kesana."
Dahi Amar bertaut.
"Kenapa pula nak bagitahu dia? Kita bukan ada apa-apa lagi."
"Mana tahu ada lagi saki baki sayang kamu pada dia." kata Puan Fadzila sambil berlalu pergi.
Amar masih kehairanan. Sejak bila pula dia sayang akan Siti?Sudah lama dia tunjukkan yang dia tak pernah suka akan wanita itu tapi ibunya saja yang masih berpura-pura tak perasan. Ingatkan bila dah putus ni tiada lagilah kaitan dia dan Siti. Rupanya, ibunya itu masih berharap mereka akan bersama. Amar mengeluh. Susah juga mahu membuat ibunya yang seorang itu mengerti.
.........
Hari itu, Naura sibuk menguruskan projek baharunya. Penat juga selepas selesai mencari perabot. Dia mengambil keputusan untuk ke pejabat sebentar memandangkan dia tertinggal draf yang sudah dibuatnya. Seperti yang sudah dijangka, ada jambangan bunga lagi mejanya. Dia membuka yang terselit. Perkara pertama yang dilihat adalah nombor yang tertulis pada kad itu. Nombor 1. Hmm.. apakah maksudnya? Kemudian, matanya melihat pula ucapan yang tertulis.
'Hari untuk kita bakal tiba.'
Dahinya bertaut. Hari untuk kita? Hari apa pula? Dia terus mencapai telefonnya dan membuka kalendar. Tiada apa yang ditanda pada hari ini. Nak kata hari ini hari istimewa pasti dia sudah menanda tarikh tersebut pada kalendar di telefonnya. Ini tidak, kosong sahaja. Kemudian, Adilah yang baru keluar dari pantri terus berhenti di meja Naura.
"Bunga yang sama lagi?" tanya Adilah.
"Takkan tak nampak pula."
"Huish..garang betul cik kak seorang ni. Kenapa? Kad tu ada ugut apa-apa ke sampai kau nak berkerut-kerut ni?"
Naura menunjukkan nombor yang berada di hujung kad itu.
"Aku tak faham lagi tentang nombor-nombor ni. Tengok ni, dia tulis nombor 1. Aku buka kalendar tapi tak ada apa yang penting hari ni."
"Mungkin hari ini ada kejutan?"
"Kejutan?"
Adilah hanya mengangkat bahunya sebelum berlalu pergi. Naura cuba menghadam apa yang diperkatakan oleh sahabatnya itu. Kejutan? Tiba-tiba, nama Amar muncul di fikirannya. Amar? Ini dari Amar? Tapi, sudah lama lelaki itu tidak menghubunginya. Langsung tiada khabar berita seolah-olah mereka tak pernah berjumpa. Dia juga tidak tahu dimana hala tuju hubungan mereka. Entah-entah, jejaka itu sendiri sudah berumah tangga. Siapa yang tahu. Senyap saja. Bukan Naura tidak cuba menghubungi. Tapi, Amar yang tidak menjawab semua panggilannya.
Dia kembali kepada realiti. Realiti yang penuh dengan tanda tanya. Apakah akan ada kejadian yang indah disebalik bunga yang sering diperolehnya atau perkara yang buruk yang bakal terjadi. Entahlah. Tapi, jujur kepalanya sering memikirkan hal itu selain hal kerja yang sudah menjadi tanggungjawabnya. Amar. Lelaki itu juga sering menyinggah dalam fikirannya. Kerap juga sebenarnya. Terkadang tak keruan tak dibuatnya. Senyuman diukir biarpun tidak tahu apa dan untuk siapa senyuman itu.
YOU ARE READING
Ada Cinta Untukku
RomanceNaura Afifah terpaksa menerima hakikat bahawa jodohnya dan Izz Hazri menemui nokhtah selepas 4 tahun berkahwin. Tak terbayang olehnya perkara seperti itu akan berlaku. Sedih memang sedih tapi sudah tiada jodoh. "Sumpahan apa entah yang...