Naura pulang dengan senyuman yang begitu lebar. Hatinya terasa begitu gembira. Semuanya bagai mimpi bila kini hatinya sudah mula membuka untuk sebuah rasa yang dipanggil cinta. Sudah lama dia tak rasa gembira sebegini. Makan malam mereka semalam sangat indah. Pelbagai topik dibualkan. Tidak puas rasanya. Puan Mariam yang duduk di sofa menunggu kepulangan anaknya itu turut tersenyum melihat Naura.
"Kenapa mak tak tidur lagi?" tanya Naura saat tersedar kehadiran ibunya yang sudah lama disitu.
"Tunggu anak mak lah. Amboi, seronok ya dating?"
Naura terus menekup muka dan duduk disebelah ibunya. Mukanya mula merah. Puan Mariam hanya ketawa. Sudah lama tidak melihat anak tunggalnya itu begitu.
"Dia melamar ke?" tanya Puan Mariam sambil mengusap lembut kepala anaknya itu.
"Hish...awal lagilah mak. Baru nak mengenal hati budi bak kata artis-artis di dalam tv bila ditanya wartawan."
"Kamu bukan artis masalahnya. Mana tahu, senyum lebar sangat mana mak nak tahu."
"Mak doa-doa lah yang terbaik untuk anak mak ni ya. Naura penat sakit hati. Mak doakan hubungan kali ini lancar dan bahagia hingga anak cucu."
"Iya, bila saja mak tak doa yang baik-baik untuk kamu. Kamu pun janganlah biar tunggu lama-lama. Jangan tarik tali. Nanti, dia jumpa orang lain haa merana kamu."
"Mak! apa cakap macam tu? Orang bukan tarik tali. Cuma tak pasti. Mana kita nak yakin dia jodoh yang terbaik untuk kita. Haa..begitu."
"Doalah. Takkan itu pun nak diajar. Doa dan yakin. Lain-lain terserah pada Allah."
Naura hanya tersenyum sebelum bangun dari sofa.
"Nak kemana pula?" tanya Puan Mariam.
"Solat dan berdoa lah. Mak, juga cakap suruh doa kan."
Naura tersengih dan berjalan masuk ke biliknya. Puan Mariam hanya tersenyum. Bahagia betul anaknya itu. Harap-harapnya, Amar sememangnya lelaki yang baik untuk Naura. Tengok tadi pun nampak Amar seorang yang baik dan menghormatinya. Senang juga diajak berbual. Bolehlah jadi kawan berborak kalau mereka sudah bersatu nanti. Eh, jauh pula Puan Mariam berangan. Mana tidaknya, sudah lama dia mahu Naura mencari pengganti. Bila sudah ada calon mestilah dia gembira.
....
Amar baru sampai ke rumahnya, dia memandang kereta Siti yang masih ada di tempat letak kereta rumahnya. Nampaknya, wanita itu belum pulang. Amar mengeluh. Entah apalah yang dibuatnya lagi sampai tak balik lagi. Sudahlah itu rumah orang. Amar berjalan membuka pintu rumah. Terlihat Siti dan Puan Fadzila sedang berbual sambil minum kopi di ruang tamu. Dia cuba buat-buat tak nampak kerana malas hendak menegur Siti.
"Eh, abang dah balik?"
Amar terpaksa menoleh dan hanya tersenyum tawar.
"Mari sini, abang. Kita minum kopi sama-sama. Siti ni nak sangat tunggu abang balik."
"Tak mengapalah mak. Abang belum isyak lagi."
"Ala...sekejap saja. Siti kan tetamu. Duduk sekejap sini."
Amar beralah dan duduk di sofa yang masih kosong. Siti tersenyum gembira bila Puan Fadzila berjaya memujuk Amar untuk duduk bersama. Dia terus menuangkan kopi ke dalam cawan kosong yang ada. Amar mengucapkan terima kasih dan terus meneguk kopi itu. Setelah habis diminum, dia terus bangun. Siti terkejut dengan tindakan Amar itu.
"Eh, nak kemana pula tu?" tanya Puan Fadzila.
"Abang dah minum kopi tu. Jadi, abang nak naik ke bilik dulu."
"Janganlah macam tu, sekurang-kurangnya berbual dulu dengan Siti. Dia ni tunggu kamu lama."
Amar memandang Siti.
"Abang minta maaf tapi abang penat sangat. Lain kali kita berbual ya."
Amar masih berlembut. Dia tidak mahu mengguris hati sesiapa sebenarnya. Biarpun, Siti sering membuatkan dia meluat tapi tak bermakna harus berkasar dengan wanita itu. Selagi tidak melanggar mana-mana batas Amar cuba berlembut. Senyuman terus pudar dari bibir Siti. Dia tahu lelaki itu sengaja mahu mengelak.
"Tak mengapalah, Siti. Mak ada ni haa teman Siti berbual." pujuk Puan Fadzila.
Siti hanya tersenyum tawar. Hish...buat-buat tak faham pula bakal ibu mertua tak jadinya itu. Dia mahu berbual dan meluangkan masa dengan anak sulungnya itu bukan dengannya. Tapi, dibuat-buat senyum sahaja kerana nak dapat sokongan Puan Fadzila bukan senang. Selama ini, yang membolehkannya rapat dengan Amar adalah Puan Fadzila juga. Terpaksalah dia melayan Puan Fadzila dengan baik. Nanti, kalau bermasam muka susah pula mahu rapat dengan Amar.
"Hmm..mak, Siti balik dulu ya. Bukan apa esok kerja. Nanti lewat-lewat habislah Siti. Sudahlah Siti ni masih baru."
"La...balik dah ke? Mak belum habis bercerita lagi dengan kamu. Baru apanya dah berbulan kan kerja sini."
"Memanglah, tapi nak kena jaga juga imej kan. Nanti-nanti, kita berbual lagi ya. Siti datang selalu jenguk mak ya."
"Haaa...okaylah kalau macam tu."
Siti akhirnya berjaya meminta diri. Dia sudah bosan mendengar cerita-cerita dari Puan Fadzila. Dari cerita pokok bunga di kampung sampailah ke gosip orang-orang di kampung diceritanya. Dia datang bukannya mahu mendengar semua itu. Dia datang mahu rapat dengan Amar. Mahu mengambil hati lelaki itu kembali biarpun lelaki itu sepertinya tak pernah memberikan hatinya. Siti mahukan Amar semula setelah sedar bahwa dia masih sukakan lelaki yang berhati batu itu.
YOU ARE READING
Ada Cinta Untukku
RomanceNaura Afifah terpaksa menerima hakikat bahawa jodohnya dan Izz Hazri menemui nokhtah selepas 4 tahun berkahwin. Tak terbayang olehnya perkara seperti itu akan berlaku. Sedih memang sedih tapi sudah tiada jodoh. "Sumpahan apa entah yang...