29

451 26 11
                                    

Laman sesawang Persona Wanita dibaca dengan teliti. Memandangkan hari ini merupakan hari ulang tahun perkahwinan mereka yang pertama, Khairunnisa ingin membuat sedikit kejutan untuk Nazmi. Artikel yang berjudul; 'Tujuh Ciri Fizikal Wanita yang Membuatkan Lelaki Cair Hanya dengan Sekali Pandang' dibaca dengan penuh perhatian. Setiap satu perkara yang tertera dibuat nota mental.

1. Rambut yang sihat.

Rambutnya diperiksa dan diletakkan ke bahu dengan kemas. Rambutnya yang dahulu perang di hujung sudah pun dipotong kemas. Yang tinggal hanya rambut hitam berkilatnya yang separas belakang. "Rambut aku sihat. Tak ada kelemumur, lembut. Okey, check."

2. Senyuman manis.

Cermin tinggi yang terletak bersebelahan dengan katil dipandang. Pantulan wajahnya yang sedang tersenyum diperhati. "Hmm," Khairunnisa menjuih. Sekali lagi, senyuman diukir di wajah, namun kali ini senyumannya lebih kecil. "Okey, comel."

3. Pakaian atau gincu berona merah.

"Tapi aku tak suka pakai lipstick." Dia mencebik. "Tak pelah. Malam ni je." Gincu merah yang pernah dibelinya dahulu dicalit ke bibir. Niat dia membeli kerana ingin mencuba. Tapi disebabkan terlupa, akhirnya gincu itu tersorok di pelosok laci meja. Pantulan wajahnya sekali lagi dilihat. Pakaian satin yang berwarna merah hati bertali halus yang terbelah di bahagian kanan sehingga tengah pahanya yang sudah tersangkut di tubuhnya juga diperhatikan. "Hmm, boleh lah."

4. Pinggang ramping dan pinggul yang menawan.

Bahagian atas daripada pinggangnya dipusing ke kiri kanan, melihat bentuk tubuhnya dalam cermin. Dia sedar, sejak dia lahirkan Haziq, bentuk tubuhnya yang dulu kerempeng dan kurus, bak kata suaminya, seperti orang malnutrisi, sudah berubah kepada lebih baik. Lebih beralun. Dia terkekek kecil. Geli hati dengan komen sendiri terhadap bentuk tubuh badan sendiri.

Namun dia tetap berterima kasih kepada Nazmi kerana kalau bukan Nazmi yang menyediakan makanan sewaktu dia mengandung dulu, mungkin badannya akan lebih gempal dan berisi memandang wanita mengandung lebih senang untuk bertambah berat. "Well, at least, tak adalah kerempeng lagi. Tak adalah nampak macam lelaki lagi."

5. Solekan yang natural.

Solekan ringan yang ditepek ke muka dibetul-betulkan. "Okey, nice."

6. Bentuk badan yang ideal.

"BMI aku normal. Kira okeylah tu. Next."

7. Kelihatan kemas.

"Okey, semakan terakhir siap." Semburan minyak wangi disemburkan ke tubuhnya. "Siap! Sekarang tunggu dia balik je." Khairunnisa tersenyum luas. Tidak sabar rasanya mahu berdua-duaan dengan Nazmi di rumah. Naina pula setuju untuk menjaga Haziq dengan hati terbuka. "Harap Nazmi tak marahlah aku hantar Haziq dekat Naina."

Meja makan yang sudah siap dengan hidangan mewah yang dimasaknya sendiri diperiksa buat kali terakhir. Makanan yang bertemakan makanan barat terhidang mewah di atas meja. "Red wine je takde sebab kita tak boleh minum. Jadi, kita ganti dengan jus anggur jelah eh. Steak tu pun, aku dah rasa tadi. Boleh tahanlah sedap dia."

Klik.

"Haaa, dia dah balik!" Khairunnisa cemas. Laju dia berlari menutup semua lampu kecuali lampu di beranda dan cepat menyalakan lilin yang terdapat di tengah meja. Dadanya berdebar.

Melodi [Tamat]Where stories live. Discover now