Restoran itu tidak begitu sibuk layaknya restoran biasa. Mungkin waktu dan hari itu bukan waktu-waktu sibuk dan ramai orang.
Haechan masih tidak tahu bagaimana dia boleh bersetuju dengan ajakan Mark untuk makan malam bersama di situ.
"Sedap tak makanan kat sini?" tanya Mark teruja. Dia amat berselera makan.
Haechan pula hanya menjamah sedikit. Dia langsung tidak mahu berada di situ. Buat seketika, dia menyesal kerana bersetuju untuk keluar dengan Mark.
Jika difikirkan lagi, sudah hampir seminggu Haechan pulang ke rumah. Dan selama tempoh itu, dia dilayan bagaikan raja oleh Mark. Lelaki itu berusaha keras untuk memujuknya kembali.
Haechan masih tidak tahu apa keputusan untuk dirinya. Dia masih tidak tahu sama ada dia ingin teruskan untuk meninggalkan Mark atau memberi lelaki itu peluang. Fikirannya bercelaru. Dia kini sedang bergelut dengan hatinya sendiri.
Tidak begitu lama selepas makan, mereka masuk ke taman tema permainan yang sudah lama dibuka itu. Haechan masih lagi ingat bagaimana dia memaksa Mark untuk pergi ke situ. Mark tidak pernah bersetuju. Dan dia terpaksa pergi bersama Chenle dan Jisung.
Dia tidak menyangka dia akan dapat pergi bersama Mark. Dan mereka berkunjung ke situ dalam keadaan yang janggal. Haechan langsung tidak gembira. Dia langsung tidak teruja. Hatinya berada di tempat lain.
"Awak nak main apa-apa permainan?" tanya Mark dengan senyuman lebar.
Haechan hanya menggeleng. "Tak ada mood nak main."
Sudah semestinya jawapan itu membuatkan Mark kecewa. Riak wajahnya berubah bagaimanapun berjaya mengukir senyuman semula.
"Saya akan dapatkan hadiah untuk awak." Mark berjalan ke arah permainan baling bola berdekatan.
Haechan memandang patung beruang comel yang tergantung di dinding. Dia tahu itu adalah hadiah yang Mark maksudkan. Dia hanya berdiri di sebelah Mark yang sudah bersedia untuk membaling bola.
Mark adalah orang yang tidak begitu mahir dalam permainan. Haechan tahu mengenai hal itu. Dan dia tidak berharap banyak.
"Saya akan cuba lagi." ujar Mark ketika dia gagal.
"Dah." Haechan mendengus. "Tak perlu. Saya tak minat pun."
"Eh, tak apa." Mark membayar untuk permainan itu lagi. "Saya dah berjanji."
Janji? Apa yang Mark faham pasal janji? Haechan tidak tahu bila kali terakhir dia mendengar ayat itu keluar dari mulut Mark.
"Aish!" Mark hampir menyumpah ketika dia gagal lagi. Dia membayar lagi untuk meneruskan permainan.
Haechan mendengus kuat sambil menggolekkan bola matanya. Dia sudah bosan berdiri. Dan dia langsung tidak teruja jika Mark menang atau tidak.
Entah kali ke berapa, Mark akhirnya berjaya menjatuhkan kesemua tin yang ada. Dia melompat kegirangan sedaya upaya cuba untuk tidak peduli dengan reaksi Haechan yang tiada perasaan.
"Berikan saya patung anjing tu."
Haechan agak terkejut dengan pilihan Mark. Dia menyangka lelaki itu akan memilih patung beruang seperti selalunya.
"Untuk awak." Mark tersenyum manis sambil menghulurkan patung anjing berwarna putih itu pada Haechan.
Haechan tidak dapat menolak kerana tangannya secara automatik mencapai patung itu. Itu adalah hadiah yang berbeza dari semua hadiah yang dia terima sebelum ini.
"Jom kita naik Ferris Wheel." Mark segera membuka langkah disusuli oleh Haechan.
Untung sahaja barisan tidak terlalu panjang. Mereka dapat naik tanpa perlu menunggu lama. Pemandangan malam begitu indah membuatkan Mark memandang sekeliling dengan teruja.
"Wah... Patutlah pasangan kekasih suka naik." Mark menggumam. "Ia sangat indah."
Haechan langsung tidak membalas. Dia hanya memeluk patung anjing itu sambil memandang ke luar. Dia masih ingat lagi bagaimana dia juga memberi reaksi seperti Mark ketika Chenle dan Jisung membawanya naik.
"Haechan-ah..."
Haechan kembali ke dunia nyata dan berpaling memandang Mark.
"Saya janji saya akan pergi ke semua tempat yang awak inginkan bersama-sama." Mark bersuara sedikit bergetar. Dia menahan emosinya. "Saya janji saya akan melihat dunia bersama awak selepas ini."
Haechan memalingkan mukanya sekali lagi ke luar sana sambil mendengus. Dia tidak menjawab. Dia tidak mampu menjawab. Hatinya sudah tertutup untuk lelaki ini. Dia sudah tidak mahu mendengar janji seperti itu.
++++++++++++++++++++
Mark dan Haechan melangkah masuk ke dalam rumah itu. Walaupun Haechan sudah pulang, rasa suram dan kelam masih tetap terasa.
Banyak permainan yang mereka cuba semasa di taman tema itu. Tapi tiada satu pun yang dapat menggembirakan Haechan. Dan Mark tahu, dia juga memaksakan diri untuk bergembira kerana tahu Haechan tidak berminat.
Mark membuka jaketnya sambil mendengus perlahan. Entah kenapa, airmatanya bergenang. Dia merasa sakit. Sakit yang tidak mampu dia gambarkan. Sakit yang tidak dapat dijelaskan.
Kini dia mengerti bagaimana perasaan Haechan selama ini. Dia melayan Haechan malah lebih teruk daripada ini. Dia meninggalkan Haechan sendiri, dia tidak bercakap dengan lelaki itu, malah dia memarahinya.
Mark merasainya. Walaupun hanya sedikit dia sudah merasa terlalu sakit. Entah bagaimana Haechan dapat bertahan selama ini.
Mark mengesat airmatanya. Secara tidak sengaja dia menarik hingus membuatkan Haechan memandangnya pelik.
"Yah..." Haechan mengerutkan dahinya merenung lelaki itu. "Awak menangis?"
Mark mengesat airmatanya. Dia semakin menangis. Sejujurnya, dia tidak mahu Haechan melihatnya seperti itu. Tapi dia tidak kuat lagi. Sakitnya amat perit.
Haechan hanya merenung lelaki itu. Tidak tahu apa yang ditangisinya. Akan tetapi, dalam masa yang sama, dia juga tidak mahu tahu apa sebabnya.
"Sakit."
Haechan tidak membalas atau memberi sebarang reaksi. Dia hanya merenung Mark.
"Sakit, Haechan."
Haechan masih tidak membalas. Dia kini sudah faham kenapa Mark tiba-tiba menangis.
"Sakit." Mark bersuara dalam keadaan teresak-esak. Dia kini berpaling memandang Haechan yang hanya berdiri tidak bergerak. "Saya tahu awak tak gembira. Saya tahu awak tak nak dekat dengan saya."
Riak wajah Haechan masih kekal sama. Tiada rasa simpati timbul dalam dirinya.
"Tolong beri saya peluang." Mark berjalan mendekati lelaki itu perlahan-lahan. Wajahnya penuh airmata. "Saya merayu."
Haechan dapat merasainya. Buat seketika, dia merasa seperti sedang melihat siaran ulangan. Dia seperti sedang melihat dirinya sendiri suatu ketika dulu. Merayu dan berusaha untuk menambat hati Mark semula.
"Saya merayu, Haechan." Mark memegang tangan lelaki itu sebelum melutut di hadapannya. "Jangan benci saya."
Haechan memejamkan matanya. Inilah rasanya Deja vu. Dia dapat merasa tangan Mark bergegar. Tapi entah kenapa, dia tidak mampu memujuk hatinya untuk memaafkan lelaki itu.
Adakah dia gembira melihat Mark seperti itu? Adakah dia merasa kasihan? Dia sendiri tidak tahu apa yang ada jauh di lubuk hatinya.
Saat ini dia merasakan,
dia seharusnya pergi sejak awal.
To be continue.....
Susah plak nak bagi Mark happy. HAHAHA. Kejam tak?
xoxo, M
YOU ARE READING
Lie To My Heart [MarkHyuck] [BL] ✔️
FanfictionEmpat tahun berlalu, Haechan masih berusaha menambat hati Mark. Tapi Renjun tidak akan pernah lari dari hati lelaki itu. Adakah Haechan perlu bertahan atau meninggalkan Mark? [Boys Love] Main Couple : MarkHyuck Side Couple : NoMin + ChenJi + JaeYong...