Bab 38

5.1K 366 25
                                    

SAMBIL menuruni anak tangga untuk ke tingkat bawah, Aisar bersiul-siul kecil. Lagi beberapa langkah untuk sampai ke ruang makan, suara Encik Azril dan Puan Rosni yang sedang berbual menujah masuk ke lubang telinga membuatkan Aisar memperlahankan derap langkahnya. Matanya dibulatkan tatkala nama Ameena meniti di bibir kedua orang tuanya. Lantas, Aisar berjalan ke arah meja makan.

   "Meen dah balik?" Aisar memandang Encik Azril dan Puan Rosni silih berganti. Riak wajah keduanya nampak pelik dengan soalannya itu.

   "Aisar tanya ni. Betul ke Meen dah balik?" soal Aisar sekali lagi bila kedua orang tuanya tidak menjawab soalannya. Hela nafas, Puan Rosni labuhkan duduk di atas kerusi kosong.

   "Hurm, ya. Kenapanya kalau Meen dah balik?" giliran Puan Rosni pula yang menyoal. Aisar automatik tersengih. Dia menarik kerusi kosong bertentangan dengan wanita itu.

   "Bila Meen balik sini? Dia dah habis ke studi dekat Sarawak tu?" Aisar menyoal teruja. Muka Puan Rosni berkerut-kerut begitu juga dengan Encik Azril yang sekadar mengunci ulas bibirnya.

   "Yang kamu beria teruja sangat ni dah kenapa?" tanya Puan Rosni. Sengihan Aisar bertukar kelat apabila tersedar akan tingkahnya yang teruja setelah mengetahui kepulangan Ameena ke Semenanjung.

   "Errrr... mestilah Aisar teruja. Dah lama tak tengok Meen. Macam mana agaknya keadaan dia sekarang," ujar Aisar. Selama lima tahun ini, dia tahu yang Encik Azril dan Puan Rosni sentiasa berhubung dengan Ameena lewat telefon. Mereka sering bertanya khabar. Pernah juga sekali dia cuba meminta nombor telefon Ameena yang baru daripada Puan Rosni. Tapi wanita itu tidak memberi kerjasama. Sukar untuk dia menghubungi Ameena sementelah segala akaun media sosial Ameena sudah tidak lagi aktif. Emel yang dia hantar pada Ameena juga tidak pernah berbalas walau satu.

   "Mestilah makin bahagia. Entah-entah Meen balik ni sebab nak kenalkan bakal suami dia. Kalau ikutkan hati Meen tu, dia nak terus menetap dekat Sarawak." balas Puan Rosni. Membuatkan Aisar tiba-tiba rasa tak senang. Apa? Bakal suami?

   "Meen ada bagitahu mama apa-apa ke?" soal Aisar.

   "Bagitahu apa?" soalan berbalas soalan. Aisar mengernyih. Kepalanya digeleng laju.

   "Errr... tak ada apa-apa,"

Sepanjang makan malam itu, fikiran Aisar penuh dengan Ameena. Kata-kata Puan Rosni kembali terngiang-ngiang di telinganya. Macam mana kalau apa yang dikatakan Puan Rosni itu betul? Ameena pulang ke sini setelah lima tahun kerana mahu memperkenalkan bakal suami.

Ah, Aisar... yang kau nak sibuk tu kenapa? Biarlah dekat Ameena tu. Dia bukannya isteri kau lagi. Dah jadi bekas kau pun. Dia nak kahwin lain, itu hak dia. Kau siapa nak halang? Dulu waktu ada, tak reti nak hargai. Bila dah hilang, baru terhegeh-hegeh. Dasar loser!

Puan Rosni menguis kaki Encik Azril dekat bawah meja. Dia memberi isyarat mata pada suaminya itu untuk melihat Aisar yang tiba-tiba saja menjadi bisu. Makan pun seperti tak berselera. Mereka yakin pasti disebabkan Ameena yang membuatkan Aisar tiba-tiba menjadi diam di meja makan. Bibir masing-masing membentuk senyum geli hati.

*****

AMEENA keluar dari dapur sambil membawa dua muk berisi air sejuk. Tiba di ruang tamu, dia hulurkan satu muk kepada Anetha yang tersandar kepenatan atas sofa berangkai tiga sebelum dia turut melabuhkan duduk bersebelahan gadis itu.

   "Thanks, Meen!" ucap Anetha sambil menyambut huluran Ameena. Lega rasa tekak apabila air sejuk itu turun membasahi kerongkong.

   "Aku yang patut ucapkan terima kasih kat kau. Thanks, Net sebab sudi tolong aku kemaskan rumah," ujar Ameena pula. Anetha ketawa kecil.

Dear Little WifeWhere stories live. Discover now