"AKU terima nikahnya Raja Nur Ameena binti Raja Yusman dengan mas kahwinnya dua ratus ringgit tunai,"
Tangan digoncang perlahan. Pandang kiri kanan, saksi angguk kepala mengatakan 'sah'.
"Alhamdulillah..."
Dengan sekali lafaz sahaja, kini Ameena merupakan seorang isteri kepada Aisar. Ameena tunduk, matanya dipejam rapat. Majlis akad nikah diadakan di kediaman Encik Azril dan Puan Rosni sendiri. Tetamu-tetamu yang hadir cuma daripada kalangan keluarga rapat. Tak sampai lima puluh orang pun yang memeriahkan majlis ini.
Aisar mendekati Ameena dengan baju melayu putih gading yang tersarung di tubuhnya. Terangkat kepala Ameena bila Aisar dah duduk melutut di depannya. Seulas senyuman cuba dia ukirkan. Mujur Aisar tak tayang muka macam tercekik biji buah nangka walaupun kena paksa berkahwin dengan dia. Tak ada lah orang syak yang perkahwinan ini terjadi bukan atas kerelaan masing-masing. Erk, tak rela kah Ameena?
Jemari Ameena sejuk ketika Aisar menyentuhnya. Sebentuk cincin emas, Aisar sarungkan ke jari manis Ameena. Flash dan bunyi lensa kamera tak henti-henti berbunyi. Saat Aisar rapatkan wajah untuk mencium dahinya, Ameena pejam mata. Oh, hati rasa berbunga-bunga!
"Aisar, cium lama sikit dahi isteri tu." tak tahu suara siapa yang beri arahan, Ameena tahan rasa dalam hati.
Ha cium, cium. Cium dahi tu sampai esok!
*****
AMEENA rasa badan dia dah melekit-lekit. Apa tidaknya, dari pagi sampai lah ke petang baju kurung moden ini tersarung di tubuhnya. Rimas dia. Sudah lah dengan tudung dan kain veil pendek atas kepala. Walaupun cuma majlis akad nikah yang serba ringkas, Encik Azril dan Puan Rosni takkan biarkan majlis berlangsung dengan 'ala kadar' saja. Tengok saja lah, siap ada pelamin lagi walaupun hanya berapa kerat saja yang dijemput. Katanya buat habuan untuk bergambar kenang-kenangan. Malas nak membantah lagi, Aisar dan Ameena turuti juga kemahuan pasangan itu.
"Meen, Aisar mana?" tiba-tiba Puan Rosni menegur Ameena yang terpacak di ruang tamu. Bukan dia tak perasan sesekali Ameena asyik menjeling ke arah tangga. Tengok siapa entah.
"Abang Aisar solat, Mama Ros. Eh mama..." menyengih bersalah Ameena bila tersasul. Kini, Puan Rosni sudah menjadi ibu mentuanya. Panggilan Mama Ros yang sering dia guna sepatutnya bertukar kepada panggilan mama saja.
Puan Rosni senyum.
"Meen tak solat?"
"Meen tak boleh solat."
Faham maksud Ameena, Puan Rosni angguk-angguk kepala.
"Ni kenapa Meen berdiri kat sini? Pergi lah naik atas tukar baju. Dah petang ni, takde orang datang dah. Kesian menantu mama berpeluh-peluh." dahi Ameena yang sedikit basah, Puan Rosni kesat dengan jemari sendiri. Tersentuh rasa hati Ameena dengan tingkah selamba wanita itu. Sifat penyayang seorang ibu dalam diri Puan Rosni memang tak dibuat-buat.
"Boleh ke Meen naik?"
"Apa pulak yang tak bolehnya? Pergi lah naik. Masuk bilik Aisar ya. Beg pakaian Meen, Aisar letak dalam bilik dia dah."
Bilik Aisar?
Tolakan kecil di bahunya buat Ameena akur. Perlahan dia menapak mendaki anak tangga menuju ke tingkat atas. Tak masalahnya sekarang ini, mana satu bilik Aisar pun dia tak tahu. Ada tiga pintu bilik kat tingkat atas. Semuanya tertutup rapat. Kepala yang tersarung shawl satin berwarna putih, Ameena garu. Lupa nak tanya mama tadi!
Sudahnya terpusing-pusing Ameena kat situ sambil tunggu sesiapa muncul. Seketika, bunyi tombol dipulas dan pintu dikuak. Terteleng kepala Ameena memandang ke arah itu. Aisar yang masih belum menyedari kewujudan Ameena di situ melangkah keluar.
YOU ARE READING
Dear Little Wife
RomanceRaja Nur Ameena dan Aisar Haddad. Satu-satunya permata dalam keluarga masing-masing. Di mata Aisar, Ameena adalah adik perempuan kesayangannya. Di mata Ameena pula, Aisar lebih daripada seorang abang. Ya, Ameena sukakan Aisar. Walaupun Aisar kadang...