BAB 45

3.1K 148 32
                                    

Iris yang dari tadi membisu sambil memandang pemandangan di luar tingkap kereta dikerling sekilas sebelum matanya kembali fokus kepada pemanduan di hadapan. Sekarang mereka dalam perjalanan ke Johor. Ke rumah nenek. Seminggu yang lepas semasa hari kisah keluarga mereka terungkap ke media, nenek rebah tak sedarkan diri. Nenek terkejut bila kisah silam keluarga terungkap di media. Tambah lagi apa yang jadi kepada Zara. Nenek tak tahu menahu awalnya, maklumlah orang tua mana ada media sosial. Tapi nenek terdengar Maksu Ilyana bersembang dengan Amalina di telefon. Apalagi terus nenek paksa Maksu Ilyana supaya cerita semua yang berlaku. Selesai saja Maksu Ilyana bercerita semua yang telah berlaku, terus nenek rebah tak sedarkan diri. Kalut Maksu Ilyana bawa ke hospital. Tapi doktor kata nenek baik-baik saja, cuma tekanan darah nenek sedikit tinggi, mungkin kerana nenek terkejut dengan apa yang diceritakan oleh Maksu Ilyana. Kata nenek dia tak sangka kifarah mengejar mereka sejauh ini.

Sekejap saja nenek di hospital kemudian nenek balik ke rumah. Keesokan harinya Daddy, mama dan dia pulang ke kampung melawat nenek. Iris tak balik. Iris tak nak balik. Puas juga dia paksa Iris balik untuk melawat nenek. Tapi Iris tetap berkeras  juga tak nak balik. Masa melawat nenek, nenek ada cakap nak jumpa Iris. Kalau boleh nenek nak sangat jumpa Iris. Ye, nenek tahu Iris dah buang dia, Iris dah tak nak tengok muka dia, tapi nenek tetap nak jumpa Iris. Nenek rindu. Nenek nak minta maaf lagi. Nenek cakap dia tak tahan dibenci Iris setengah mati begini. Nenek kata nampak saja dia hidup tapi jiwa dia sebenarnya sudah mati. Hidup dibenci oleh cucu kandung sendiri siapa saja yang boleh terima. Nenek tahu Iris benci dia, tapi nenek masih nak usaha dapatkan kemaafan dari Iris.

Zafran mengeluh berat. Memang benar kata nenek, kifarah memang sedang mengejar keluarga mereka sekarang. Mengejar mereka-mereka yang memberi derita kepada Aunty Rose sehingga Aunty Rose ambil keputusan untuk pergi dalam keadaan yang sesiapa tidak dapat duga. Sebegitu besar penderitaan Aunty Rose hingga Aunty Rose fikir hanya cara itu saja dapat tamatkan penderitaannya. Sejak kisah keluarga mereka terungkap di media, keluarga mereka jadi berantakan. Daddy selalu sakit-sakit. Mama pula selalu duduk termenung seorang diri. Masih ingat lagi dia pada hari semuanya terungkap di media, dia mendapat call dari Cik Liza bahawa Daddy kena serangan jantung dan mama pengsan tak sedarkan diri kerana terlampau stress. Kalut dia balik ke rumah tinggalkan semua kerja yang ada. Zara pun sama,  sejak hari itu, Zara selalu berkurung dalam bilik. Tak makan. Tak minum. Tak keluar. Kelas pun jarang pergi. Bila dia tanya Zara cakap tak ada apa. Dia pun tak tahu nak buat apa. Ye, dia dah hapuskan semua berita tersebut di media tapi tetap mulut orang bercerita.

Iris di tepi dikerling lagi. Dia tak tahu apa yang berada dalam fikiran Iris sekarang. Dia tak tahu apa yang Iris rasa sekarang. Dia tak tahu. Dia tak tahu apa yang Iris fikir sehingga Iris membuat keputusan untuk balik kampung berjumpa dengan nenek. Terkejut dia bila semalam Iris tiba-tiba cakap nak jumpa nenek. Dan Iris mintanya hantar balik kampung. Tapi Iris cakap nak balik sekejap saja. Tak payah bermalam di sana. Tanpa banyak soal dia setuju saja. Bila maklumkan kepada nenek, nenek gembira sangat. Akhirnya Iris setuju nak jumpanya. Nenek kata mungkin sudah ada sinar disebalik terowong yang gelap. Tapi dia kata jangan terlalu berharap sebab takut nenek makin kecewa. Boleh jadi Iris balik untuk menutup sinar itu. Dan terowong yang gelap itu sudah tiada lagi cahayanya.

"Iris" seru Zafran perlahan.

"Abang tak tahu apa yang Iris fikir sampai Iris buat keputusan untuk balik kampung jumpa nenek. Abang pun tak tahu apa yang Iris akan buat nanti. Cuma abang pesan Iris buatlah keputusan yang baik. Iris buatlah keputusan yang dapat bahagiakan diri Iris. Jangan dengar kata orang. Mulut orang memang semua cakap mudah. Hanya Iris saja tahu apa yang dapat bahagiakan diri Iris. Bahagia setiap orang itu berbeza. Jadi, buat keputusan yang tepat. Abang cuma nak Iris tahu, yang walau apa pun yang berlaku abang akan sentiasa ada bersama Iris."

Tiada apa-apa balasan dari Iris. Hanya kebisuan yang Iris hadiahkan kepadanya. Iris masih seperti tadi. Diam sambil merenung ke luar tingkap kereta. Sudahnya dia ambil keputusan untuk diam saja sepanjang perjalanan. Mungkin Iris perlukan ruang.

Flower Path (Bakal Terbit)Where stories live. Discover now