EPILOG I

5K 181 21
                                    

8 bulan kemudian...

"Uhuk! Uhuk!"

Puan Sri Hani melangkah sedikit jauh dari makanan yang ada di atas meja. Bukan apa, bimbang makanan yang dijualnya tercemar pula bila dia batuk-batuk. Dah lah dia mahu jual pada orang, nanti apa pula orang fikir bila tengok dia begini dari tadi. Sapu tangan kecil yang berada dalam poket seluar palazonya kemudiannya dibawa keluar dan ditekup ke mulut.

"Uhuk!Uhuk!Uhuk!"

Batuk lagi. Namun kali ini batuknya lebih kuat daripada tadi. Sambil batuk, tangan dibawa ke dada dan dadanya digosok-gosok perlahan bila ada rasa sedikit perit di dadanya. Entah kenapa dia rasa macam ada benda saja melekat di dadanya dan tunggu masa nak keluar.

"Uhuk! Uhuk! Uhuk!"

Bersambung lagi namun kali ini, batuknya makin kuat dari tadi sampaikan bergegar badannya. Rasa perit di dada pula makin kuat dari tadi. Tersekat sedikit nafasnya. Lama juga begitu. Bila batuknya sedikit reda, Puan Sri Hani terus mengeluh lemah. Bila batuknya ini nak habis? Sudah beberapa bulan dia batuk-batuk begini. Risau pula dia dibuatnya. Lagi-lagi dia menjual sekarang. Bukan apa, dia risau nanti orang tengok dia batuk-batuk begini, orang takut pula nak beli makanan yang dia jual sebab fikir dia ada penyakit apa-apa. Fikiran orang kita mana tahu. Lagi-lagi melibatkan makanan. Kebersihan adalah keutamaan dalam menjual makanan.

Dia menjual makanan? Ye, sekarang dia menjual makanan. Di mana dia menjual makanan ini? Tak jauh, di depan rumahnya saja atau lebih tepat lagi di depan rumah peninggalan keluarganya di Kelantan. Ye, dia sudah balik Kelantan. Lepas saja habis tempoh iddah terus dia balik ke sini bersama Zara. Benar, dia orang Kelantan. Tapi dia dah lama dah tak balik Kelantan. Seingatnya, kali terakhir dia balik ke Kelantan adalah masa arwah ibunya meninggal dunia. Inilah tempat dia membesar. Lepas dapat tawaran sambung belajar di sebuah universiti di Kuala Lumpur, dia terus keluar dari sini. Tak lama lepas habis belajar, dia kerja biasa-biasa saja dekat Kuala Lumpur dan di sana dia terjumpa dengan arwah suaminya lalu mereka berdua ambil keputusan untuk berkahwin. Suaminya orang Kuala Lumpur. Bila dah kahwin dengan orang sana, faham-fahamlah, lagi jaranglah dia balik ke Kelantan. Jauh satu hal, sibuk uruskan keluarga lagi pun satu hal juga. Kalau dia balik pun mesti masa Hari Raya saja. Lepas arwah suaminya itu meninggal dunia kerana kemalangan, beberapa tahun lepas tu dia kahwin pula dengan bekas suaminya, Tan Sri Irfan.

Lepas dia kahwin dengan bekas suaminya itu, dia makin jarang balik ke kampung daripada sebelum ini. Kenapa dia lagi jarang balik ke kampung? Dia jarang balik ke kampung sebab arwah ibunya tak berapa berkenan dia kahwin dengan bekas suaminya. Tak berkenan sebab apa pula? Arwah ibu sebenarnya tak berapa suka dia jadi isteri kedua. Selain itu, arwah ibu juga risau sebab bekas suaminya sudah ada anak. Arwah ibu risau suatu hari nanti dia tak dapat terima dan jaga Iris macam anak dia sendiri. Bila arwah Rose Helena meninggal dunia sebab bunuh diri, ibu lagi bertambah tak suka. Kata ibu, dia dah musnahkan kebahagiaan orang lain. Dia dah buat Iris jadi anak yatim. Dia ingat lagi arwah ibu pernah cakap tentang Iris. Arwah ibu cakap, Iris dah la tak ada mak, mak pula mati dalam keadaan macam tu, ibu takut bila Iris besar nanti Iris  berdendam pada dia nanti. Ye lah, dia kan salah satu punca yang buat Mommy Iris pergi dalam keadaan macam tu. Kata arwah ibu lagi, trauma yang Iris hadap pada masa kecil, akan membentuk diri Iris bila besar nanti. Ini lagi bahaya kerana dia memendam rasa ini lama.

Tapi itulah, walaupun dah berbuih arwah ibu nasihatnya, dia tak dengar. Dia bantah keras cakap ibu dan tetap kahwin juga dengan bekas suaminya itu. Disebabkan hal ini, lama juga dia bermasam muka dengan arwah ibunya. Kampung pun dia jarang balik hinggalah arwah ibu meninggal dunia beberapa tahun selepas dia berkahwin dengan bekas suaminya barulah dia balik. Selepas itu, dia tak pernah balik kampung langsung. Rumah ini pun dia upah orang untuk jaga dan tolong tengok-tengokkan sepanjang dia tak ada. Adik beradik dia mana? Kenapa mereka saja tak jaga rumah? Entahlah. Dia pun tak tahu adik beradik sebapanya pergi mana. Lepas arwah ayahnya pergi, terus mereka terputus hubungan. Bila dah balik Kelantan ni, nak cakap Kelantan pun dia sudah lupa sikit macam mana. Maklumlah dia dah lama duduk di negeri orang, terus lupa diri dibuatnya.

Flower Path (Bakal Terbit)Where stories live. Discover now