MATA RUBY lama terpasung merenung siling. Tak habis-habis keluhan meniti di bibir. Kerana terasa sangat bosan. Jika dia masih berada di kota Malé, Maldives tika ini, dia pasti sedang bekerja di sebuah kedai yang menjual cangkerang sebagai cenderamata.
Perutnya dah tak rasa sakit setelah menelan sebiji ubat tahan sakit. Period cramp. Benda yang paling menjengkelkan. Ruby bangun dari pembaringan. Melilau mata melihat sekitar bilik tidur. Tiada yang menarik. iPhone yang berada di sisi meja katil dia kerling. Masih cas.
"Sekarang aku nak buat apa?"
Tak tahu mengapa tapi Ruby tak nak baring sepanjang hari seperti orang malas. Dia turun dari katil dan membawa diri ke tingkat bawah. Penthouse itu sunyi tanpa kehadiran Aidar yang sedang bertugas. Terusik hati Ruby. Takkanlah dah rindu Aidar.
Ruang tamu menjadi destinasi. Nampak kemas dan tiada barang yang bersepah. Ruby hampir lupa yang Aidar ada sifat pengemas. Tak akan ada satu barang pun yang tak tersusun di dalam rumah ini.
"Kalau dia dah buat semua tugas aku sebagai isteri, apa yang boleh aku buat?" Ruby garu pipinya yang tak gatal. Susah juga ada suami seperti Aidar. Dia pula yang tak sempat nak kemas apa-apa.
Hampir satu jam, Ruby menerokai penthouse yang ditinggalkan empat tahun lalu. Cuma dia tak jejak kaki ke bilik kerja Aidar. Tahu yang lelaki itu tak suka bila bilik kerjanya diceroboh tanpa izin.
Namun ada sesuatu yang menarik perhatian Ruby. Di hujung koridor, ada sebuah pintu bercat hitam. Berbeza dari warna pintu bilik yang lain. Ruby terpacak di depan pintu itu. Berfikir-fikir.
"Buka jelah."
Tombol pintu dipulas perlahan. Ruby menguak pintu dari luar. Kepala terjenguk ke dalam. Bilik itu gelap gelita tanpa sebarang cahaya. Laju saja dia mencari suis lampu. Klak! Ruangan bilik itu mulai cerah tapi hampa. Kosong tanpa perabot. Luas pula tu.
Lantainya sungguh berbeza. Berjubin marmar hitam. Setapak demi setapak, Ruby memasuki ruangan bilik. Mata terhala pada kain putih yang menutup sesuatu. Dari segi bentuknya, Ruby dah tahu apa.
Ini motorsikal berkuasa tinggi kepunyaan Aidar.
Tanpa aba-aba, Ruby menarik kain putih itu. Tipikal Aidar! Sayang betul dengan motorsikal ini sampai nak simpan dalam rumah. Tak puas merempit di jalan raya, nak merempit di dalam rumah jugakah?
Lama mata Ruby merenung motorsikal yang berjenama mv agusta f4cc. Menggamit kenangan di mana Aidar sering mengajaknya keluar lewat malam sambil menunggang motorsikal itu.
Masih adakah pelekat yang dia tampal? Kepala Ruby bergerak ke kiri dan kanan. Mencari pelekat yang pernah ditampalnya. Mungkin Aidar dah tanggalkan tapi ternyata masih ada. Ruby membatu.
Permata Ruby, kesayangan Aidar.
Ruby masih ingat kenapa dia tampal pelekat ini. Kerana tak mahu Aidar lupakan dia. Namun dia yang pergi meninggalkan Aidar. Dia yang sebenarnya lupakan Aidar selama empat tahun perpisahan.
Bunyi pintu ditutup menyentak Ruby. Mendadak rasa gelabah. Entah bagaimana dia boleh tersilap langkah dan tersadung kaki sendiri. Tubuhnya bertembung dengan motorsikal sebelum bam! Motorsikal kesayangan Aidar dah selamat menghempap jubin lantai.
"Ruby?!"
Kaki Aidar bergerak pantas. Terus dia berlari masuk ke dalam bilik itu. Rasa risau menggunung. Takut jika ada apa-apa yang berlaku kepada Ruby. Dada berombak ganas usai saja dia merapati Ruby.
"Precious? Okay tak? Ada cedera dekat mana-mana?"
Jari-jemari diremas. Ruby membisu. Tak pasti bagaimana nak jawab. Beberapa kali dia mengerling kepada motorsikal yang dah mendarat di atas jubin lantai. Alamak, side mirror sebelah kiri dah patah!
YOU ARE READING
AIDAR
RomanceUnder SSR SERIES ⋆͛︎ #2 GREEDY LOVE Leftenan Muda Aidar Gael. Sempurna dari segi wajah dan badan. Ada masanya sengal, ada masanya dia tak boleh dicabar. Dia pernah menjalinkan hubungan dengan Ruby Harzen, gadis yang berasal dari keluarga berada. Hub...