AIDAR 18

4K 185 0
                                    

SURAT DOKTOR yang terdapat di tangan lama direnung oleh Aidar. Rumit baginya menerima apa yang diminta kali ini. Bukan permintaan tapi lebih kepada arahan yang dia tak boleh bangkang.

Hari ini Aidar mengatur temujanji bersama seorang psikiatri selepas berbulan tak jumpa. Banyak yang disoal dan banyak juga dia berselindung daripada berkata jujur tentang gangguan tidurnya. Semakin lama, semakin teruk setiap kali dia pulang dari misi.

Nampak gayanya Aidar tak ada cara lain dan perlu mengambil ubat tidur seperti apa yang telah diberitahu oleh psikiatri tadi. Semenjak ini Ruby akan terjaga sekali apabila dia turun dari katil. Aidar rasa bersalah kerana disebabkan dia, isterinya tak dapat tidur yang elok.

"Aidar, apa psikiatri cakap tadi?"

Lamunan Aidar terhenti. Dia panggung wajah. Anak mata miliknya seraya berlaga dengan mata Ruby. Bening kerisauan terpancar di wajah isterinya. Aidar menggeleng sembari bangkit dari duduk, bererti tiada apa yang teruk melainkan pengambilan ubat tidur.

"Tak ada apa. Aku cuma kena ambil ubat tidur. Itupun psikiatri tadi bagitau aku kena makan kalau betul-betul tak dapat tidur. Jangan risau, precious. Kalau bertambah teruk, aku bagitau kau."

"Tapi awak okay ke ambil ubat tidur?"

Ruby maju setapak. Dia tak faham apa yang mengubah keputusan Aidar sedangkan suaminya itu berkeras tak mahu ambil ubat tidur sebelum ini kerana takut dia akan bergantung kepada ubat-ubatan.

"Okay. Tak ada masalah. Aku kesian dengan kau. Bila aku bangun, kau pun terbangun. Aku rasa aku dah banyak kali kacau kau tidur."

Bibir Ruby menahan senyuman. Perlahan-lahan dia meraih tangan Aidar. Jari-jemari mereka disulam kemas. Wajah sedikit mendongak kerana perbezaan ketinggian mereka. Sifat prihatin Aidar dah lama terbentuk dalam dirinya dan itu merupakan salah satu sebab kenapa Ruby tak menyesal terjatuh hati dengan Aidar.

"Bukan patutnya kau pergi resort ke hari ni?"

"Saya nak ajak awak sekali."

Aidar garu kening yang tak gatal. Dia bukan tak nak ikut. Ajaklah dia ke mana-mana saja, dia pasti akan ikut Ruby tapi mempunyai pekerjaan sebagai seorang askar bermaksud masa lapangnya terhad.

Cuti dalam tentera hanyalah satu keistimewaan, bukan hak milik. Bila-bila masa Aidar boleh dipanggil bertugas. Dia sedia maklum perihal itu kerana amanah besarnya ialah menjaga negara.

"Awak nak rehat, kan?"

Ruby dapat mengagak daripada tingkah Aidar yang seperti cacing kepanasan. Lantas dia menarik tangan Aidar dan mengorak langkah ke pintu keluar. Tak mengapa jika suaminya mahu rehat di rumah.

"Aku boleh hantar kau pergi resort dulu, precious."

"Saya drive. Saya tak nak susahkan awak ambil saya balik nanti. Jadi hari ni awak ialah passenger prince saya. Tak ada bantahan," ujar Ruby sambil menunjuk riak garang. Pecah tawa Aidar dibuatnya.

"I'll be happy to be your passenger prince."

Sedang mereka berjalan ke tempat letak kereta, Aidar terlanggar bahu seseorang. Derapan langkahnya terhenti. Kening naik bertaut. Orang yang bertembung dengannya tak mengucap kata maaf.

Sebaliknya, orang itu mengangkat wajah dan memandang Aidar tanpa mengajukan sebarang kata. Terukir senyuman yang penuh makna tersirat di wajah gerangan itu sebelum dia berlalu pergi. Seolah ada renjatan elektrik di udara, tubuh Aidar mengeras.

Aidar laju berpaling. Mencari figura yang sama namun lenyap dari pandangan mata. Takkanlah. Ruby yang turut berhenti mulai rasa hairan. Dah kenapa? Lengan suaminya dicuit meminta perhatian.

AIDARWhere stories live. Discover now