AIDAR 10

4K 197 0
                                    

TUBUH SASA itu berdiri menghadap jendela. Bintang-bintang yang bertaburan mencerahkan langit yang kelam. Sunyi sepi. Aidar tak bersuara. Hanya membiar dirinya larut dalam lamunan.

Tangan bermain dengan lighter. Berpusing-pusing di celah jemari. Sesudah itu, rambutnya dikuak kasar ke belakang. Malam ini Ruby tak ada di rumah kerana Tuan Will menyuruhnya untuk hadir ke sebuah majlis. Majlis makan malam bersama staf-staf Resort Laken.

Aidar tentulah tak dijemput. Kad undangan hanya tertulis untuk Ruby yang akan menjadi pengurus Resort Laken kelak. Lidah menolak dinding pipi. Lighter di tangan dia petik. Hatinya mendidih panas.

iPhone dicapai. Kenalan nombor seseorang dicari. Nombor isterinya ditekan. Ruby tak angkat. Aidar mencuba lagi. Dua kali. Tiga kali. Empat kali. Langsung tak diangkat. Aidar tumbuk jendela di depan.

"Aku ni siapa dalam keluarga kau, Ruby?"

Nada suara Aidar kedengaran kecewa. Dia rasa tersisih. Seolah tak layak untuk bergaul di kalangan ahli keluarga Ruby. Tiada tempat untuk berdiri di samping Ruby meskipun dia ialah suami Ruby.

Aidar ialah seorang anak yatim piatu. Sejak lahir, dia tak kenal ayah kandungnya. Ibunya pula hilang tanpa memberi apa-apa penjelasan. Waktu itu, Aidar berumur enam tahun. Budak lelaki yang masih memerlukan bimbingan dan kasih sayang tapi dipaksa untuk jadi matang pada usia yang sangat muda. Berdiri kuat tanpa bantuan.

Dulu, Aidar teruja ingin berkenalan dengan Tuan Will kerana dia akan mempunyai seorang mertua yang boleh dipanggil ayah namun harapannya musnah sekelip mata. Tuan Will tak suka dia sebab pekerjaannya. Buntu Aidar ingin menyenangkan hati Tuan Will. 

Lama-kelamaan, Aidar mengalah. Untuk apa dia berusaha jika ditolak mentah-mentah? Buang masa dan buang tenaga. Terpulang kepada Tuan Will ingin menerima dia dalam keluarga atau tidak.

Aidar mengeluh berat. Tubuhnya direbahkan ke atas katil. Lengan menutup mata. Nak tidur tapi badan tak bagi kerjasama. Ruby pula belum pulang dari majlis makan malam itu. Aidar risau jika isterinya tiba-tiba telefon dia dan menyuruhnya untuk jemput dia balik.

Sedaya upaya Aidar cuba untuk tak terlelap namun kelopak mata kian memberat. Nafas yang berat beransur halus. Tubuh terbaring kaku di atas katil. Tak lama, Aidar terlena kerana kepenatan.

ANAK MATA milik Ruby meliar ke kiri dan kanan. Gelas kaca yang berisi air wain putih di pegangan tangan dibiarkan. Tekaknya tak minat minum air begini. Patutnya sediakan air bergas juga.

"Ruby, mari. Ayah kenalkan kamu dekat Bryson."

Ruby menahan diri daripada mencarut. Dia memang tak nak hadir ke majlis ini kalau bukan kerana ugutan Tuan Will. Asyik guna ayat untuk pisahkan dia dengan Aidar. Tercabar Ruby angkaranya.

Jadi nak tak nak, dia terpaksa setuju untuk datang. Ruby cuba pamer senyuman namun jelas kekok. Dia mendekati Tuan Will yang sedang berbual bersama seorang lelaki bersut lengkap. Kasut hitam berkilat.

"Bryson, ini anak perempuan saya. Ruby Harzen. Dia yang akan ambil alih Resort Laken sebagai pengurus baru dalam tiga bulan lagi."

"She seems young."

Muda? Siapa yang muda? Tumpuan Ruby terhala kepada lelaki yang bernama Bryson. Anak mata mereka bertemu. Bryson beri senyuman mesra tapi sia-sia. Ruby paling benci lelaki yang berlagak bagus.

Tengok sajalah dari pandangan mata Bryson. Menilik dia atas bawah. Gatal! Nasib baik Ruby tak memakai gaun yang menjolok mata. Entah-entah Bryson akan tengok dia macam nak terkam.

"Anak saya muda lagi. Baru umur 24 tapi itulah. Dah kahwin."

Ruby hambur tawa kosong. Tahu yang Tuan Will sedang memerli dia. Itu pilihan dia yang nak kahwin awal atau tidak. Bukannya dia kikis duit Tuan Will. Wajah Bryson yang terkejut itu Ruby jeling.

AIDARWhere stories live. Discover now