AIDAR 14

4.7K 237 5
                                    

SEJAK PULANG dari Resort Laken, Aidar langsung tak bersuara. Naik hairan Ruby kerana tingkahnya. Dia tertanya-tanya sendiri. Mana tahu dia ada buat sesuatu yang menyinggung hati suaminya.

Tubuh dihempas ke atas sofa. Aidar sebam wajah ke dalam kusyen. Dia perlukan masa untuk bertenang. Perbualan di antara dia dan Bryson masih terngiang di telinga. Tak semena Aidar mencemik.

"Aidar? Penat ke?"

Ruby menunduk sedikit. Mencari seisi wajah Aidar namun terhalang kerana kusyen. Kening hampir bercantum. Dia tak suka bila Aidar berdiam diri. Dia dapat rasakan suaminya memendam sesuatu.

"Penat." Sepatah Aidar menjawab.

Ya, dia penat menjaga perasaan orang lain. Penat memikirkan apa yang kurang tentang dirinya dan apa yang tak kena. Aidar buntu. Dia tak buat salah apa-apa tapi mengapa Tuan Will memburukkan dia?

Selama ini, Aidar pupuk rasa sabar. Dia terima tempias dan sindiran dari Tuan Will namun dia tak tahu berapa lama lagi dia mampu bertahan. Aidar hormat Tuan Will sebagai ayah mertuanya namun lelaki tua itu semakin lama, semakin tahu memperlekehkan dia.

"Awak ada terserempak dengan ayah ke tadi?"

"No."

Ruby menarik nafas dalam. Payah nak berkomunikasi dengan Aidar. Dia duduk di atas lantai yang menghadap sofa. Jari-jemari mengelus rambut Aidar yang sedikit berselerak. Tak apalah kalau Aidar tak nak cerita apa yang berlaku. Dia tak paksa. Sunyi beberapa minit.

"Aku tak suka." Aidar buka bicara.

Ruby menanti.

"Aku paling tak suka bila orang anggap kerja aku ni benda remeh. Diorang tak pernah rasa apa aku lalui. Diorang tak tahu bagaimana rasanya berdiri di medan perang dan lihat dengan mata sendiri bila ada yang terkorban. Hina sangat ke pekerjaan aku, precious?"

Suara Aidar bergetar. Dadanya sesak nyeri. Dia tak mahu kelihatan lemah di depan Ruby tapi tak ada siapa lagi yang mampu dijadikan tempat mengadu. Sakit berdiri teguh padahal dia juga manusia biasa yang memiliki hati dan perasaan. Ada kalanya dia tersungkur.

"Salah ke aku letak nyawa aku untuk negara? Salah sangat ke?"

Ruby kemam bibir. Terbit rasa sedih. Dia tak pernah mempertikaikan pekerjaan Aidar. Apatah lagi memandang sebelah mata. Dia mengerti apa yang Aidar lakukan ialah perkara yang membanggakan negara.

"Tak salah. Kerja awak ialah kerja yang suci. Awak berani letak nyawa untuk negara. Awak pikul tanggungjawab yang besar. Awak pergi berperang bila dipanggil. Janganlah fikir macam tu."

Hening.

"Aidar?" Panggil Ruby lembut.

Aidar menggeleng. Enggan berdalih. Wajah kekal disebam ke dalam kusyen. Bahunya bergegar. Kedengaran esak tangisan yang tak berapa kuat. Mata Ruby membulat terkejut. Suaminya menangis?

"Aidar..."

Ruby yakin banyak yang telah terbuku di dalam hati Aidar. Pelbagai cabaran dan rintangan yang telah diharungi tapi Aidar tak mengeluh. Malah, mengutarakan kata lelah memang jarang. Tubir mata Ruby mulai bergenang. Sayu melihat keadaan suaminya yang memendam perasaan. Lekas dia memeluk tubuh Aidar. Menyalur kekuatan.

"Awak ada saya, Aidar. Awak sentiasa ada saya."

AKIBAT MENANGIS tadi, Aidar demam. Rambut lencun dek peluh. Penghawa dingin sudah dipasang tapi suhu badannya masih panas. Dia tukar posisi kerana tak selesa. Baring mengiring.

Kelopak mata terasa berat namun Aidar tak mampu lelapkan mata. Bilik tidur itu cerah kerana lampu tidur. Langsir ditutup supaya Aidar dapat berehat tapi hampa. Kelibat Ruby dicari olehnya.

AIDARTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang