AIDAR 9

4.1K 197 0
                                    

RUMAH BANGLO mewah itu tenang kerana pemiliknya tiada tapi tak lama. Pasti keadaan akan jadi huru-hara. Sebuah kereta alphard berhenti di luar halaman. Pintu automatik terbuka dan Tuan Will keluar dari perut kereta. Raut wajahnya bengis. Menahan marah.

"Anak perempuan yang tak kenang jasa!" Tuan Will mengherdik.

Stefan yang turun dari alphard diam membisu. Dia menyusul langkah Tuan Will seperti kerbau yang dicucuk hidung. Tiada rungutan. Tiada bantahan dan tak melawan. Stefan hanya akur.

Seorang pembantu rumah membuka luas pintu rumah. Tubuh sedikit menunduk sebagai tanda hormat. Tak berani dia ingin bertentang mata dengan majikannya. Tuan Will lantas mengatur langkah ke bilik peribadinya bersama perasaan marah yang bergelora.

"Kalau Ruby tu anak lelaki, aku tahu dia akan dengar cakap! Resort tu untuk dia. Waris aku! Aku usahakan selama ni supaya dia boleh ambil alih tapi apa yang dia buat? Awal-awal dah kahwin!"

"Tuan..."

"Kau diam, Stefan! Kau masih mentah. Tak banyak ilmu. Tak ada pengalaman. SPM pun cukup-cukup lulus! Macam mana aku nak harapkan kau boleh jaga harta dan duit aku nanti?" Tuan Will mencantas tanpa berlapik.

Raut wajah Stefan berubah kendur. Tipulah kalau dia cakap dia tak terasa. Dia anak angkat. Tiada darah Harzen yang mengalir di dalam badannya. Hal itu telah lama Stefan tanam dalam otak sendiri namun dia tak pernah lelah mengharap suatu hari nanti dia boleh mengubah tanggapan Tuan Will terhadapnya.

Jika tak diberi peluang, bagaimana dia ingin buktikan?

"Sekarang macam mana aku nak buat Ruby terima? Kalau ikut kepala suami dia, aku tahu dia takkan setuju. Suami dia takkan benarkan. Askar konon. Hebatlah sangat. Rosak keturunan aku menantukan dia!"

Nafas Tuan Will berombak kasar. Panas hati teringatkan pertemuan bersama Ruby tadi. Belum habis berbincang, Ruby sudah awal menolak bahkan terus pulang tanpa mengucapkan apa-apa. Terasa maruahnya sebagai ayah tercalar. Dipijak begitu saja.

"Keluar, aku tak nak tengok muka kau," halau Tuan Will.

Stefan angguk mengalah. Setapak demi setapak dia membawa diri untuk keluar dari bilik peribadi Tuan Will. Pintu dikatup rapat. Hati yang telah lama sakit semakin tergores. Dia meraup wajahnya.

"Senang sangat kau jatuh, Stefan," omelnya sendirian.

Sejak Ruby tak menetap bersama mereka lagi, hidup Stefan berubah seratus peratus. Tuan Will mudah naik angin. Sering mengarah dia dan semua kesalahan diletakkan ke atas bahunya. Dulu, Ruby yang dijadikan tempat luahan tapi sekarang Stefan terkapai-kapai.

Stefan tak mahu mengganggu hidup Ruby. Kakak angkatnya sudah berkahwin. Bererti Ruby ialah kepunyaan seseorang. Ada suami yang harus dijaga dari segi perasaan. Stefan tak nak cari Ruby.

Dia bukan lagi Stefan yang berumur lima belas tahun. Dia dah besar panjang. Umur dah menginjak dua puluh tahun jadi mengapa dia harus mencari Ruby lagi? Cukuplah kawan-kawan sekelasnya dulu mengejek dia sebagai budak hati tisu. Senang koyak.

Stefan tarik nafas dalam. Mengumpul kekuatan yang tersisa. Anak mata menggelap. Banyak lagi yang harus dia risaukan. Kalau Ruby tak nak ambil alih Resort Laken, dia akan buktikan kepada Tuan Will yang dia juga boleh menjadi pengurus resort itu.

PULANG KE rumah, Ruby kejung di laluan masuk. Kaki bagai dipaku. Anak mata tunak memandang susuk tubuh Aidar yang menantinya di ruang tamu. Sedang bersandar di belakang sofa.

"Pergi mana?"

Suara garau Aidar memecah hening. Lantas Ruby berpaling muka. Dia tak hantar pesanan mesej kepada suaminya yang dia keluar tadi. Terlalu tergesa-gesa sehingga terlupa. Dia tak sengaja.

AIDARWhere stories live. Discover now