BEBERAPA KEPING gambar berselerak tak tersusun di atas meja. Sebatang tubuh mundar-mandir di dalam sebuah ruangan bilik yang malap. Hanya bertemankan cahaya yang menembusi tingkap bilik.
"Sial!"
Amukan Karla menyelubungi bilik. Hidungnya kembang kempis menahan rasa yang berkecamuk. Seminggu telah berlalu namun orang kanan yang dia percayai tidak memberi sebarang berita.
Ya, dia mengarahkan orang kanannya untuk menyelidik siapa isteri Aidar. Hidup Karla tak akan tenang selagi dia tak mengetahui siapa gadis beruntung yang menambat hati seorang leftenan muda itu.
Karla tidak memendam perasaan istimewa terhadap Aidar. Perasaan itu sudah luntur namun berganti dengan bara dendam. Disebabkan lelaki itu! Dia ditipu hidup-hidup dan hidupnya berantakan.
Ketukan di pintu menyentak Karla dari terus mengelamun. Dengus nafas kasar terlepas dari celah bibir. Dia menghayun langkah cepat ke pintu lalu dikuaknya. Terus singgah satu penampar di wajah gerangan merangkap orang kanannya. Sekarang ni siapa berkuasa?
"Kau buat aku tertunggu macam orang bodoh! Aku bagi masa kau tiga hari tapi kau ambil seminggu! Jumlah duit yang aku bayar tak cukup untuk kau ke, hah?!" Karla menempik tanpa aba-aba.
Gerangan itu menarik nafas dalam. Jelas pipinya berbirat dan merah dek tamparan Karla. Dia sudah maklum yang gadis itu sangat baran dan dia awal-awal menyiapkan diri sekiranya perkara ini berlaku.
Tengoklah. Pipi dia yang terima penampar.
"Maaf, aku tak sengaja."
Kata maaf itu memarakkan api kemarahan Karla tapi sekarang bukan masa yang sesuai untuk dia hambur cacian. Pintu dilebarkan lagi, memberi ruang kepada orang kanannya masuk ke dalam.
Pintu ditutup. Karla harus berhati-hati kerana dia sedang diburu oleh pihak polis. Jikalau orang luar tahu dia menetap di sebuah flat yang agak usang itu, pasti tempat perselindungannya terbongkar.
"Bagi apa yang aku nak. Jangan buang masa aku lagi, Rien."
Arien meletak beg galas ke atas meja dan zip dibuka. Satu sampul kertas ditarik keluar. Tanpa Karla, dia tak mempunyai sebarang sumber pendapatan biarpun duit yang diterima ialah duit haram. Rezeki hidupnya memang mengharapkan duit dari kerja busuk.
"Semua yang kau nak ada dekat dalam."
Sampul surat itu dirampas dari pegangan Arien. Karla mengoyak sampul tersebut kemudian membaca kertas yang mengandungi maklumat dia mahukan. Senyuman sinis terukir lebar di bibir.
"Ruby Harzen. Pengurus Resort Laken. Anak kepada Will Harzen. Resort Laken ditubuhkan sepuluh tahun yang lalu dan merupakan tempat penginapan yang mewah. Huh, anak orang berduit rupanya."
"Ya, ayah dia orang yang berduit. Dulu mereka orang-orang biasa saja tapi selepas ayah dia mulakan business resort tu, hasil yang mereka dapat lumayan." Arien menjelaskan lanjut.
Karla menggumam. Helaian kertas diselak. Bebola matanya melorot jatuh pada sekeping gambar kecil yang tertampal di bawah kertas. Wajah Ruby. Bohonglah dia tak memuji kecantikkan Ruby.
Barangkali inilah sebab utama Aidar tertangkap cintan. Rupa paras tentulah menjadi perkara pertama yang dinilai oleh seorang manusia. Kalau rupa buruk, siapa nak tengok? Itulah hakikat yang sebenar.
Yang serba cantik, dipuji melambung.
Yang ala kadar, mudah diejek.
YOU ARE READING
AIDAR
RomanceUnder SSR SERIES ⋆͛︎ #2 GREEDY LOVE Leftenan Muda Aidar Gael. Sempurna dari segi wajah dan badan. Ada masanya sengal, ada masanya dia tak boleh dicabar. Dia pernah menjalinkan hubungan dengan Ruby Harzen, gadis yang berasal dari keluarga berada. Hub...