HARI BERTUKAR petang. Pintu rumah dikatup oleh Ruby seraya beg tangannya diletak ke atas meja dapur. Huh! Dia selamat kerana Tristan berjaya menukar tayar kereta sebelum pukul empat setengah petang. Tidaklah menimbulkan syak wasangka kepada Aidar.
Seluruh tubuh Ruby terasa lesu. Makan tengah hari tadi perutnya tak dapat mencerna makanan. Rasa memulas dan pinggangnya lenguh semacam. Kemungkinan perut dia masuk angin. Ruby mengorak langkah ke ruangan dapur. Peti sejuk dibuka. Air susu dicarinya.
Aidar akan pulang sedikit lewat jadi malam ini Ruby yang akan sediakan makan malam untuk mereka berdua. Rasa teruja melonjak. Dia dah catat siap-siap resipi makanan yang hendak dicuba dalam app note telefonnya dan semoga menjadi. iPhone diraih.
"Eh, Stefan ada mesej?"
Kotak pesanan mesej yang tertulis nama Stefan ditekan. Sekeping gambar dihantar oleh adik angkatnya. Berdiri di hadapan sebuah kolam air pancut. Wajahnya dihiasi segaris senyuman. Ruby membaca apa pesanan yang tertulis di bawah gambar itu.
Stefan
IMG_143.MOV
Trevi Fountain! Aku yang sampai dulu.Tawa Ruby meledak halus. Lucu! Stefan kini berada di Rome, Italy. Itu permintaan yang dia hasratkan kepada Tuan Will beberapa minggu yang lalu setelah pertunangan dia dan Jane putus. Ruby tak pasti universiti apa yang merupakan pilihan Stefan tapi dia lega melihat kegembiraan di wajah Stefan melalui gambar itu.
Tanggapannya terhadap Stefan akan berduka meleset. Adik angkatnya itu sekadar menerima hakikat dengan hati yang terbuka bahawa jodohnya bersama Jane berhenti di situ tapi dia tahu. Jane memendam perasaan dan menanti Stefan pulang ke Malaysia.
Seandainya jodoh mereka kuat dan sudah tertulis, pasti pasangan itu akan kembali bersama dengan tali hubungan yang teguh. Yang tidak lagi terputus seperti akar yang menahan pokok daripada tumbang.
Skrin telefon berubah malap. Ruby hanya menghantar emoji sebagai balasan. Dia jenis yang lebih memilih panggilan telefon berbanding pesanan mesej jadi bila ada yang hantar mesej, dia balas ringkas.
Ruby berfikir sejenak. Bersihkan diri dulu baru masak. Seraya itu, dia menghayun langkah ke bilik tidur. Usai membersihkan diri, almari baju dibuka dan anak mata Ruby terkunci pada baju Aidar.
Tuan punya badan belum balik jadi rembatlah.
Baju milik Aidar yang bersaiz dua kali ganda besar daripada saiznya, Ruby sarung ke tubuh. Besar sehingga cecah hingga ke paras paha. Selesa! Dia padankan dengan seluar pijama bercorak teddy bear.
Ruby bergerak ke meja solek. Melihat pantulan diri di cermin. Getah rambut dicapai kemudian dia menyanggulkan rambut dengan gaya messy bun. Tatkala itu, telinganya menangkap bunyi dentingan.
Eh, Aidar dah balik?
"Aidar? Saya dalam bilik." Suara Ruby memanggil.
Tapi yang menyahut ialah kesunyian. Tiada jawapan.
Segera Ruby membangkitkan diri. Barangkali Aidar berada di dapur. Hampir daun pintu dikuak namun kelibat dua sosok kelihatan dari arah bertentangan. Sedang menyepahkan ruang tamu dan seperti mencari sesuatu. Itu... bukan Aidar.
Sontak bulu roma Ruby menegak. Telapak tangan terasa berpeluh. Dingin dan sejuk. Detak jantungnya berdegup agak kencang. Tangan Ruby naik menekup mulutnya, menahan diri daripada membuat sebarang bunyi yang akan menarik perhatian dua kelibat itu.
Mustahil! Pintu rumah mereka menggunakan sistem passcode jadi bagaimana dua kelibat asing itu boleh masuk? Naluri hati Ruby kuat mengatakan dua kelibat itu telah merosakkan passcode rumah itu.
YOU ARE READING
AIDAR
RomanceUnder SSR SERIES ⋆͛︎ #2 GREEDY LOVE Leftenan Muda Aidar Gael. Sempurna dari segi wajah dan badan. Ada masanya sengal, ada masanya dia tak boleh dicabar. Dia pernah menjalinkan hubungan dengan Ruby Harzen, gadis yang berasal dari keluarga berada. Hub...