BILIK TIDUR itu kelam dan sejuk akibat suhu penghawa dingin yang terpasang sepanjang malam hingga subuh. Dengkuran halus menjadi melodi yang menyelubungi bilik tidur tersebut. Tak lama, bunyi mainan yang digoncang-goncang menyamah telinga.
Lena diulit mimpi, Ruby paksa dirinya untuk bangun. Baju yang hampir melorot menyebabkan bahunya terdedah lekas dibetulkan. Detik itu juga, pintu bilik dikuak. Terjengul wajah sang suami.
"Hey, precious..."
Spontan, bibir Ruby mengulum senyuman. Rindunya! Seminggu Aidar terpaksa meninggalkan dia demi menyiapkan misi. Hari ini baru pulang. Dia sebagai isteri hormat pekerjaan Aidar. Negara masih memerlukan suaminya. Jadi wajarlah dia berkongsi Aidar.
Hati dan cinta Aidar selamanya milik Ruby. Buktinya, ikatan perkahwinan mereka tetap kukuh terbina biarpun pelbagai cabaran telah dilalui bersama. Hanya nyawa Aidar ialah hak milik negara.
Beg galas disandar ke dinding. Aidar maju merapati sisi katil dan tubuh Ruby ditarik ke dalam pelukan. Semerbak haruman Ruby membaluti diri. Rasa lelahnya berkurang. Apa yang dia rasai sekarang ialah sebuah nikmat yang bagai tidak penghujung.
"Awal awak balik hari ni."
"Mestilah. Kalau boleh, lepas selesai misi lewat malam tadi aku terus balik rumah tapi ada leftenan tu tahan aku. Suruh aku buat report, lapor diri. Terpaksalah aku bermalam dekat kem," jelas Aidar.
Tangan Ruby menggosok-gosok belakang tubuh Aidar. Rangkulan kekal erat. Tubuh saling mendakap. Inilah lelaki yang bertungkus-lumus berjuang demi negara dan suami yang terbaik bagi Ruby.
Juga seorang ayah.
Tubuh Aidar bergegar tatkala gelak tawanya pecah. Mendengar bunyi mainan yang kian galak bergoncang, tentulah anak mereka sudah bangun dari lenanya. Ruby menoleh ke sudut bilik tidur.
"Arden ni tak bagi chance papa nak peluk mama."
"Awak pergi mandi dulu. Bersihkan badan. Lepas ni, baru boleh pegang dia," pesan Ruby seraya rangkulan dilonggarkan. Aidar menurut sebelum figuranya menghilang ke dalam bilik air.
Ruby turun dari katil dan menghampiri katil bayi di sudut bilik tidur mereka. Arden yang penuh minat menggoncang mainan menjerit girang sebaik melihat ibunya. Mengundang senyuman Ruby.
"Arden rindu papa ke? Sebab tu awal bangun hari ni?"
Bagaikan faham, mulut Arden mengomel kecil sebelum terkekek ketawa. Mainan jatuh dari pegangan tangan. Arden merangkak di atas tilam dan tangan tembamnya itu berpaut pada palang sisi katil.
Dengan kudrat yang ada, Arden berusaha untuk berdiri namun jatuh semula ke atas tilam. Apalagi, kolam matanya mulai menjernih. Ulas bibir kecil itu mencemik sebelum esak tangisan Arden bergema.
"Precious, kenapa dengan Arden tu? Dia lapar ke?"
Kebetulan Aidar baru selesai membersihkan diri. Dia keluar dari bilik air bersama selilit tuala putih di pinggang. Rambut yang lembap terkena air diraup ke belakang dan menampakkan dahi.
Segar usai mandi.
"Macam biasalah. Cuba berdiri tapi jatuh. Itu yang nangis. Eee, tak malunya dia nangis. Arden tak sakit pun." Ruby segera mendukung Arden yang teresak-esak menangis. Ditepuk lembut tubuh kecil itu.
Aidar tergelak. Masakan dia tidak tahu perangai Arden bagaimana. Dia mendekati Ruby. Diseka air mata yang jatuh membasahi pipi anak lelakinya itu. Erat lengan kecil Arden memeluk leher Ruby.
"Manjanya dia. Ingatkan nangis sebab tak sabar nak main dengan papa tadi. Sini, papa dukung. Papa dah seminggu tak pegang Arden."
Aidar mendepakan lengan. Ruby menghulur Arden kepadanya dan elok saja kepala Arden melentok pada bahu Aidar. Amboi, kalau kena dukung Aidar mesti dah tak kisah tentang mama dia.

ANDA SEDANG MEMBACA
AIDAR
RomanceUnder PROTECTOR SERIES ⋆͛︎ #2 GREEDY LOVE Leftenan Muda Aidar Gael. Sempurna dari segi wajah dan badan. Ada masanya sengal, ada masanya dia tak boleh dicabar. Dia pernah menjalinkan hubungan dengan Ruby Harzen, gadis yang berasal dari keluarga berad...